Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KESIHATAN & PERUBATAN

Giat main bola sepak, berbasikal, tapi kena serangan jantung

Oct 18, 2021 | 05:30 AM



SEKALI pandang, tiada siapa yang menyangka bahawa Encik Shaiful Irwan, 43 tahun, terselamat daripada satu serangan jantung.



Padahal sebelum itu beliau mampu menggelecek bola di padang sambil berlari dengan tenang.



Apatah lagi beliau juga aktif dalam sukan lain seperti bola lantai, selain berbasikal secara kerap serta giat berjalan pantas dan berkayak.



Namun, di sebalik gaya hidup aktif yang diamalkannya sebelum ini, kakitangan awam berusia 43 tahun itu tetap diserang penyakit jantung.



Menceritakan kisahnya menerusi e-mel kepada Berita Harian, Encik Shaiful berkata beliau berada di rumah pada 26 Jun tahun lalu ketika tempoh Pemutus Litar (CB) apabila serangan itu berlaku.



"Saya berada di rumah dan sedang mengadakan perbincangan dalam talian apabila saya tiba-tiba berasa tidak selesa, peluh sejuk dan dada terasa ketat.



"Saya pun periksa tekanan darah dan mendapati bacaannya agak tinggi.



"Dengan segera saya hubungi ambulans yang membawa saya ke hospital dan kemudian saya dialihkan ke teater pembedahan selepas disahkan menghidap serangan jantung.



"Saya dirawat dan dimasukkan ke wad selama lima hari."



Menerusi temu ramahnya yang disiarkan dalam laman Yayasan Jantung Singapura (SHF), Encik Shaiful berkata akibat sekatan Covid-19, kegiatan hariannya lebih tertumpu kepada melakukan kerja rumah dan bekerja dari rumah.



"Kita semua terpaksa duduk di rumah dan kegiatan dihadkan kepada membeli barangan dapur sahaja.



"Saya percaya gaya hidup yang tidak aktif selama tiga bulan semasa CB mungkin mencetuskan serangan jantung itu.



"Ini memandangkan saya tidak dapat banyak peluang untuk bersenam dan hanya makan sajian yang agak berat," katanya.



Menurut laman itu lagi, semasa di hospital Encik Shaiful telah menjalani pembedahan angioplasti dan prosedur stent.



Selepas dibenarkan pulang beliau ternyata bimbang akan kesihatannya dan kemampuannya untuk bersukan seperti dahulu.



Menurut laman itu lagi, Encik Shaiful telah menjalani pemulihan - pertama di hospital dan kemudian di Pusat Kesejahteraan Jantung Yayasan Jantung Singapura.



Rakan-rakannya telah memberi galakan kepadanya agar membina keyakinan dan tahap kecergasannya agar beliau dapat menikmati kegiatan bersukan secara selamat sekali lagi.



"Saya telah berehat daripada kegiatan bersukan selama tiga bulan lamanya sambil saya teruskan sesi fisioterapi," katanya.



Encik Shaiful kemudian telah membina semula kekuatan serta staminanya menerusi sesi-sesi fisioterapi.



Beliau juga terus mendapatkan nasihat pakar fisioterapi berkaitan senaman menguatkan jantung yang sesuai buat dirinya.



Salah seorang pakar fisioterapi di SHF dikatakan terus memantau kegiatan mingguannya serta kadar jantungnya secara mingguan.



"Sebelum kembali berbasikal, saya periksa dengan pakar fisioterapi tentang jarak yang sesuai dan kadar jantung yang patut dikekalkan.



"Saya juga dapatkan nasihat daripada pakar jantung di hospital tentang tahap kemajuan jantung saya dan jenis senaman yang boleh saya teruskan," katanya.



Kini Encik Shaiful berbasikal secara lebih aktif termasuk mengayuh sejauh 300 kilometer dalam tempoh 30 hari yang dihabiskannya sekitar Februari atau Mac lalu.



Tidak cukup dengan itu beliau kini turut bermain bola sepak dan berkayak.



Pada masa yang sama, beliau turut peka akan dietnya dan memastikan beliau amalkan diet seimbang dalam kehidupan hariannya.



"Saya telah berhenti menyertai sukan berpasukan akibat langkah berjaga-jaga yang diperketat pada masa ini, tapi tetap berbasikal secara kerap.



"Kini saya berbasikal sehingga tiga kali seminggu meliputi jarak antara 15 dengan 30 kilometer.



"Baru-baru ini saya mula menjadi sukarelawan sebagai pembimbing bola sepak di sebuah Rumah Kebajikan Lelaki Muslim setiap Ahad dengan membimbing sekumpulan kecil pemain dan menyertai mereka dalam kegiatan berlari anak.



"Saya rasa faktor utama yang membantu dalam pemulihan saya adalah sokongan orang di sekeliling, minda yang positif serta mendapatkan nasihat profesional," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >