Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Sempena ulang tahun ke-120: Lestari warisan, bina institusi cemerlang

Dec 02, 2022 | 05:30 AM



MERAIKAN ulang tahun yang ke-120 tahun ini, Masjid Hussain Sulaiman (MHS) ingin melestarikan warisan dengan memulihara legasi masjid serta menyemarakkan lagi program bagi membina institusi cemerlang pada masa depan.



MHS yang terletak di kawasan Pasir Panjang Road dibina pada 1902 dan boleh menampung sekitar 350 jemaah.



Hingga hari ini, masjid ini giat menganjurkan pelbagai kelas pembelajaran agama buat jemaah.



Namun, bagi meneruskan kemakmuran masjid serta menawarkan khidmat yang bersesuaian dengan perkembangan masyarakat masa kini, MHS masih boleh diperbaiki daripada empat sudut, menurut Pengerusi Eksekutif Kanan MHS, Ustaz Mohamed Ali Atan.



Pertama, mempertingkat prasarana masjid supaya ia lebih mesra jemaah dan mengikut keadaan semasa.



Sebagai contoh, MHS tidak mempunyai bilik mesyuarat dan bilik darjah. Maka, ruang sedemikian boleh dibina buat keselesaan jemaah yang datang ke masjid untuk menimba ilmu agama.



Kedua, pihak masjid akan berusaha memperbaiki lagi pentadbirannya.



"Baru-baru ini, saya menghadiri program anjuran Kelompok Masjid Barat bersama anggota Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) daripada masjid-masjid di kawasan barat yang lain. Dalam program ini, kami mengadakan sesi bertukar-tukar fikiran bersama Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Negara (NVPC) yang telah menjalani satu tinjauan tentang Badan Pengurusan Masjid (MMB).



"Menerusi konsultasi itu, kami membincangkan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki pentadbiran masjid," kata Ustaz Ali.



Menurutnya lagi, pihak MHS juga turut serta dalam sesi rahat bersama pegawai masjid-masjid daripada Kelompok Masjid Barat, dengan mereka membincangkan tentang hala tuju dan strategi yang boleh membantu dalam pengurusan dan pentadbiran masjid.



Ketiga, dalam usaha MHS membina institusi, ia merancang melantik pekerja baru, antaranya pegawai pentadbiran yang boleh mengurus pentadbiran masjid dengan lebih berkesan, imam eksekutif yang boleh melakar program dakwah dalam masjid dan pegawai agama yang boleh menjadi tenaga pengajar.



Keempat, pihak masjid berhasrat menyemarakkan lagi program dan kegiatan masjid. Buat masa kini, ia menganjurkan kursus imam dan bilal pada setiap Sabtu dengan harapan ia dapat melantik imam dan bilal pelapis.



Selain itu, MHS mahu mengadakan lebih banyak program yang melibatkan masyarakat.



Antaranya, pada tahun ini, MHS berusaha mengeratkan silaturahim dengan jiran masjid iaitu Singpost dengan memberi oren kepada pekerjanya pada Tahun Baru Cina lalu.



Masjid ini juga telah bekerjasama dengan Kumpulan Keharmonian Kaum dan Agama (IRCC) Telok Blangah dengan menziarahi kuil Cina dan Hindu di kawasan Pasir Panjang untuk berkenalan dengan mereka.



Semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, MHS bersama Masjid Hang Jebat dan Masjid Ahmad dengan kerjasama IRCC juga telah mengagihkan daging korban kepada penduduk bukan Islam yang tidak berkemampuan.



Selain itu, MHS turut terlibat dalam satu program bersama Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), dengan beberapa penghuni mereka datang dan membantu di masjid pada setiap Jumaat.



Seorang imam masjid ini pula akan ke Darul Islah untuk membimbing penghuninya dalam pembelajaran Al-Quran pada setiap Jumaat.



Baru-baru, masjid ini mendapat sijil penghargaan atas sokongan terhadap 'Kempen Dadah Itu Haram'.



MHS juga mesra demensia, dengan ia mendapat pengiktirafan daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan merupakan antara tempat yang boleh dituju untuk membantu penghidap demensia (Dementia Go-To-Point).



"Sempena MHS meraikan ulang tahun ke-120 tahun ini, saya dengan rendah hati dan penuh kesyukuran mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua imam, bilal, jawatankuasa surau/masjid, sukarelawan dan jemaah dahulu dan sekarang yang telah menyokong dan memberi sumbangan kepada MHS selama ini.



"Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), khususnya Pengarah Kanan Masjid, Encik Haji Zaini Osman, dan juga Superintenden Daerah Barat, Ustaz Dr Suhaimi Mustar, yang telah sama-sama membantu mengimarahkan MHS.



"Semoga Allah swt memberkati dan membantu kami di MHS dalam menjalankan amanah ini untuk memakmurkan masjid dan menyemarakkan lagi program-program dan perkhidmatan MHS. Amin," kata Ustaz Ali.



  • Majlis sambutan ulang tahun MHS yang ke-120 bakal diadakan dari 1 Disember hingga 4 Disember tahun ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >