Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Video ‘Masjid tak lari’ galak jemaah datang sesi kedua solat Jumaat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Video ‘Masjid tak lari’ galak jemaah datang sesi kedua solat Jumaat

Mar 28, 2024 | 12:39 PM



‘Jangan kancheong, masjid tak lari’.


Demikian antara mesej yang diselitkan secara santai dalam video mencuit hati terbitan Masjid Alkaff Kampung Melayu baru-baru ini dalam usaha menggalakkan jemaah untuk sertai sesi kedua solat Jumaat.

Langkah itu supaya dapat memberi laluan kepada jemaah yang benar-benar perlu menghadiri sesi pertama contohnya disebabkan tuntutan pekerjaan.

Ini sedang masjid di serata Singapura membuat persediaan untuk menerima jumlah jemaah yang tinggi jelang cuti umum ‘Good Friday’ pada 29 Mac.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Eksekutif Media dan Acara Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mahy Umar, berkongsi bahawa lazimnya sewaktu cuti umum, masjid dibanjiri jemaah sehinggakan tidak cukup ruang dalam masjid untuk menampung semua.


“Kadangkala masjid terlalu penuh sehinggakan orang ramai perlu menunggu di luar. Cuaca pula panas terik, kasihan mereka. Kami juga ingin elak situasi yang memerlukan kami hubungi ambulans.

“Kami sebagai kakitangan masjid juga prihatin jika masjid terlalu ramai orang kerana akan timbul banyak masalah, contohnya jemaah kepanasan, dan angin kipas tak rasa. Bagi jemaah yang ada isu kesihatan, ini juga boleh menjejas mereka. Kami pentingkan keselamatan dan keselesaan jemaah,” ujarnya selaku penerbit video tersebut.

Video itu telah dihasilkan masjid yang terletak di Bedok Reservoir itu dengan sokongan Rangkaian Perhubungan Masjid.

Rangkaian tersebut diwujudkan bagi menggembleng usaha antara pasukan perhubungan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan pegawai perhubungan pemasaran di masjid serata Singapura.

Video sekitar dua minit yang dimuat naik di Instagram @alkaffkgmelayumosque dan @salamsg_tv mengisahkan seorang jejaka muda dan warga emas yang sedang dalam perjalanan ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat.


Sedang si belia terburu-buru berlari ke masjid untuk mengejar sesi pertama solat Jumaat, warga berumur yang digelar Cik Lek itu secara relaks mengambil masanya berjalan ke masjid.

Apabila Cik Lek tiba di masjid, beliau berinteraksi dengan kakitangan masjid sambil berkata sesi pertama sesak dan jemaah sepatutnya beri peluang kepada yang benar-benar memerlukan.

Beliau kemudiannya menghampiri seorang ustaz yang secara ceria berkongsi bahawa bagi jemaah sesi kedua, “pahalanya tetap sama”.

Babak pecah perut selanjutnya menunjukkan watak si muda yang masih tercari-cari seliparnya yang hilang walaupun sudah 15 minit berlalu sejak sesi pertama berakhir.

Video tersebut diakhiri dengan mesej yang menggalakkan jemaah ‘lek-lek’ (secara tenang) datang untuk sesi kedua.

Ia kemudian mengesyorkan agar mereka yang tidak tergesa-gesa untuk pulang ke kerja memberi laluan kepada saudara Islam yang lain untuk menghadiri sesi pertama.

Sebanyak 32 masjid di seluruh negara akan menyediakan dua sesi solat Jumaat pada 29 Mac.

Bagi masjid yang menawarkan dua sesi solat Jumaat, sesi yang pertama akan bermula pada 1 petang.

Sesi kedua pula akan bermula pada 2 petang kecuali bagi empat masjid – Masjid Al-Istiqamah di Serangoon; Masjid An-Nahdhah di Bishan; Masjid An-Nur di Admiralty dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands – yang akan memulakan sesi kedua solat Jumaat pada 2.15 petang.

Sebanyak tujuh masjid juga akan menyediakan ruang bagi Muslimah untuk sesi kedua.

Masjid tersebut ialah Masjid Al-Istiqamah, Masjid Ahmad Ibrahim, Masjid Abdul Gafoor, Masjid Al-Khair, Masjid Ar-Raudhah, Masjid Assyakirin dan Masjid Darussalam.

Tiada tempahan perlu dibuat bagi menunaikan solat Jumaat kecuali bagi Masjid Darul Ghufran yang memerlukan tempahan untuk sesi pertama sahaja.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >