Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Usah anggap S’pura telah jaya capai kepercayaan antara kaum: DPM Wong

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usah anggap S’pura telah jaya capai kepercayaan antara kaum: DPM Wong

Peranan IRO semakin penting dek persekitaran dunia, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan kini lebih mencabar
Jan 23, 2024 | 08:46 PM



Memelihara kepercayaan antara masyarakat berbilang bangsa dan agama di Singapura memerlukan penjagaan dan perhatian berterusan, dan Singapura tidak boleh menganggap ia telah berjaya, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Sehubungan itu, beliau berkata Singapura amat bernasib baik kerana pemimpin agamanya memahami konteks mereka beroperasi, dan mereka turut memahami bahawa kepercayaan mereka boleh diamalkan dengan baik menerusi cara yang sesuai dengan konteks berbilang kaum dan agama Singapura.

“Ibarat kata pepatah, kepercayaan dibina perlahan-lahan setitis demi setitis, tetapi kepercayaan boleh hilang sepenuh baldi. Satu kesilapan atau satu kecuaian sahaja sudah boleh menjejaskan kerja keras yang telah kita bina selama bertahun-tahun.

“Kita mahu meluaskan ruang persamaan yang kita kongsi, supaya tidak kira bangsa atau agama, kita akan sentiasa berdiri bersama-sama sebagai rakyat Singapura, dan kita semakin dekat untuk mencapai cita-cita kita ingin menjadi sebuah rakyat yang bersatu,” kata Encik Wong.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis jamuan sambutan ulang tahun ke-75 Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura di Raffles Town Club pada 23 Januari. Majlis itu dihadiri 120 pemimpin agama dan rakan kongsi masyarakat.

IRO ialah sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang diasaskan oleh pemimpin pelbagai agama untuk bekerjasama demi keharmonian agama di Singapura dengan membangunkan persahabatan berdasarkan kepercayaan dan hormat antara satu sama lain.

Dalam ucapannya, Encik Wong juga berkata perkembangan yang berlaku di luar Singapura boleh memberi kesan besar ke atas perpaduan dan keharmonian sosial negara ini memandangkan Singapura terbuka, terpaut pada dunia, dan rakyatnya terdedah kepada segala jenis maklumat dari seluruh dunia.

Justeru, kata beliau, peranan IRO akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini memandangkan Singapura akan beroperasi dalam persekitaran dunia yang lebih mencabar, di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan yang memuncak.

“Trend terkini kita lihat di tempat lain adalah ke arah sikap tidak bertoleransi dan ekstremisme. Tetapi di Singapura, kita meraikan perayaan keagamaan masing-masing, melawat tempat ibadat masing-masing, dan berinteraksi antara satu sama lain dengan penuh hormat dan kepercayaan.

“Apa yang kita ada hari ini jarang berlaku, luar biasa dan sangat berharga. Kita tahu ini tidak berlaku secara kebetulan. Kita semua percaya pada sifat kebaikan manusia,” kata Encik Wong.

Dalam ucapannya pula, presiden IRO Singapura, Encik Noor Mohamed Marican, mengesahkan kerjasama kukuh antara kumpulan agama, badan masyarakat dengan pemerintah.

Beliau turut mengingatkan bahawa di banyak tempat lain, sentimen agama telah dieksploitasi untuk mencetuskan permusuhan dalam kalangan individu berbilang tradisi kepercayaan.

“Dalam kesempatan ini, saya menggesa agar kita bukan sahaja meraikan ulang tahun 75 tahun kewujudan IRO, bahkan menggunakan masa ini untuk memperbaharui dan mengesahkan kepercayaan kita bahawa agama, dialog dan persahabatan menjadi tonggak keamanan, yang menjadi asas IRO dibina.

“Melalui persahabatan dan pembinaan masyarakat dalam kalangan rakyat Singapura yang mempunyai latar belakang agama yang pelbagai, IRO telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif,” kata Encik Noor.

Beliau turut melahirkan penghargaan buat Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri kedua Singapura dan penaung keempat IRO, atas sumbangannya ke arah memelihara keharmonian kaum Singapura, khususnya, melalui Pengisytiharan Keharmonian Agama pada 2003 dan penubuhan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) pada 2002.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >