Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

S’pura, Canada tingkat kerjasama dalam sains dan teknologi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura, Canada tingkat kerjasama dalam sains dan teknologi

May 03, 2024 | 05:56 PM



Singapura dan Canada bersetuju meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, menurut kedua-dua negara itu dalam satu kenyataan bersama pada 2 Mei.

Kerjasama tersebut merangkumi bidang seperti kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, serta teknologi digital dan hijau, lapor The Business Times (BT).


“Kami teruja untuk meneroka potensi sinergi ini,” kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, di Ottawa.

Beliau berada di sana untuk bertemu Menteri Penggalakan Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Canada, Cik Mary Ng.

Kedua-dua negara kini mempunyai ekosistem sains, teknologi dan inovasi yang rancak dan bertenaga, dan turut tersenarai dalam kelompok 15 negara terbaik dalam Indeks Inovasi Global (GII), kata Encik Gan semasa satu acara untuk mengumumkan perjanjian tersebut di ibu kota Canada.

Walaupun Singapura dan Canada sudah pun bekerja rapat melalui wadah seperti Eureka Network, yang memupuk kerjasama antarabangsa dalam inovasi, Encik Gan berkata lebih banyak lagi boleh dilakukan oleh kededua negara itu untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan syarikat mengenai pelbagai peluang perniagaan yang tersedia, selain memudahkan usaha inovasi bersama.

Kededua negara itu juga giat menjalin hubungan antara pertubuhan penyelidikan mereka, dan meneroka usaha penyelidikan bersama, pertukaran bakat dan bentuk kerjasama lain, tambah beliau.

Menurut Encik Gan, pegawai di kededua negara telah mengadakan perbincangan positif mengenai ekonomi hijau, sambil menambah beliau berharap dapat meneruskan perbincangan tersebut dan mengenal pasti cara lebih jelas untuk bekerjasama.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan bahawa Encik Gan dan Cik Ng merancang bekerja rapat melalui satu rangka kerja bagi kerjasama ekonomi hijau, khususnya dalam bidang teknologi hijau dan rendah karbon, harga dan pasaran karbon, daya usaha perdagangan dan ekonomi hijau, serta pembiayaan dan peralihan hijau.

Menurut kenyataan bersama itu, kerjasama yang dipertingkat tersebut mungkin berbentuk kerjasama yang bertujuan menukar penyelidikan lanjutan kepada aplikasi komersial, atau meningkatkan akses kepada penyelidikan, teknologi, pasaran dan bakat.

Kededua negara juga bersetuju menyokong penyelidikan yang lebih terarah kepada perniagaan antarabangsa, di samping projek perniagaan melibatkan syarikat kecil dan sederhana (SME) Canada dan Singapura.

Kedua negara itu akan turut membina hubungan dalam kalangan pertubuhan penyelidikan, rangkaian berorientasi pasaran dan agensi inovasi untuk meneroka cara terbaik menyokong usaha penyelidikan dan inovasi.

Terdapat juga pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik antara Singapura dengan Canada.

Perjanjian untuk meningkatkan kerjasama dua hala tersebut adalah berdasarkan empat prinsip, menurut kenyataan bersama itu.

Pertama, kededua negara akur bahawa sains, teknologi dan inovasi memainkan peranan asas dalam memupuk pertumbuhan, daya saing dan kemakmuran ekonomi.

Kedua, Singapura dan Canada melihat negara masing-masing sebagai pemimpin di peringkat sedunia dalam bidang penyelidikan, pengembangan dan inovasi yang saling melengkapi.

Ketiga, kedua-dua negara menganggap kerjasama antarabangsa sebagai saling menguntungkan kepada penyelidik dan perniagaan di Canada dan Singapura.

Akhir sekali, untuk berjaya dalam ekonomi inovasi di peringkat sedunia, Singapura dan Canada berhasrat meningkatkan keupayaan mereka untuk memanfaatkan inovasi, perlindungan harta intelek, pengkomersialan teknologi baru muncul, dan pertumbuhan syarikat domestik masing-masing dalam pasaran serantau dan sedunia, dengan lebih cepat lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >