Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

ATLET JADI SOROTAN

Trippier inspirasi era baru Newcastle

Dengan pelaburan baru daripada pemilik Saudi yang kaya, ramai peminat percaya Newcastle kini mempunyai peluang berada di puncak kejayaan. Namun mereka terlebih dahulu perlu mengharungi cabaran besar iaitu cuba mengelak daripada disingkirkan. Wang mungkin boleh mendapatkan mereka pemain yang berbakat besar, tetapi pada tempoh getir ini, mereka perlukan pemimpin yang mampu membantu mereka mengubah nasib. Dengan ketibaan Kieran Trippier sebagai pemain pertama yang dibawa masuk pemilik baru, beliau dilihat sebagai pemain berpengalaman luas yang amat-amat diperlukan.
Jan 24, 2022 | 05:30 AM



NEWCASTLE: Sejurus selepas berakhirnya penampilan sulung Kieran Trippier di Newcastle United yang mengecewakan, pemain itu memaparkan kualiti yang amat diperlukan kelab itu sedang ia memulakan era baru.



Kelab yang dikenali dengan gelaran 'Magpies' itu baru sahaja tersingkir daripada Piala FA di padang sendiri di tangan pasukan Liga Satu, Cambridge United - satu tamparan hebat dalam musim yang sukar, yang menyaksikan Newcastle meraih hanya satu kemenangan sejauh ini sekali gus meletakkan mereka di zon bahaya... kemungkinan tersingkir daripada Liga Perdana England (EPL).



Biarpun pemain lain tidak endahkan kehadiran para penyokong mereka selepas tamat perlawanan, Trippier dilihat menggalak rakan sepasukannya menyertai beliau memberi penghargaan dan mengucap terima kasih kepada penyokong mereka.



Walaupun ajakan beliau tidak diendahkan rakan sepasukan, pemain berusia 31 tahun itu menunjukkan teladan yang baik sebagai seorang pemimpin.



Tiba sebagai pemain baru pertama sejak pengambilalihan pemilik Arab Saudi di era baru Newcastle United, Trippier memikul harapan yang besar.



Manakan tidak, kelab itu kini digembar-gemburkan sebagai salah satu kelab yang terkaya di dunia.



Bagaimanapun, menurut bekas jurulatih dan rakan sepasukannya, pemain bek sayap itu mempunyai semua ciri-ciri yang diperlukan untuk membuktikan dirinya sebagai seorang pemain berpengaruh di Tyneside.



"Kieran seorang yang tabah, beliau sentiasa mahu menang," kata Jim Cassell, bekas pengarah akademi Manchester City.



"Bagi saya, adalah penting bagi pemain untuk berkembang dari segi kepimpinan dan bertanggungjawab terhadap latihan serta ketika mereka bermain."



Cassell, yang mengenali Trippier sejak pemain itu berusia sembilan tahun, menambah:



"Berpindah ke Newcastle dengan seramai 52,000 penyokong ingin melihatnya beraksi dengan baik, ia memang satu tanggungjawab yang besar."



Trippier meninggalkan Manchester City pada 2012, untuk menyertai Burnley selepas tempoh pinjamannya, sebelum berpindah ke Tottenham Hotspur dan Atletico Madrid.



Beliau yang juga pernah dilantik kapten pasukan England sekali, kembali ke negara asalnya bulan ini selepas menyertai Newcastle dengan bayaran £12 juta ($22 juta).



Mentalitinya sebagai seorang pemimpin jelas dilihat semasa beliau masih di bangku sekolah lagi.



"Apabila beliau di sekolah, pelajar lain menghormatinya," kata Lee Garcka, bekas guru latihan jasmani Trippier.



"Beliau akan cuba melibatkan semua orang sama ada dalam pelajaran atau pertandingan.



"Jika keadaan tidak berjalan seperti yang dikehendaki, beliau tidak akan menuding jari atau menyalahkan orang lain.



"Beliau akan berkata 'kita perlu membetulkan perkara ini, tetapi kita perlu memperbaikinya bersama'.



"Saya tidak akan terkejut jika melihat beliau menjadi kapten Newcastle tidak lama lagi."



Sementara itu, bekas pemain pertahanan Canada, David Edgar, yang memulakan kerjayanya di Newcastle, dan beraksi di samping Trippier di Burnley, merasakan bekas rakan sepasukannya itu merupakan satu inspirasi.



"Tripps sangat handal mengawal bola dan beliau seorang pemain yang bijak," kata Edgar.



"Dalam diam, beliau juga seorang pemimpin. Beliau tidak akan menjerit tetapi menunjukkan bagaimana sesuatu dapat dilakukan.



"Bermain sebagai pemain bek tengah kiri, saya sentiasa berasa selamat apabila beliau berada di sebelah kanan saya. Beliau memulakan banyak serangan.



"Beliau mengenali Eddie Howe, yang membawanya ke Burnley dari Manchester City, dan beliau sangat sesuai dengan gaya permainan Eddie.



"Beliau merupakan seseorang yang permainannya telah meningkat seiring dengan perkembangannya.



"Beliau layak menerima segala yang telah dicapai kerana beliau adalah seorang pemain yang bekerja keras dan peminat tegar Newcastle akan menyayanginya."



Pada 2015, Trippier berpindah dari Burnley ke Tottenham setelah menarik perhatian David Pleat, bekas pengurus yang juga penasihat bagi kelab London itu.



Selepas permulaan yang agak perlahan, Trippier menjadi tunggak utama dalam pasukan yang mara ke final Liga Juara-Juara di bawah pimpinan Mauricio Pochettino empat tahun kemudian.



Beliau juga merupakan antara pemain penting dalam skuad England Gareth Southgate, walaupun terdapat saingan daripada Kyle Walker, Reece James dan Trent Alexander-Arnold.



"Beliau tahu bila untuk membuat larian apabila peluang tersedia, dan saya fikir beliau adalah pilihan terbaik untuk England dalam mengawal bola," kata Pleat.



"Jika Newcastle boleh menguasai bola, beliau akan menjadi seorang seorang pemain yang penting bagi mereka.



"Beliau seorang yang penyabar dan sentiasa merendah diri.



"Beliau bukan seorang yang suka menjerit atau merungut, tetapi beliau mendapat penghormatan rakan sepasukan dengan kebolehannya." - Agensi berita.




PUJIAN DAN PENGHARGAAN 



"Tripps sangat handal mengawal bola dan beliau seorang pemain yang bijak.
Dalam diam, beliau juga seorang pemimpin. Beliau tidak akan menjerit tetapi menunjukkan bagaimana sesuatu dapat dilakukan.
Bermain sebagai pemain bek tengah kiri, saya sentiasa berasa selamat apabila beliau berada di sebelah kanan saya. Beliau memulakan banyak serangan.''
- David Edgar, bekas pemain pertahanan Canada, yang memulakan kerjayanya di Newcastle, dan beraksi di samping Trippier di Burnley.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >