Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Vivian: Usah ambil ringan keharmonian di S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Vivian: Usah ambil ringan keharmonian di S’pura

Keselamatan negara tidak akan dapat dicapai tanpa perjuangkan kedamaian
Mar 30, 2024 | 05:30 AM



Baru-baru ini Berita Harian telah mengikuti delegasi Singapura, yang diketuai Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam lawatan kerja ke Timur Tengah selama 10 hari, dari 15-24 Mac. Semasa lawatan itu, Dr Balakrishnan telah ke beberapa negara Timur Tengah, termasuk Palestin dan Israel, untuk bertemu dengan para pemimpin negara berkenaan bagi membincangkan tentang situasi yang semakin membimbangkan di Gaza. Wartawan juga sempat berkongsi pengalaman beliau mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis ketika lawatan itu. Ikuti laporan berikut, yang menggulung lawatan tersebut. 

Kewujudan keamanan, keselamatan serta keharmonian dalam kalangan penduduk Singapura yang pelbagai menjadi asas teguh masyarakat majmuk di sini.

Oleh itu, rakyat Singapura tidak boleh mengambil sikap sambil lewa akan kestabilan yang mereka nikmati di sini, kata Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau menambah bahawa membandingkan situasi di negara ini dengan landskap Timur Tengah yang tidak menentu, ia menjadi satu peringatan yang jelas tentang sejarah, agama dan politik yang saling terkait. 

“Kita tidak boleh memperlekeh keamanan, keselamatan dan keharmonian yang kita ada di Singapura dalam kalangan penduduk yang sangat pelbagai, berbilang kaum, bahasa dan agama.

“(Kita juga tidak akan memandang remeh) perlunya membicarakan soal politik secara rasional, memperkasa minda, berhati-hati dan berhemah.

“Timur Tengah adalah satu contoh tentang apa yang bakal berlaku apabila sejarah, agama dan politik dicampur-aduk sehingga ia menimbulkan kekacauan yang meragut begitu ramai nyawa.

“Dan walaupun Timur Tengah mungkin jauh dari kita, kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dengan apa yang kita ada di sini begitu sahaja,” kata  Dr Balakrishnan. 

Beliau bercakap kepada wartawan di Singapura selepas melakukan lawatan 10 hari ke tujuh kota di Timur Tengah dan bertemu pemimpin rantau itu termasuk Israel dan Palestin. 

Dr Balakrishnan, yang mengetuai delegasi Singapura, memulakan lawatannya pada 15 Mac dengan berkunjung ke Doha, Qatar. 

Beliau kemudian ke Amman, Jordan, menyaksikan ketibaan bantuan ketiga Singapura yang akan dihantar ke Gaza melalui udara, sebelum ke Ramallah di Tebing Barat untuk bertemu dengan pemimpin Pihak Berkuasa Palestin.

Selepas kunjungan beliau ke Tebing Barat, Dr Balakrishnan kemudian bertemu pemimpin Israel, termasuk Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, di Baitulmakdis.

Dalam pertemuan itu, Dr Balakrishnan telah menyatakan dengan jelas pandangan Singapura, termasuk kebimbangan negara ini terhadap situasi kemanusiaan di Gaza dan bagaimana tindak balas ketenteraan Israel terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, kini melampaui batas.

Dr Balakrishnan juga berkunjung ke Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE); Kahirah, Mesir; dan Riyadh, Arab Saudi, dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Ehwal Luar UAE, Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan; Menteri Ehwal Luar Mesir, Dr Sameh Shoukry; dan Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud.

Dalam sebahagian besar lawatannya, Dr Balakrishnan diiringi lima Anggota Parlimen (AP) iaitu Encik Alex Yam, Cik Nadia Ahmad Samdin, Cik Rachel Ong dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, serta AP Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam.

Menyifatkan lawatan beliau ke Timur Tengah sebagai sesuatu yang perlu, Dr Balakrishnan berkata objektif lain adalah untuk berunding dan mendapatkan pandangan telus daripada rakan kongsi Arab Singapura di rantau itu mengenai konflik di Gaza.

Beliau berkata setiap negara di Timur Tengah itu mempunyai perkiraan strategik sendiri dan kepentingan negara untuk dilindungi dan kesemua negara Arab itu melihat isu tersebut dari sudut pandangan yang berbeza.

Meskipun begitu, Dr Balakrishnan berkata masih terdapat satu pendirian yang sama, iaitu mencapai huraian agar gencatan senjata kemanusiaan dapat dilaksanakan dengan segera. 

Berbanding dengan rantau Timur Tengah, Dr Balakrishnan berkata bahawa rantau Asia Tenggara, terutama dengan kehadiran Asean, menyediakan model keamanan dan kerjasama yang berbeza.

Walaupun kadangkala terdapat perbezaan pandangan dengan negara jiran, Singapura telah berjaya mengharungi konflik melalui rundingan dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Kita perlu bersyukur kerana kita berada di Asia Tenggara. Kita ada Asean.

“Dari masa ke masa akan ada perbezaan dengan jiran kita. Tetapi kami telah dapat merundingkan dan menangani perbezaan itu hingga mencapai persetujuan.

“Lebih ketara lagi, kami berpegang kepada undang-undang antarabangsa dan kami menghormati perjanjian kami,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Singapura tidak harus mengambil remeh tentang keamanan, kestabilan dan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan prospek cerah bagi Asia Tenggara.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk mengakui bahawa Singapura kekal terdedah kepada konflik luar, yang boleh memberi kesan kepada negara dari segi ekonomi, budaya dan emosi.

Masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan pelbagai sememangnya menghadapi cabaran, tetapi adalah penting untuk tidak membenarkan perbezaan ini memecahbelahkan rakyatnya atau mempengaruhi politik domestik Singapura, kata Dr Balakrishnan lagi. 

Beliau berkongsi bahawa kejayaan Singapura sebagai sebuah masyarakat, dari segi ekonomi dan sosial, menjadi sesuatu yang dipandang tinggi dan mendapat perhatian di pentas sejagat, termasuk di Timur Tengah.

“Dan saya rasa itulah sebabnya mereka semua membuka pintu kepada kita. Mereka ingin melihat delegasi yang kelihatan luar biasa ini yang jelas kelihatan berbeza, pelbagai dan masih bersatu namun berjaya.

“Jadi ini adalah kelebihan kita yang unik dan kita harus memelihara dan melindunginya,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >