Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Cara elak dari jadi 'pekerja tidak berguna'

Lebih banyak pekerjaan kian usang atau tidak lagi relevan dek kecerdasan buatan (AI)

PENULIS TAMU,,FARIS RIDZUAN

Jun 26, 2022 | 05:30 AM



PROFESSOR Yuval Noah Hariri, seorang ahli sejarah, pernah meramalkan bahawa akan timbul golongan "tidak berguna" kerana tugas mereka diambil alih oleh Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau AI) dan algoritma.



Manusia kini hidup dalam zaman Revolusi Digital yang didahului tiga Revolusi Industri.



Kalau dahulu manusia mendayung sampan, Revolusi Industri Pertama menggunakan kuasa wap.



Maka wujudlah kapal dan kereta api wap serta kilang-kilang yang boleh menjana barangan dengan jumlah yang lambak.



Kalau dahulu manusia berlilin menerangi kegelapan, Revolusi Industri Kedua memanfaatkan kuasa elektrik.



Kalau dahulu manusia menggunakan abakus untuk membuat kira-kira, Revolusi Industri Ketiga menyerlah dengan kehebatan elektronik, komputer dan teknologi informasi.



Pada ketiga-tiga Revolusi Industri ini, timbul kegusaran tentang manusia kehilangan pekerjaan secara meluas.



Walaupun ada pekerjaan yang menjadi usang, namun timbul pekerjaan-pekerjaan baharu.



Jadi, apakah kegusaran Profesor Hariri tentang Revolusi Digital tidak tepat?



Menurut beliau, ada yang berbeza tentang Revolusi Digital.



Ia bertitik tolak dari pertengahan abad yang lalu di mana zaman automasi serta gabungan teknologi lain mencampuradukkan bidang fizikal, digital dan biologi.



Pada zaman Revolusi Digital, tulang empat kerat bukan sahaja tidak lagi diperlukan bahkan tenaga intelektual kita pula tidak didambakan kerana AI boleh menggantikan kerja intelektual kita.



Tidak lama lagi, kereta pandu sendiri akan keluar di pasaran dan menggantikan kerja pemandu-pemandu teksi ataupun Grab, Gojek dan sebagainya.



Kerjaya-kerjaya lain seperti hakim dan doktor yang dianggap kerjaya yang berprestij dan lumayan juga terancam oleh AI.



Maka timbullah golongan "tidak berguna".



Bagaimanakah dapat kita menghadapi cabaran baharu ini dan apakah yang harus kita lakukan?



Kejar Kepintaran Digital



Atas kebimbangan ini, mungkin ramai yang berura-ura untuk memperolehi kepintaran digital seperti memiliki kebolehan untuk memahami, menulis dan melakar algoritma, kod dan pengaturcaraan (programming).



Bahkan, pemerintah pun menggalakkan ramai untuk memiliki kepintaran digital.



Inisiatif-inisiatif seperti program pengayaan "Code for Fun" di sekolah-sekolah nasional mendedahkan ramai pelajar kepada kepintaran digital.



Namun, apakah kepintaran digital sahaja yang dapat menyelamatkan kita daripada menjadi pekerja yang tidak relevan?



Hanya memusatkan perhatian kepada kemahiran teknikal adalah strategi yang tidak lengkap.



Setiap kali ada inovasi baru dalam bidang pengekodan atau pengaturcaraan, kepintaran digital yang dipelajari mungkin tidak lagi relevan.



Lagipun, pada masa yang akan datang, AI mungkin mengekod dan melakar algoritma dengan lebih cekap daripada kita.



Tidak mustahil bahawa sebahagian besar pengekod pada masa depan juga digantikan AI.



Yang akan wujud hanya segelintir pengekod manakala AI yang melakukan sebahagian besar daripada kerja pengekodan.



Yang paling penting kita dalami adalah kemahiran kritikal seperti pemikiran secara logik, penyelesaian masalah, dan pengendalian data.



Berburu di Padang Data



Kemahiran-kemahiran ini penting kerana Revolusi Digital, khususnya AI berupaya mengenali kita pula dengan intim.



Kadangkala, ia mengetahui anda dengan lebih pantas daripada anda mengetahui diri anda sendiri.



Ia menggunakan data besar (Big Data) dan secara tidak langsung, menggunakan kita - para pengguna perkhidmatan digital.



Setiap kali kita melungsuri Internet, menggunakan telefon bimbit dan aplikasi seperti Instagram, TikTok dan Facebook, dan berinteraksi di alam siber, kita memberi data kita kepada platform (aplikasi), syarikat, pertubuhan dan pemerintah dari serata dunia.



Kitalah pengguna, tapi kitalah juga produk.



AI mengumpul data peribadi anda, menganalisisnya serta meramalkan apa yang ia fikirkan yang menjadi keinginan dan kesukaan.



Dengan demikian, AI berupaya untuk mempengaruhi keputusan, perasaan, minda, dan psikologi anda.



Natijahnya, dalam zaman ini, kita asyik bergantung kepada algoritma dan data besar untuk membuat keputusan.



Kadangkala, kita juga menyerahkan nasib dan kemandirian kita kepada AI tanpa disedari.



Kerana data kita dikumpul dan dianalisis, kita disuap iklan dalam talian yang mempamerkan produk-produk dan perkhidmatan idaman kita.



Yang tinggal hanya untuk klik dan masukkan butiran kad kredit untuk membeli produk dan perkhidmatan itu.



Perangai, personaliti, serta pemikiran kita dirakam, dicerakin dan diramal oleh AI.



Yang mengerikan adalah kita tidak sedar yang kita sedang dimanipulasi AI.



Sebagai pekerja dan juga sebagai manusia, ketandusan autonomi dan agensi kita ini amat menakutkan.



Nasihat agama dan falsafah hingga sekarang menegaskan betapa pentingnya kita mengetahui diri sendiri.



Nasihat ini semakin penting bagi kita untuk memastikan kita tidak dianiaya AI.



Cipta Semula Supaya Kekal Relevan



Mencipta semula diri sendiri berkali-kali dengan kemahiran-kemahiran baharu adalah satu strategi yang baik untuk menghadapi pergolakan perubahan.



Ini sealiran dengan falsafah pembelajaran sepanjang hayat.



Tapi kalau anda tidak tahu diri sendiri, bagaimana dapat anda mencipta semula diri anda jika anda tidak mengenali diri anda?



Anda harus mengetahui diri anda dengan baik - nilai-nilai anda, kekuatan anda, kelemahan anda, falsafah anda, personaliti anda dan sebagainya.



Untuk mengetahui diri anda, bidang-bidang seperti falsafah, psikologi dan sosiologi dapat membantu anda.



Anda akan mempelajari bagaimana anda dipengaruhi pelbagai faktor seperti media massa dan ideologi-ideologi geopolitik seperti pasaran bebas yang menafikan hak-hak pekerja.



Anda akan mendalami bagaimana anda tidak serasional yang anda fikirkan disebabkan bias kognitif atau kelemahan dalam cara berfikir disebabkan oleh prasangka atau kecenderungan untuk menyelesaikan masalah mengikut kepercayaan dan pengalaman hidup tanpa menilai data-data baharu.



Falsafah juga penting untuk memikirkan masak-masak tentang permasalahan dan cabaran secara mendalam.



Ini supaya kita mempersoalkan andaian-andaian, logik dan hujah-hujah kita.



Justeru, ia akan membuat kita lebih matang dan cekap dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang.



Selain daripada itu, nilai-nilai universal agama juga penting sebagai inspirasi dan pemangkin buat kita hidup beretika.



Sebagai contoh, dalam agama Islam, ada nilai mengambil berat tentang mereka yang lemah, tertindas, terpinggir, dan tidak mempunyai suara.



Nilai ini sangat penting bagi kita hidup sebagai seorang Muslim yang bersifat rahmah dan peka kepada kesetaraan dan keadilan dalam masyarakat.



Nilai-nilai keagamaan dan bidang-bidang seperti falsafah, psikologi dan sosiologi melentur kita menjadi insan kamil dan arif budiman yang dapat mencipta semula diri kita agar menjadi lebih manusiawi.



Mencipta diri supaya sentiasa relevan sebagai pekerja yang yakin tidak dapat dipisahkan daripada mencipta diri supaya relevan sebagai insan yang bukan bernilai mekanistik tetapi bernilai manusiawi.



Tugas sepanjang hayat ini sukar dan sulit, tapi sangat memuaskan dan penting.



Dalam mencipta diri dan melayari dunia Revolusi Digital, kita harus bertindak seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.



Jangan pula kita terperangkap dalam ideologi mengejar kemahiran teknikal sahaja dan jangan pula kita terjebak dalam menyerahkan autonomi dan agensi kita kepada AI.



  • Penulis seorang penyelidik Iseas-Institut Yusof Ishak dalam bidang pengajian sosial dan budaya serantau. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di TikTok sebagai pegawai dasar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >