Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WACANA

Perangi gejala dadah satu usaha bersama masyarakat

Sep 03, 2023 | 11:19 AM



Sebagai sebahagian daripada tugas saya di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), saya kerap bertemu dengan rakan kongsi masyarakat dan individu-individu yang telah menyertai usaha-usaha kami untuk mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan dalam masyarakat Melayu/Islam.

Saya menghargai penglibatan ini, bukan sahaja kerana ia memberi saya peluang untuk berterima kasih secara lebih peribadi kepada rakan-rakan kongsi masyarakat dan sukarelawan, bahkan juga kerana pertemuan seperti ini memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan usaha pencegahan dan pemulihan kita.

Dalam tempoh tiga tahun saya di MHA, saya telah menyaksikan semakin ramai rakan kongsi dan sukarelawan yang telah menyertai usaha-usaha kami untuk mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan.

Begitu juga dengan sumbangan bakti mereka yang terus meningkat.

Bekerjasama untuk Mencegah Penyalahgunaan Dadah dan Kesalahan Semula

Ramai rakan kongsi masyarakat telah menghubungi kami untuk menganjurkan acara dan kempen yang bertujuan mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan.

Sebagai contoh, sempena Kempen BebasDadah SG yang berlangsung dari Jun hingga September tahun ini, “Ride of Hope”, kumpulan minat berbasikal tempatan, dan Masjid An-Nur telah menawarkan diri untuk menganjurkan acara berbasikal bagi menggalakkan peri pentingnya kegiatan-kegiatan pro-sosial. Rumah Peralihan Pertapis juga telah menganjurkan pertandingan futsal, yang dinamakan “Kick the Habit” untuk menggalakkan gaya hidup bebas dadah.

Saya amat gembira melihat sokongan masyarakat bukan sahaja dari segi pencegahan penyalahgunaan dadah, bahkan juga dalam membantu banduan dan bekas pesalah dalam perjalanan pemulihan serta integrasi semula mereka dalam masyarakat. Untuk menggalakkan ekosistem sokongan berasaskan masyarakat yang lebih teratur bagi bekas pesalah kita, Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) telah melancarkan Rangkaian ‘Desistor’ pada April tahun ini.

‘Desistor’ adalah istilah yang digunakan untuk seseorang yang telah dibebaskan dari penjara dan kekal bersih daripada jenayah termasuk dadah. Rangkaian ‘Desistor’ menyediakan ruang yang selamat dengan para ‘desistor’ dapat memberi sokongan antara satu sama lain. Ia juga menyediakan platform untuk anggota organisasi berhubung dan menyokong satu sama lain dalam usaha mereka untuk membantu desistor.

Apabila Rangkaian ‘Desistor’ mula diperkenalkan pada Januari tahun ini, kami mempunyai 13 rakan kongsi. Apabila ia dilancarkan secara rasmi tiga bulan kemudian, rangkaian itu telah berkembang kepada 53 organisasi.

Hari ini, kami mempunyai 62 organisasi. Ini adalah bukti sokongan besar yang kami terima daripada masyarakat.

‘Desistor’ Melangkah Ke Hadapan

Ramai ‘desistor’ telah menghubungi kami dan telah tampil dengan tujuan ingin membantu orang-orang yang menghadapi situasi yang sama seperti mereka sebelum ini. Mereka juga ingin berkongsi pengalaman mereka dengan warga Singapura, untuk mencegah orang ramai daripada terjerumus ke dalam kancah kehidupan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Sebagai contoh, saya melihat semakin ramai ‘desistor’ menyertai kegiatan Dadah Itu Haram (DIH) untuk membantu menyebarkan mesej tentang bahayanya penyalahgunaan dadah.

Dalam satu majlis pertemuan semasa solat Jumaat di Masjid Sultan pada Jun tahun ini, para ‘desistor’ daripada kumpulan sokongan ‘Goal Aspiration’ telah menyertai saya dan pasukan DIH untuk menyebarkan mesej kepada para jemaah tentang bahayanya penyalahgunaan dadah.

Ini sangat bermakna bagi saya kerana perkongsian mereka tentang perjalanan peribadi mereka dari saat ketagihan kepada menahan diri bukan sahaja membantu meyakinkan lebih ramai orang tentang kemudaratan dadah, malah ia mengingatkan diri mereka sendiri untuk tidak terjerumus ke dalam perangkap dadah lagi.

Saya percaya usaha-usaha sedemikian telah membantu mengurangkan stigma terhadap mereka yang mempunyai sejarah pemenjaraan. Ini seterusnya telah menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat untuk tampil dan menyokong usaha-usaha kami semua.

Baru-baru ini, saya telah berkongsi tentang usaha, kejayaan dan cabaran yang dihadapi dalam mencegah tingkah laku melakukan kesalahan dan mengulangi kesalahan semula dalam masyarakat Melayu/Islam dalam Siri Cendekiawan Lestari, anjuran Yayasan Warisan Melayu.

Saya amat gembira apabila diberitahu bahawa terdapat beberapa orang ‘desistor’ di antara yang hadir. Mereka memberitahu saya bahawa mereka ingin mengambil peluang itu untuk berkongsi dengan penonton tentang perjalanan hidup mereka dan bagaimana sokongan daripada masyarakat telah membantu mereka kekal di jalan yang betul. Perkongsian mereka benar-benar memberi inspirasi, bukan sahaja kepada saya sendiri, bahkan lebih-lebih lagi kepada semua penonton.

Kesimpulan

Usaha-usaha kolektif kami telah menghasilkan hasil yang positif. Bilangan penagih dadah Melayu baru yang diberkas telah merosot sejak beberapa tahun, daripada 577 pada 2011, kepada 291 pada 2022. Kadar residivisme dua tahun bagi pesalah Melayu, iaitu peratusan pesalah Melayu yang kemudiannya ditahan atau dijatuhkan hukuman penjara dalam tempoh dua tahun selepas dibebaskan ke dalam masyarakat, juga telah bertambah baik – daripada 34.7 peratus bagi mereka yang telah dibebaskan pada 2011, kepada 24.7 peratus bagi mereka yang dibebaskan dalam 2020.

Kita mesti teruskan dan tingkatkan lagi usaha mendidik warga Singapura, terutamanya kaum belia, tentang bahaya penyalahgunaan dadah, supaya mereka tidak menjadi mangsa.

Dari segi pemulihan, kami ingin terus mengurangkan kadar ‘residivisme’ lima tahun jangka panjang yang kini berlegar sekitar 40 peratus. Kami mahu lebih ramai bekas pesalah terus bebas jenayah lebih lama.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa lebih ramai orang menyertai kami dalam usaha mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan dalam masyarakat kita.

Ini adalah satu usaha yang memerlukan kerjasama antara pemerintah dan rakan kongsi masyarakat serta individu seperti anda semua.

Bersama, kita boleh memastikan Singapura kekal selamat dan terjamin.

Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >