Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA SUPER CHINA

Henti Liga Super China mungkin sesia setelah China hanya pungut tiga mata

Oct 18, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Tindakan menghentikan Liga Super China (CSL) hampir empat bulan untuk memberi keutamaan kepada pasukan nasional membuat persiapan bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia adalah kontroversial, tetapi ia mungkin sesia.



China baru sahaja memungut tiga mata dan terperosok di kaki kumpulan kelayakan bersama Vietnam selepas tiga perlawanan.



Peluang kelayakan automatik, dalam kumpulan yang turut dianggotai Arab Saudi dan Jepun telah musnah.



Melayakkan diri menerusi 'play-off' - biasanya dengan pasukan dari Concacaf - juga tinggal peluang tipis.



Pada masa yang sama, kelab-kelab bola sepak profesional di negara itu, yang kurang sedekad lalu mencatat rekod berbelanja paling lumayan untuk membeli pemain bertaraf bintang, kini kian dirundung masalah.



Kelab Guangzhou, yang sebelum ini digelar Guangzhou Evergrande ialah kelab terkini yang hampir tenggelam dalam masalah kewangan.



Pada awal bulan ini, ketua jurulatih Fabio Cannavaro - yang juga bekas bintang Piala Dunia Italy - menjadi personaliti terkini meninggalkan kelab itu.



Dalam wawancara dengan media China, Cannavaro berkata CSL berpotensi mencapai tahap liga terunggul di Eropah, tetapi ia harus mengatasi masalah yang ada pada masa ini.



Namun, kata-kata perangsang dari Cannavaro itu, yang juga berkata belia terpaksa melepaskan bayaran tertunggak AS$27.9 juta ($37 juta) untuk meninggalkan Guangzhou, tidak dapat menyelindungi masalah kewangan yang dihadapi bekas kelabnya itu, yang juga mencerminkan masalah di kelab-kelab lain.



Pemilik majoriti kelab itu ialah pemaju hartanah Evergrande yang kini menanggung hutang AS$306 bilion.



Malah lebih serius lagi, kejatuhan kelab yang telah memenangi lapan kejuaraan liga dalam tempoh sedekad yang lalu dan kelab pertama berbelanja lumayan untuk membeli pemain dan staf, itu menunjukkan tiada kelab di CSL boleh melawan ekonomi dan berbelanja sewenang-wenangnya untuk mencapai matlamat menjadi antara kelab-kelab terelit di dunia dalam sekelip mata.



Awal tahun ini, Jiangsu FC, yang memenangi kejuaraan musim lalu muflis dan tidak lagi beraksi dalam CSL.



Suning, yang juga memiliki Inter Milan, turut tidak beraksi dalam CLS musim ini, memberi sebab masalah kewangan.



Awal sebelum itu, Tianjin Tianhai juga dibubarkan.



Ini selepas pihak berkuasa di China cuba menyelamatkan kelab-kelab CSL dengan memperkenalkan cukai pindahan pemain dan merendahkan had gaji kerana prihatin dengan jumlah wang yang keluar dari negara itu menerusi bola sepak.



Langkah itu kini tampak sesia.



Malah, kata-kata Antonio Conte pada 2016 - yang pada ketika itu sedang memimpin Chelsea dalam Liga Perdana England (EPL) kini bak menghantui pemerhati bola sepak dan pihak berkepentingan dalam bola sepak China yang berkata China adalah pasaran baru bagi pelaburan bola sepak.



Pada 2016, Chelsea berpisah dengan pemain bertaraf bintang dari Brazil, Oscar, yang dijual kepada Shanghai dengan harga $68 juta - antara perjanjian lumayan melibatkan kelab-kelab CSL pada tahun itu yang menjadikan CSL antara liga paling kaya dalam dunia, dengan pelaburan lebih AS$300 juta untuk membeli pemain.



Buat masa ini, Oscar masih menyarung jersi Shanghai, tetapi bilangan pemain bertaraf bintang yang meraih gaji lumayan di China kian berkurangan.



DI MEDAN ANTARABANGSA



Masalah yang membelenggu kelab-kelab CSL juga mencerminkan nasib pasukan nasional dalam perlawanan antarabangsa.



China kini sedang terdesak untuk melayakkan diri dan telah mengorak langkah yang tidak pernah diambil liga profesional utama yang lain - untuk menggantung liga domestik selama empat bulan dari Ogos hingga Disember untuk memberi peluang terbaik bagi pasukan nasional melayakkan diri ke Piala Dunia 2022.



Kali terakhir negara itu beraksi dalam Piala Dunia adalah pada 2002 - apabila ia diadakan di Asia - dan China benar-benar ingin mengubah statistik itu pada ulang tahun ke-20 penyertaannya yang pertama di kejohanan bola sepak terunggul itu.



Perkembangan ini bermakna kelab-kelab di CSL tidak mempunyai pendapatan hasil mengadakan perlawanan di stadium, tidak mendapat liputan media yang boleh menarik pengiklan dan secara keseluruhannya kelihatan seperti tidak lagi diutamakan pihak berkuasa dan pelabur.



Namun, 'pengorbanan' di peringkat kelab itu mungkin tidak meraihkan hasil yang diinginkan.



China tidak cukup bagus untuk mengatasi Jepun atau Arab Saudi dalam Kumpulan B. Australia - pendahulu kumpulan pula terlalu jauh untuk dikejarnya.



Prestasi China di medan antarabangsa ini mengecewakan, terutama selepas mengambil kira pelaburan untuk mendapatkan pemain asing.



Tiga anggota skuad dilahirkan di Brazil - Elkeson, yang kini bernama Ai Kesen, Alan Carvalho dan Aloisio semuanya diberikan pasport China dan diharap dapat mengubah nasib pasukan nasional.



Namun, buat masa ini, semuanya gagal berbuat demikian.



Seorang lagi pemain Tyias Browning - yang mempunyai darah China - dan mendewasa sebagai pemain akademi di Everton, kini memberi harapan tambahan.



Kesemua empat pemain ini menyarung jersi Guangzhou - menunjukkan hubungan rapat kelab itu dengan pasukan nasional dan pengaruh politik ke atas cara kelab-kelab profesional di China dikendalikan.



Malah, pemilik Guanzhou juga berperanan membiayai gaji Marcello Lippi semasa warga Italy itu memimpin China sebagai jurulatih dari 2016 hingga 2019.



Buat masa ini, seorang bekas pemain Everton Li Tie, telah mengambil alih tugas itu.



Namun, bekas bintang nasional itu juga akur beliau berdepan dengan tugas yang amat mencabar untuk menerbalikkan nasib pasukan nasional.



"Kini kita mempunyai fahaman lebih jelas mengenai kedudukan kita berbanding pasukan lain di Asia," kata Li, selepas China ditewaskan oleh Jepun dalam kelayakan Piala Dunia pada bulan lalu.



"Saya berharap pasukan kami boleh menganggap setiap perlawanan kelayakan ini sebagai final atau perlawanan terakhir dalam kerjaya mereka dan mereka harus mempunyai mentaliti ini dalam semua perlawanan, tidak kira siapa lawan mereka.



"Bagi saya, jurang antara kita dengan kelab terunggul di Asia adalah jelas, terutama dari segi kelajuan dan rentak permainan.



"Ini adalah aspek yang perlu kita perbaiki," ujar Li.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >