Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Perlu ada peraturan cegah si cilik ketagih peranti mudah alih

May 05, 2024 | 05:30 AM



Di negara yang taasub dengan gred seperti Singapura, kita mempunyai ibu bapa yang gigih menghantar anak mereka ke kelas tuisyen tambahan untuk meningkatkan keputusan akademik, namun kita juga mempunyai ibu bapa yang memberi anak-anak mereka akses tanpa had kepada peranti mudah alih, selalunya sebagai cara untuk mengisi masa.

Pergi saja ke mana-mana tempat makan awam semasa waktu makan dan anda pasti akan menemui kanak-kanak yang menggunakan telefon, iPad atau tablet, sama ada menghantar mesej atau menonton video pendek. Dalam pengangkutan awam, kita melihat kanak-kanak kecil dengan peranti mudah alih menatal media sosial dan menonton video tanpa pengawasan.

Ramai ibu bapa memanjakan, bahkan melahirkan tabiat dalam talian anak-anak mereka tanpa menyedari mereka sebenarnya memberi anak mereka alat yang mendedahkan mereka kepada kandungan yang tidak diingini sejak usia muda.

Dilaporkan terdapat peningkatan 30 peratus dalam bilangan belia yang diberkas kerana jenayah seksual pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.

Dua sebab yang disebut ialah pendedahan awal kepada bahan seksual eksplisit dan akses kepada maklumat yang tidak sesuai atau tidak tepat tentang tingkah laku dan hubungan seksual.

Tahun kanak-kanak membesar penting bagi mewujudkan tabiat yang betul, membentuk proses pemikiran mereka dan mengajar mereka membaca isyarat halus apabila berinteraksi dengan orang ramai.

Akses tanpa pengawasan kepada kandungan dalam talian melalui peranti mudah alih boleh menjejas fasa penting dalam perkembangan kanak-kanak itu.

Lebih lambat lebih baik?

Mungkin tidak praktikal untuk ibu bapa menghalang sepenuhnya anak mereka daripada menggunakan peranti ini. Pelajar menggunakan peranti pembelajaran peribadi atau PLD seperti iPad atau komputer riba di sekolah, dengan ramai yang dibenarkan membawa pulang peranti tersebut.

Pendidik di Singapura mengambil pendirian bahawa PLD boleh menjejas pembelajaran secara positif dan negatif, bergantung kepada penggunaannya, dan pendekatan yang lebih baik adalah mengajar pelajar untuk menggunakannya secara bertanggungjawab.

Malah, peranti ini dilihat sebagai alat yang berkesan untuk menarik minat pelajar dengan menjadikan pembelajaran lebih seronok dan memberi tugasan dalam talian melalui aplikasi.

Guru hari ini juga bergantung kepada aplikasi pengiriman mesej untuk berkomunikasi dengan pelajar yang lebih dewasa melalui kumpulan sembang.

Dalam konteks ini, adalah benar bahawa PLD penting kepada proses pembelajaran. Tanpanya pelajar mungkin ketinggalan.

Persoalannya di sini ialah apakah umur yang lebih baik untuk menggabungkan penggunaan teknologi ini sebagai sebahagian daripada pembelajaran, sedangkan kita tahu ia juga boleh memberi kesan negatif yang mendalam kepada kanak-kanak dengan kemungkinan berlakunya ketagihan.

Terdapat bukti yang tidak dapat dinafikan di peringkat tempatan dan antarabangsa bahawa ketagihan Internet dalam kalangan remaja dan kanak-kanak adalah masalah yang semakin meningkat, menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental. Malah negara seperti Bhutan yang sentiasa berusaha untuk mencapai keseimbangan antara kemasukan digital dan pemeliharaan budaya melaporkan bahawa hampir 35 peratus pelajar sekolah menengahnya mengalami ketagihan Internet.

Kanak-kanak menghabiskan begitu banyak masa menatal media sosial dan bermain permainan dalam talian sehingga mereka mengalami simtom atau gejala penarikan (withdrawal symptoms) serupa ketagihan bahan apabila terputus sambungan daripada peranti mereka. Ibu bapa juga telah menyatakan kekecewaan terhadap ketagihan anak-anak mereka terhadap peranti dan bagaimana mereka terjejas olehnya.


Satu kajian yang diketuai oleh Dr Chia Airu dari Sekolah Kesihatan Awam saya menunjukkan kesan kesihatan gaya hidup kanak-kanak yang merangkumi masa skrin berlebihan: meningkatkan risiko prahipertensi serta tahap tekanan darah dan lipid – walaupun pada usia lapan tahun.

Hakikat yang menyedihkan

Kita perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada memperkenalkan peranti ini pada peringkat awal kehidupan anak-anak kita adalah perlu atau jika ia boleh diurus dengan lebih baik, terutamanya kerana ia telah menjadi penting dalam memudahkan pembelajaran di sekolah.

Satu lagi persoalan kritikal di sini ialah sama ada kita boleh mempercayai pelajar untuk sentiasa melakukan perkara yang betul, terutama apabila pemilikan peranti mudah alih dalam kalangan kanak-kanak berada pada tahap tertinggi sepanjang masa.

Adalah mudah untuk mengatakan bahawa ibu bapa mempunyai peranan penting dalam membentuk tabiat digital anak-anak.

Terdapat banyak seruan untuk ibu bapa menetapkan had dan memantau penggunaan, menetapkan zon atau slot masa tanpa peranti, dan menggalak alternatif kepada masa skrin untuk menggalak kanak-kanak terlibat dalam kegiatan luar talian dan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

Hakikat yang menyedihkan ialah ramai orang dewasa di Singapura sendiri tidak dapat mengawal tingkah laku mereka sendiri apabila melibatkan penggunaan telefon bimbit. Pemerhatian saya sendiri terhadap rakan dan orang yang tidak dikenali menunjukkan bahawa ibu bapa lebih cenderung bergantung kepada telefon bijak dan peranti digital sebagai bantuan keibubapaan untuk membuat anak-anak mereka sibuk – dan bukan hanya di kedai makan – untuk memberi diri mereka sedikit masa rehat.

Ramai ibu bapa juga mengalami kesukaran untuk memantau tabiat dalam talian anak-anak mereka kerana jadual sibuk mereka sendiri.

Mungkin sudah tiba masanya kita mempertimbangkan undang-undang dan peraturan untuk mengawal akses kanak-kanak kepada peranti mudah alih dan media sosial.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) malah mengeluarkan gesaan pada 2023 untuk melarang telefon bijak di sekolah memandangkan terdapat bukti jelas bahawa ia menjejas prestasi akademik dan meningkatkan risiko keresahan, kemurungan, pembulian siber dan pengasingan sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian dan tinjauan terkini tentang kesan peranti ini terhadap kanak-kanak pastinya mencadangkan bahawa kesan negatif lebih besar daripada positif. Unesco malah memberi amaran bahawa sebarang kesan positif terhadap hasil pembelajaran dan kecekapan sebenarnya boleh diimbangi oleh bahaya daripada penggunaan telefon pintar yang berlebihan.

Kita perlu mengkaji secara serius nilai seruan Unesco. Walaupun terdapat sekolah yang melarang penggunaan telefon pada waktu pelajaran, buat masa ini tiada larangan menyeluruh oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Larangan, had dan sekatan

Negara seperti Perancis, Australia dan Finland telah melaksanakan undang-undang yang melarang penggunaan telefon bijak di sekolah, dengan Perancis mendahului pada 2018. Penggubal undang-undang di negara-negara itu telah menekankan bahawa larangan sedemikian bertujuan mengehadkan gangguan, meningkatkan hasil pembelajaran dan mengurangkan pembulian siber.

Negeri Florida di Amerika Syarikat mengambil langkah lebih lanjut pada Februari dengan menggubal larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah umur 14 tahun, menukil peningkatan dalam pembulian siber, kejadian bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak dan kegiatan pemangsa yang menyasarkan kanak-kanak di media sosial.

Undang-undang tersebut mendapat sokongan dwipartisan daripada wakil Demokrat dan Republikan, di negara yang terkenal dengan menjaga hak perlembagaan itu.

Apabila PLD digunakan di sekolah rendah, kita perlu mempertimbangkan sama ada kita boleh mengehadkan penggunaannya di sekolah supaya pelajar tidak mempunyai akses kepada peranti itu di rumah.

Sedang ia boleh menimbulkan cabaran pentadbiran atau logistik untuk sekolah, ia akan menjadi langkah yang dialu-alukan ramai ibu bapa yang menghadapi kesukaran memantau penggunaan anak-anak mereka.

Kedua, telefon yang digunakan oleh kanak-kanak bawah umur 16 tahun perlu disertakan dengan kawalan ibu bapa yang sama ada menyekat atau mengawal tempoh akses kepada wadah media sosial.

Harapan di sini adalah supaya ibu bapa secara sedar menetapkan had kepada perkara yang boleh diakses oleh kanak-kanak dan membantu mereka berbuat demikian. Ini juga memberi mereka peluang untuk belajar tentang tabiat digital kanak-kanak itu.

China telah meluluskan undang-undang yang mengehadkan masa skrin untuk kanak-kanak, dan menyekat akses mereka kepada permainan dalam talian dan media sosial.

Kanak-kanak bawah lapan tahun dibenarkan menggunakan peranti digital hanya 40 minit sehari, dan walaupun begitu, penggunaannya terhad kepada kandungan yang diluluskan yang dianggap bermanfaat untuk perkembangan kanak-kanak.

Belia bawah 18 tahun tidak dibenarkan menggunakan telefon bijak mereka untuk media sosial atau permainan dalam talian antara 10 malam dengan 6 pagi setiap hari.

Dokumen dasar rasmi China itu merujuk kepada bahaya yang boleh timbul daripada kandungan dalam talian ekoran “fisiologi dan psikologi kanak-kanak bawah umur yang tidak matang”.

Ketiga, sudah tiba masanya kita melaksanakan sekatan umur pada wadah media sosial untuk melarang kanak-kanak bawah umur tertentu daripada mencipta dan mengakses akaun media sosial yang diketahui boleh mendatangkan risiko kepada kesejahteraan mereka.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mempunyai Kod Keselamatan Dalam Talian yang mengawal selia kandungan berbahaya di perkhidmatan media sosial, dengan perlindungan tambahan untuk kanak-kanak dengan keperluan khusus yang sesuai dengan umur.

Kita boleh mengukuhkan lagi perkara ini dengan melarang kanak-kanak kecil daripada sebarang akses kepada media sosial, terutama kerana media sosial sebahagian besarnya tidak disekat dalam perkara yang ia tonjolkan.

Cadangan ini bagaimanapun memerlukan pemikiran teliti tentang cara berkesan untuk melaksanakan dan menguatkuasakan.

Apa yang jelas ialah masalah ketagihan kanak-kanak terhadap “dadah elektronik” berbahaya ini memerlukan perhatian dan huraian segera.

Orang dewasa mempunyai beberapa dekad untuk mengalami dunia sebelum ketibaan telefon bijak dan media sosial, tetapi anak-anak kita tidak lagi mempunyai peluang itu jika mereka dirantai kepada peranti mereka.

Sudah tiba masanya untuk mengakui ketagihan kanak-kanak terhadap peranti mudah alih dan media sosial sebagai masalah mendesak yang memerlukan tindakan yang lebih tegas.

Juga sudah tiba masanya kita mencari cara untuk membuat anak-anak kita meletakkan peranti mudah alih mereka, mengalami dunia ini sendiri, bukannya melalui orang lain di media sosial. Lebih penting lagi, ia adalah mengenai melindungi kesihatan fizikal dan mental mereka.

Teo Yik Ying ialah naib presiden bagi kesihatan global dan dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >