Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Mufti: Asatizah berperanan pelihara, perteguh institusi agama dalam konteks SG

May 21, 2022 | 05:30 AM



Mufti Singapura Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir mengadakan Majlis Hari Raya Asatizah secara fizikal buat julung kalinya malam kelmarin sejak beliau mengambil alih jawatan tersebut dua tahun lalu. Dalam ucapannya semasa majlis itu, beliau telah menekankan pentingnya usaha asatizah dan pemimpin agama memperoleh kepercayaan serta keyakinan anggota masyarakat dalam menilai dan menguruskan hal keagamaan berdasarkan keperluan dan konteks sendiri. Berikut sedutan ucapannya.




SEBAGAI pembuka bicara, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:



Bunga kenanga bunga cempaka

Harum baunya tidak terperi

Sekian lama tidak berjumpa

Bila bersua berseri-seri



Alhamdulillah, kita dapat bersua di perjumpaan Hari Raya pada tahun ini secara fizikal, setelah lebih dua tahun kita menjalinkan ikatan persaudaraan secara maya.



Sebagai orang yang beriman, kita yakin bahawa setiap yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya.



Kita amat kagum dengan sikap masyarakat Islam, berbekalkan bimbingan asatizah dan kesatuan kepimpinan keagamaan, kita sepadu mengorak langkah dalam menyahut serta mengatasi cabaran rumit masa kini.



Dalam konteks pandemik yang telah meragut nyawa dan menimbulkan pelbagai kemudaratan, masyarakat kita akur dengan keutamaan (awlawiyyah) memelihara nyawa (hifz al-nafs) dan mengimbangi di antara pelbagai tuntutan dan ajaran agama (muwazanah).



Jika dahulunya fiqh al-awlawiyyat, fiqh al-maqasid dan fiqh al-muwazanat hanya teori yang diajarkan, pandemik Covid-19 adalah medan aplikasi dan perjuangannya.



Tidak dinafikan penyesuaian adalah sesuatu yang sukar dan mencabar, apatah lagi dalam masa yang amat singkat dan dalam situasi yang tidak menentu.



Namun, kemampuan serta keyakinan untuk membuat penyesuaian berdasarkan pendekatan yang perlu diambil, yang kemudiannya menghasilkan natijah yang baik, seharusnya memberi kita suntikan semangat dan kepastian bahawa kita berada di atas landasan yang betul.



ASATIZAH PELOPOR PENYESUIAN BERPANDU ILMU



Oleh itu, kami amat menghargai peranan asatizah yang telah banyak berkorban dalam mengemudi bahtera kepimpinan agama di tanah air tercinta ini, dan saya amat menyanjung sikap serta usaha Asatizah sebagai pelopor penyesuaian berpandukan ilmu yang mendalam dan prinsip yang tegas.



Kita juga mengekalkan kesatuan sesama kita agar masyarakat tidak keliru dan bingung dengan apa yang harus dilakukan dalam situasi yang amat mencabar.



Bahkan, Singapura adalah di antara negara yang terawal mengambil keputusan dan ketetapan yang sukar tetapi amat diperlukan.



Semoga Allah swt menilai segala pengorbanan antum dengan rahmat dan ihsan-Nya serta mempermudahkan urusan perjalanan umat Islam di Singapura.



Kini, seakan semua yang berlaku semalam hampir tiba ke garisan penamat.



Pertemuan fizikal ini juga salah satu indikasi bahawa kehidupan dan kegiatan harian kita dapat kembali seperti sedia kala serta lebih aktif lagi insya-Allah.



Namun, saya sangat-sangat berharap kita tidak lupa kepada hikmah dan pengajaran Covid-19.



Ini yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan, kerana orang yang berjaya akan menggunakan setiap luka sebagai peringatan kesilapan dan kelemahan masa lalu, demi memperbaiki perjalanan masa muka.



KEYAKINAN DENGAN IDENTITI KEAGAMAAN



Pengalaman yang singkat namun begitu padat mengingatkan kita betapa unik serta berharga keadaan dan situasi kita di Singapura.



Kita berpeluang menghidupkan nilai agama yang mengajak kepada perdamaian dan kesatuan, dan menghayati ruh Syariat Islam yang anjal dan dinamik, bukan yang jumud mahupun lesu atau layu yang tidak mampu mencorak masa hadapan.



Konteks kehidupan kita, walaupun sukar dan rumit pada pandangan kasar, sebenarnya adalah peluang yang amat bernilai dalam proses berijtihad dan mencari pelbagai solusi.



Jika kita berjaya melaksanakannya dengan baik, kita berjaya menghayati dan mempraktikkan keanjalan dan keindahan Syariat Islam.



Kerana itu, banyak 'ulama kontemporari, di antaranya Syeikh 'Abdullah bin Bayyah, menilai konteks sebagai faktor kritikal dalam menafsirkan hukum.



Apabila berhadapan dengan situasi unik ini, adalah tanggungjawab kita untuk mencari huraiannya, bukan tanggungjawab orang lain, atau badan fatwa lain, atau institusi 'ulama dan Asatizah lain.



Yang kita benar-benar perlukan adalah keyakinan dengan identiti keagamaan kita dan pendekatan kita tersendiri, walaupun di luar sana ramai yang memberi komentar, serta melontar tuduhan ataupun cemuhan.



Yang memikul amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt adalah kita, orang Singapura.



Namun, keyakinan sedemikian mudah luntur dan dilemahkan dengan sangkaan bahawa kita adalah masyarakat Islam minoriti, di dalam negara sekular dan majoriti bukan Islam, dan negara yang amat kecil sekali.



Seolah-olah kita akan tetap dipandang rendah atau lemah, tidak kira sumbangan mahupun pemikiran yang progresif dan maju ke hadapan.



Bukankah kecil mahupun kerdilnya sesuatu atau seseorang itu tidak seharusnya menjadi kayu ukur bagi kekuatan mahupun kelemahan?



Kerana yang diukur adalah sumbangan, bukan pada saiz mahupun angka.



Bahkan Nabi Muhammad saw sendiri telah menggambarkan bahawa kelemahan umat Islam adalah kerana tiada kualiti dan kerana kecil sumbangannya, walaupun jumlahnya sangat banyak sekali.



Kerana itu saya sering mengingatkan pentingnya kita mengambil pengajaran daripada pengalaman bersama dalam menangani krisis Covid-19.



Bagaimana keprihatinan dan tanggungjawab asatizah dan kepimpinan keagamaan, bergabung dengan pakar sains perubatan, mengorak langkah keselamatan dan berjaga-jaga yang telah banyak memelihara nyawa serta mengekalkan semangat keagamaan di kalangan masyarakat Islam.



Masih banyak lagi cabaran yang menanti, di hari ini dan di hari muka.



Namun, kita perlu bersedia dalam berhadapan dengan beberapa perkara



(1) tiada contoh dalam turath keagamaan;



(2) tiada kesamaan dengan pengalaman masyarakat dan negara lain;



(3) terdapat perbezaan dengan negara-negara Islam dalam sesuatu keputusan.



Keputusan kita barangkali berbeza dengan negara lain kerana perbezaan realiti, cabaran, serta keperluan masing-masing.



Kita perlu terus berlapang dada dan menghormati satu sama lain, tanpa merasa pendirian kita lemah atau harus diragui.



ISU TARIKH HARI RAYA



Hari Raya kali ini juga tidak kurang kontroversi dan polemiknya.



Saya berpandangan perkara ini perlu kepada penjelasan lanjut, bukan hanya untuk menambahkan pemahaman yang tepat tetapi untuk menekankan pentingnya kita terus berprinsip dalam menguruskan kehidupan keagamaan kita.



Sepertimana kita semua sedia maklum, isu rukyah dan kiraan hisab merupakan isu khilafiah sejak dahulu lagi.



Di Singapura, kiraan hisab digunakan kerana adalah amat sukar bagi anak bulan untuk kelihatan disebabkan keadaan iklim Singapura yang berawan.



Oleh itu, semenjak akhir tahun 70-an, Singapura menggunakan kaedah yang dipersetujui oleh negara-negara Mabims (Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) bagi menentukan sama ada anak bulan boleh kelihatan atau tidak (iaitu kaedah imkanar-Rukyah).



Kaedah ini merupakan satu kaedah ijtihadiyyah, yang ditetapkan hasil daripada perbincangan/pengamatan pakar falak di empat negara tersebut.



Pada 2017, Singapura telah berbincang dengan negara-negara Mabims untuk mengemas kini kriteria imkan ar-Rukyah kepada kriteria yang lebih baik, hasil daripada lebih 700 data pencerapan hilal yang terkumpul dari seluruh dunia melalui mata kasar dan teleskop.



Pada tahun ini, berdasarkan kriteria baru yang telah disepakati empat negara, hilal dijangkakan tidak dapat disaksikan pada tiga negara Mabims pada 29 Ramadan.



Hanya satu rantau sahaja di Indonesia dijangkakan bakal menyaksikan hilal.



Perkara ini telah kami sahkan, beberapa minggu sebelum Hari Raya, pada satu pertemuan pakar falak Mabims.



Namun, memandangkan ini kali pertama kriteria baru ini digunakan, Pejabat Mufti bersama ahli falak Singapura telah cuba mencerap anak bulan menjelang maghrib 29 Ramadan untuk memastikan bahawa kaedah yang digunakan selari dengan hasil pencerapan.



Hasilnya, anak bulan tidak dilihat.



Terdapat perbezaan di antara negara-negara anggota Mabims kali ini berkaitan penentuan awal Syawal.



Tetapi, pada prinsipnya, kaedah-kaedah ini mengikut hadis Nabi saw yang bermaksud:



"Janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya (iaitu anak bulan Syawal). Sekiranya ia tersembunyi daripada kamu, maka hendaklah kamu sempurnakan perhitungannya (iaitu sebanyak 30 hari)."



Dari itu, semuanya berdiri di atas ijtihad masing-masing yang berdasarkan kepada hujah yang nyata.



Selagi mana Ramadan di sesuatu negara tidak melebihi 30 hari, segala ijtihad tersebut adalah ijtihad yang boleh diguna pakai kerana ia bersandarkan kepada dalil.



Ini juga bertepatan dengan kaedah Fiqh yang disepakati oleh ulama iaitu:



Maksudnya: "Sesuatu ijtihad tidak terbatal dengan ijtihad yang lain."



Maka yang jelas adalah perbezaan dalam menentukan permulaan Ramadan, Syawal dan bulan-bulan lain sememangnya boleh berlaku walaupun kita berada di rantau yang sama mahupun berdekatan.



Tiada ganjil dan peliknya.



Bahkan, Imam Muslim meriwayatkan perbezaan mulanya berpuasa dan berakhirnya Ramadan di antara beberapa sahabat yang berada di kota-kota yang berbeza.



Ketika itu, Sayidina Mu'awiyah ra berpuasa pada hari Jumaat, sedangkan mereka yang berada di kota Madinah berpuasa pada hari Sabtu, mengikut perbezaan di kalangan mereka di dalam melihat anak bulan di antara Syam dan kota Madinah.



Apabila ditanya mengapa tidak sahaja mengikut Sayidina Mu'awiyah ra agar tempoh berpuasa sama di antara umat Islam kerana anak bulan telah dilihat di Syam, Sayidina Ibn 'Abbas ra menjawab bahawa cara penentuan sedemikian (iaitu mengikut kawasan yang didiami seseorang) itulah yang diajarkan oleh Rasulullah saw, walaupun ia menyebabkan perbezaan tarikh mula dan akhir Ramadan di kalangan umat Islam ketika itu.



Begitulah yang berlaku di Singapura, walaupun benar sekalipun penampakan hilal di Labuan, Sabah, ia terlalu jauh dari Singapura hingga tidak memungkinkan penampakan hilal seperti yang berlaku antara Syam dan Madinah.



Perbezaan seperti ini telah kerap berlaku di masa dahulu, dan juga akan berulang pada masa-masa akan datang.



Adalah amat penting bagi saya dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab untuk terus berpegang teguh pada suatu prinsip, walaupun ianya mungkin tidak dianggap sebagai sesuatu yang penting bagi orang atau pihak lain.



Kita akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan dan keputusan kita bukan perbuatan dan keputusan orang lain.



Selagi mana kita berpegang pada prinsip dan dasar agama, dalam perkara ini iaitu panduan Nabi Muhammad saw yang jelas seperti yang disebutkan di atas, perbezaan penentuan awal bulan bukan sesuatu yang mustahil atau sesuatu yang mencemaskan.



Namun, pada hemat saya, di sini juga kita berpeluang untuk membuat perubahan dan sumbangan positif, selagi mana kita yakin dengan identiti dan kepimpinan keagamaan di Singapura.



Kita harus terus membina keupayaan dan kepakaran dengan bergabung dengan pakar-pakar astronomi, agar keputusan kita dalam menentukan takwim hijri bukan sesuatu yang ditentukan politik mahupun polemik, tetapi berdasarkan fakta dan dalil yang kukuh.



Alhamdulillah, Singapura mempunyai kepakaran dan keahlian yang tidak wajar diperkecilkan, di kalangan asatizah dan ahli astronomi tempatan.



Saya berhasrat memperkukuhkan lagi kepakaran serta keupayaan kita dan ini akan diusahakan oleh Pejabat Mufti dalam masa terdekat.



Sepertimana kita berjaya menangani dengan cermat cabaran pandemik dengan kerjasama pakar perubatan, saya yakin kita juga akan dapat menangani isu ini serta banyak isu lain dengan sentiasa berlapang dada dan berbincang serta bermuzakarah dengan pakar-pakar sesuatu bidang.



Peranan kita pula sebagai asatizah adalah untuk terus membimbing masyarakat agar tidak mudah dipengaruhi dengan kepalsuan dan kekeliruan yang mudah tersebar di media sosial ataupun di ruang lain.



Sekurang-kurangnya, janganlah asatizah kita sendiri menambahkan kekusutan yang hari ini amat mudah berlaku, apatah lagi di atas sangkaan semata ataupun kurang ilmu dan kefahaman di luar bidang pengkhususan kita.



Sememangnya kita diajar untuk mengejar dan mencari hikmah di mana sahaja ia berada, tetapi pada akhirnya, kita yang bertanggungjawab mencorak dan menghiasi rumah sendiri.



Agar rumah yang tersergam indah dibina di atas titik peluh kita sendiri, bukan bangunan yang tidak kukuh asasnya, dek pengaruh luar dengan segala ketidakpastian berkaitan latar belakang serta orientasinya.



Oleh itu, adalah amat kritikal sekali bagi asatizah dan kepimpinan agama di Singapura untuk yakin dan konfiden dalam menilai situasi dan konteks kita, berbekalkan prinsip dan nilai yang kukuh.



Selaku wakil Pejabat Mufti, saya menyeru semua asatizah untuk memelihara dan memperkukuhkan pendekatan jama'i di Singapura, yang dipimpin oleh Jawatankuasa Fatwa dan Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dalam isu-isu yang terkait dengan masyarakat dan asatizah setempat.



Kesatuan insititusi ini adalah anugerah dari Allah swt yang harus kita pelihara dan perkuatkan lagi dengan sebaik-baiknya.



Terimalah serangkap pantun sebelum saya mengundur diri:



Bulan Ramadan berlalu pergi

Syawal menjelang fitrah berseri

Salam kemaafan seikhlas hati

Jasamu wahai asatizah kami kenang sehingga mati




BERKAITAN POLEMIK TARIKH HARI RAYA



“Adalah amat penting bagi saya dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab untuk terus berpegang teguh pada suatu prinsip, walaupun ianya mungkin tidak dianggap sebagai sesuatu yang penting bagi orang atau pihak lain. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan dan keputusan kita bukan perbuatan dan keputusan orang lain. Selagi mana kita berpegang pada prinsip dan dasar agama, dalam perkara ini iaitu panduan Nabi Muhammad saw yang jelas seperti yang disebutkan di atas, perbezaan penentuan awal bulan bukan sesuatu yang mustahil atau sesuatu yang mencemaskan.Namun, pada hemat saya, di sini juga kita berpeluang untuk membuat perubahan dan sumbangan positif, selagi mana kita yakin dengan identiti dan kepimpinan keagamaan di Singapura. Kita harus terus membina keupayaan dan kepakaran dengan bergabung dengan pakar-pakar astronomi, agar keputusan kita dalam menentukan takwim hijri bukan sesuatu yang ditentukan politik mahupun polemik, tetapi berdasarkan fakta dan dalil yang kukuh.”
- Mufti Singapura, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >