Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Ambil peduli dapat hakis stigma, lebih fahami pesakit mental

Jul 07, 2023 | 02:44 PM



Sekitar 20 tahun lalu, seorang teman rapat saya menunjukkan perubahan kelakuan yang agak ketara. 

Beliau yang sering ceria dan suka bersosial mula menjauhkan diri daripada orang ramai. Saya perhatikan beliau juga lebih suka menunduk semasa berjalan di kawasan awam. 

Rupanya perubahan kelakuannya itu adalah antara tanda beliau mengalami kemurungan. 

Itulah kali pertama saya berhadapan dengan seseorang yang menghidapi penyakit mental. 

Namun ia bukan yang terakhir. 

Selang beberapa tahun kemudian, seorang saudara rapat saya disahkan menghidap skizofrenia manakala dua saudara lain pula dirundung kemurungan dan gangguan kebimbangan, ekoran pelbagai faktor dan sebab. Skizofrenia ialah penyakit jiwa dengan fikiran bercelaru, halusinasi, pemencilan diri, dan emosi yang tidak stabil).

Boleh dikatakan, saya pernah menyaksikan sendiri orang-orang tersayang ini berada di ‘puncak’ penyakit mereka. 

Disebabkan keadaan mereka itu juga, saya buat kali pertama menjejakkan kaki ke Institusi Kesihatan Mental (IMH). Dahulu ia dikenali sebagai Hospital Woodbridge, atau dilabel ramai sebagai ‘hospital gila’ atau ‘Tanjung Rambutan’. 

Mungkin sebelum ini saya tidak terkecuali daripada membuat jenaka seperti ini. 

Tetapi kunjungan saya ke IMH lebih lapan tahun lalu telah membuka mata dan minda saya terhadap penyakit mental atau penyakit jiwa. 

Antara pengalaman ialah saya berpeluang menjenguk wad yang menempatkan pesakit baru yang belum menerima diagnosis. 

Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa suasananya agak mirip dengan apa yang cuba digambarkan dalam filem-filem Barat. 

Bayangkan pesakit yang mungkin mempunyai tahap penyakit mental yang dianggap dalam tahap/spektrum lebih sederhana – seperti gangguan kebimbangan – ditempatkan sebumbung dengan mereka yang mempunyai ‘jiwa lebih kacau’ seperti gangguan psikotik.

Pelbagai telatah boleh anda lihat menerusi tingkap berkaca, yang memisahkan pelawat dan pesakit di wad itu. 

Sejujurnya, memang terasa gementar lebih-lebih lagi jika anda tidak biasa dengan telatah unik mereka.  

Saya juga berpeluang ke wad privet untuk pesakit mental. Suasananya agak bertentangan daripada wad tadi – lebih teratur, agak tenang dan tentunya menelan kos perubatan lebih tinggi. 

Pengalaman kali pertama di wad biasa itu menyentap hati saya.

Semakin lama terdedah kepada keadaan saudara-saudara saya itu, keinginan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit mental semakin menebal. 

Saya mula membaca, antara lain, tentang cara mengenal pasti jika seseorang pesakit mental itu sedang mengalami ‘breakdown’ atau ‘meltdown’ atau keadaan di mana mereka berada dalam tahap mental yang rendah. 

Tidak seperti penyakit bersifat fizikal yang gejalanya boleh dirawat dengan ubat sahaja, penyakit mental memerlukan cara rawatan yang meliputi pelbagai aspek daripada ubatan kepada psikoterapi dan rawatan secara kognitif. 

Lebih penting juga, apa yang diperlukan golongan ini ialah penerimaan dan pemahaman masyarakat tentang penyakit mereka kerana pada akhirnya, mereka ingin menjalani kehidupan seperti biasa tanpa dipandang sebagai ‘pelik’ atau ‘gila’.

Malangnya, tahap kesedaran mengenai penyakit mental dikatakan masih rendah dan masih ada stigma. 

Meskipun kini terdapat perbualan dan perbincangan lebih terbuka mengenai penyakit mental hasil usaha banyak pihak termasuk pemerintah, sebagai sebuah masyarakat kita mungkin belum sampai ke tahap matang dalam hal ini. 

Ini sedangkan penyakit mental dalam kalangan masyarakat Singapura semakin menjadi cabaran kesihatan, khususnya dalam golongan belia, berdasarkan tinjauan baru-baru ini. 

Keadaan ini juga semakin jelas semasa pandemik Covid-19. 

Perangkaan yang menarik perhatian antaranya –  satu dalam tiga belia mengalami gejala kesihatan mental seperti kesedihan, kebimbangan dan kesepian, menurut satu tinjauan terkini. 

Manakala pada Oktober 2020, kajian IMH semasa pandemik mendapati 8.7 peratus ditinjau memenuhi kriteria kemurungan klinikal sementara 9.4 peratus mengalami kebimbangan dan 9.3 peratus penuhi kriteria hadapi tekanan sederhana hingga teruk. 

Jadi, bagaimanakah kita dapat menyokong golongan ini? 

Pada pandangan saya, kita harus berusaha mengambil peduli mengenai penyakit mental.

Daripada kepedulian itu, akan timbul keinginan untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran, lantas kita menjadi lebih peka terhadap mereka yang menunjukkan gejala penyakit itu. 

Hal ini akan membantu dalam menghakis stigma yang sering kita kaitkan dengan golongan ini, sekali gus mendorong perspektif baru dalam cara kita memandang mereka. 

Dengan cara ini, kita dapat membantu mereka melayari proses kesembuhan dan membuat mereka terus berasa diri dihargai dan bermotivasi. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >