Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Lebih ramai kanak-kanak berbilang kaum main bola sepak, tapi...

Jan 01, 2024 | 05:31 AM



Lebih ramai kanak-kanak berbilang kaum kini bermain bola sepak di peringkat akar umbi satu petanda baik bagi masa depan bola sepak setempat, kata pemerhati, pegawai dan pemain bola sepak setempat.

Namun, mereka menambah, cabarannya adalah untuk mengekalkan pemain-pemain ini dalam bola sepak sehingga dewasa.

Mereka juga melahirkan harapan agar lebih ramai pemain Cina menyertai bola sepak di setiap peringkat, walaupun akur ada perkembangan dari segi itu.

Di Singapura, 74 peratus warganya adalah bangsa Cina, manakala 13 peratus adalah Melayu dan 9 peratus adalah India, dengan 4 peratus merangkumi bangsa lain.

Membina sumber pemain yang mencukupi untuk disalurkan ke pasukan nasional perlu melibatkan semua bangsa, terutama dari kaum majoriti, bermain di setiap peringkat bola sepak di sini, sesuatu yang cuba ditangani dengan beberapa projek peringkat nasional seperti Unleash The Roar! (UTR) yang dijalankan bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), beberapa pegawai dan pemain bola sepak berkata pemain Melayu terus membentuk sebahagian besar pemain bola sepak di sini.


Namun, lebih ramai pemain Cina kini dilihat berkecimpung dalam sukan itu, terutama dalam akademi bola sepak privet.

Ini bermakna lebih ramai kanak-kanak daripada pelbagai kaum, termasuk Cina, didedahkan kepada kemahiran bola sepak pada usia muda, kata mereka.

Pengarah di Akademi Liverpool FC Antarabangsa Singapura, Darwin Jalil, berkata bola sepak kini menarik lebih ramai pemain daripada pelbagai latar belakang kerana ia kian popular di arena antarabangsa.

“Perubahan monumental itu bukanlah satu trend yang mendadak tetapi kami telah melihat peningkatan penyertaan daripada kaum lain dalam peringkat pembangunan belia dalam tempoh lima tahun lalu.

“Pemain masa kini diberikan lebih banyak peluang untuk menembusi pentas profesional. Ibu bapa sekarang juga lebih terbuka untuk anak mereka meneruskan minat mereka dan telah melabur dalam pertumbuhan mereka dengan memasukkan mereka ke akademi pada usia muda,” kata Darwin, yang turut menyandang peranan sebagai timbalan pengerusi kelab Liga Perdana Singapura (SPL), Balestier Khalsa.

Di Sekolah Bola Sepak Lion City Sailors, yang menawarkan program bagi kanak-kanak berusia tiga hingga 18 tahun, kira-kira 50 peratus daripada lebih 800 pemainnya berbangsa Cina. 

Akademi Elit Sailors, yang mana pemain dipilih berdasarkan merit, dianggotai 180 pemain dan lebih 30 peratus daripada kumpulan itu berbangsa Cina.

Jumlah pemain Cina kurang selaras dengan demografi pemain yang bermain bola sepak secara profesional di Singapura – sebilangan besar pemain bola sepak profesional di sini berbangsa Melayu.

Trend sama juga – yang mana terdapat jumlah lebih besar pemain Cina – dilihat dalam kalangan pemain dalam Pusat Pembangunan Nasional (NDC) dan NDC junior di bawah kendalian UTR dan FAS. 

Difahami NDC, yang menampilkan pemain nasional dalam kumpulan usia Bawah 13 Tahun (U-13) hingga U-16, secara keseluruhan terdiri daripada 64 peratus pemain Melayu, 31 peratus pemain Cina, 1 peratus pemain India dan 4 peratus pemain berbangsa lain. 

Sementara itu, NDC junior untuk pemain nasional U-8 hingga U-12 menyaksikan sejumlah 51 peratus pemain Melayu, 30 peratus pemain Cina, 11 peratus pemain India dan 8 peratus pemain berbangsa lain.

NDC ditubuhkan dengan tujuan untuk membangunkan pemain pasukan nasional Singapura masa depan, yang bukan sahaja akan mewakili negara bahkan juga meningkatkan tahap pasukan nasional.

UTR adalah pelan jangka panjang untuk meningkatkan ekosistem bola sepak dan menyokong aspirasi bersama negara dalam bola sepak.

Pemain nasional dan Hougang United, Gabriel Quak, 33 tahun, menganggap trend lebih ramai pemain pelbagai kaum menyertai bola sepak dari usia awal adalah memberangsangkan.

Namun beliau tidak ingin menaruh harapan begitu tinggi terhadap hasilnya, berdasarkan apa yang dilihatnya saban tahun.

Menurut beliau, tidak semua kanak-kanak yang bermain bola sepak pada usia kecil akan berkecimpung dalam bola sepak apabila dewasa.

“Ia bagus melihat ibu bapa menyokong anak-anak mereka untuk masuk akademi bola sepak di usia muda. Tetapi, sama ada mereka akan menceburi bola sepak (secara profesional) kemudian hari, itu belum tentu lagi.

“Bagi saya, Perkhidmatan Negara (NS) adalah faktor penentu jika seseorang ingin memiliki kerjaya dalam bola sepak. Ini kerana di peringkat akademi, mereka gembira untuk bergiat secara riadah sahaja.

“Jadi, saya fikir kita tidak patut terlalu memberi tumpuan pada apa yang berlaku sebelum NS tetapi sebaliknya, selepas itu,” kata Quak, yang sudah 15 tahun menjadi pemain profesional. 

Difahami bahawa secara purata, sebanyak 9 peratus atau 18 pemain Cina beraksi dalam SPL sepanjang tiga musim lalu. Satu-satunya liga profesional negara itu menyaksikan hampir 200 pemain bersaing setiap musim.

Mungkin menunjukkan trend berbeza ialah di Balestier, di mana 50 peratus daripada 14 pemain tempatan profesional di Balestier, adalah bukan Melayu.

Seorang pengadil SPL, yang enggan identitinya didedahkan berkata kepelbagaian dalam bola sepak Singapura lebih ketara di peringkat akar umbi tetapi tidak di tahap tertinggi.

Beliau, yang telah mengendalikan perlawanan setempat sejak 2007, berkata:

“Ada dalam kalangan pemain bukan Melayu ini, yang bermain di peringkat akar umbi, sebenarnya bagus. Tetapi sayang, mereka tidak bermain di tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau.

“Lebih banyak usaha harus dilaksanakan untuk mengekalkan mereka dalam ekosistem bola sepak negara. Ini termasuk mendekati ibu bapa dan memastikan setiap pemain muda mempunyai laluan dan matlamat akhir dalam perjalanan bola sepak mereka,” tambahnya.  – ZULAIQAH ABDUL RAHIM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >