Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Ganjaran tunai demi hargai jururawat, perkukuh jagaan kesihatan

Feb 25, 2024 | 05:32 AM



Pengumuman Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengenai ganjaran kewangan sehingga $100,000 kepada semua jururawat baru dan dalam perkhidmatan yang bertugas di institusi penjagaan kesihatan awam amatlah mengujakan, dan pasti disambut baik golongan jururawat setempat.

Tujuan anugerah, yang dipanggil Anugerah untuk Adab, Kecemerlangan dan Kesetiaan Jururawat (Angel), adalah demi menarik dan menggalak jururawat kita bina kerjaya sepanjang hayat dalam bidang kejururawatan. Dijangkakan, kira-kira 29,000 jururawat bakal meraih manfaat daripada skim baru itu.

Namun, tidak dilupakan, ganjaran kewangan itu akan juga dihulurkan kepada jururawat daripada pertubuhan penjagaan masyarakat yang dibiayai awam serta Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) yang dibiayai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Bahkan, jururawat asing yang telah berkhidmat secara berterusan selama sekurang-kurangnya empat tahun pada atau selepas September 2024 juga akan layak mendapatkan ganjaran tersebut, umum Encik Ong.

Malah, beliau turut mengumumkan bahawa pemerintah juga sedang menimbangkan ganjaran kewangan kepada kakitangan penjagaan kesihatan bukan jururawat. Ini satu lagi berita menggembirakan.

Encik Ong mengakui terdapat sebilangan jururawat yang telah meninggalkan sektor itu atas sebab peribadi dan keluarga. Bahkan, terdapat masalah kekurangan jururawat terutama selepas pengurangan lebih tinggi daripada biasa dalam kalangan jururawat asing semasa pandemik Covid-19, namun isu itu telah dapat diatasi.

Kini, negara ini telah meningkatkan bilangan pengambilan kejururawatan kira-kira 30 peratus dari 2013 hingga 2023. Namun begitu, Singapura masih mengalami kekurangan tempat katil hospital yang diperlukan sedang pemerintah terus mempertingkat keupayaan penjagaan kesihatan dan menangani permintaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

Ini memandangkan bilangan warga emas dijangka meningkat tahun demi tahun. Ini akan memerlukan lebih ramai pekerja di institusi penjagaan kesihatan khususnya jururawat yang menjadi pasukan barisan depan dalam penjagaan pesakit.

Sebagai rekod, jururawat merupakan kelompok penjagaan kesihatan awam paling ramai di sini dengan mereka merangkumi kira-kira 24,000 orang, atau satu pertiga, daripada 65,000 tenaga kerja dalam sektor itu.

Ganjaran kewangan bukan satu-satunya faktor yang menentukan pengekalan seorang jururawat. Namun, diharapkan dengan ganjaran itu, ia boleh membantu jururawat dalam menangani dilema dan cabaran dalam kehidupan mereka yang boleh mendorong mereka terus kekal dalam kerjaya itu.

Kerjaya jururawat itu adalah satu tugas dan amanah yang mulia dengan jururawat memainkan peranan utama dalam menjaga pesakit semasa rawatan mereka. Namun kerja itu sering menuntut waktu kerja yang kadangkala panjang dengan bebanan tugas yang berat.

Antaranya, selain menjaga dengan penuh teliti dan hemah seorang pesakit, mereka juga kadangkala berdepan dengan pesakit dan ahli keluarga pesakit yang pelbagai ragam termasuk tidak memberi kerjasama atau bercakap serta bertindak kasar terhadap jururawat.

Semasa Covid-19, ramai pekerja kesihatan, khususnya jururawat sebagai pasukan barisan depan, terpaksa menanggung cabaran berat dalam menghadapi pandemik itu dan juga menjaga pesakit wabak itu, yang memerlukan tahap ketekunan dan kesabaran yang tinggi.

Justeru, diharapkan dengan ganjaran terbaru kepada jururawat, dan juga pekerja penjagaan kesihatan lain, Singapura akan dapat membangun pasukan jururawat bertaraf dunia yang bertugas di institusi penjagaan kesihatan juga bertaraf dunia, sekali gus menjadikan negara ini sebagai tempat kediaman terbaik buat semua warga Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >