Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Kesihatan landasan kejayaan

May 29, 2022 | 05:30 AM



BERAPA ramai agaknya dalam kalangan kita yang merasakan seakan-akan masa 24 jam sehari terlalu suntuk?



Terutama sekali bagi kaum wanita, insan yang bergelar ibu mahupun mereka yang menghabiskan sebilangan besar masa setiap hari sebagai penjaga atau caregiver ibu bapa dan anak-anak kecil serta anggota keluarga yang kurang sihat.



Bagaimanakah pula dengan mereka yang sedang berlumba-lumba dan bersaing dengan sengit untuk tiba ke puncak jaya - mendaki menara gading dan juga tangga korporat?



Apakah yang terpaksa dikorbankan untuk berjaya? Apakah nilai harga kejayaan anda?



Seperti istilah Inggeris, What is the cost of your success?



Mungkin ketika ini ramai yang terdetik untuk menjawab bahawa kesihatan dan kesejahteraan diri ialah perkara yang dikorbankan.



Ataupun, mungkin hubungan kekeluargaan mahupun persahabatan?



Jadi, sejauh manakah kita bersedia dan berkebolehan untuk mengatasi dan mengawal harga sebuah kejayaan?



Bolehkah kita korbankan kesejahteraan diri dan kesihatan? Apakah yang perlu kita lakukan jika kedua-dua ini sama pentingnya dengan harga sebuah kejayaan?



VERSI TERBAIK DIRI SENDIRI



Cuba kita singkap semula pengalaman menaiki pesawat, ketika pramugara dan pramugari menunjukkan perkara yang harus kita lakukan seandainya berdepan dengan kecemasan.



Selain menerangkan langkah demi langkah cara-cara untuk menggunakan pelitup oksigen, diselitkan juga peringatan untuk memastikan pelitup oksigen kita telah dipakai dengan sempurna sebelum membantu orang lain, termasuk kanak-kanak atau orang tua.



Meskipun naluri kita mungkin untuk mengutamakan orang lain sebelum diri kita sendiri, arahan tersebut jelas dan logik.



Mengapakah kita harus memastikan diri kita sendiri terurus terlebih dahulu? Supaya tidak terjadi sama sekali istilah yang dikhuatiri ramai: 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.



Nah, di sini bermakna, mengutamakan diri sendiri terlebih dahulu kelihatan seperti langkah yang bijak.



Dengan menjadi diri kita versi yang terbaik, kita juga dapat memberikan yang terbaik dan menjadi lebih baik untuk orang tersayang dan juga masyarakat di sekeliling kita.



KERUMITAN KEHIDUPAN MASA KINI



Sukar untuk kita menafikan kini, kerumitan dan kesan apabila berdepan dengan dunia VUCA (Volatile, Uncertain, Complex, and Ambiguous), iaitu keadaan dunia yang tidak stabil, tidak pasti, rumit, dan kabur.



Dewasa ini, krisis seperti penularan wabak Covid-19 dan konflik Russia-Ukraine sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang menjejaskan kesejahteraan mahupun kesihatan kita. Skala impak atau kesan ini pastinya berbeza-beza bergantung pada keadaan setiap individu.



Ada yang mengalami kesannya dari segi mental, ada pula dari segi fizikal atau dari segi emosi. Pokoknya, kerumitan kehidupan seharian adalah satu realiti kini.



Mujur ada kemudahan yang boleh kita manfaatkan seperti National Care Hotline yang telah menerima lebih 50,000 panggilan sejak dilancarkan pada April 2020.



Orang ramai yang memerlukan bantuan untuk mengatasi cabaran Covid-19, talian nasional ini merupakan langkah pertama buat mereka.



Yang menakjubkan, talian ini dikendalikan oleh pakar dari pelbagai agensi yang menyumbang secara sukarela termasuk tenaga kerja Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).



Pada masa yang sama, satu tinjauan tentang salah satu penyedia khidmat insurans gergasi di Singapura juga menunjukkan usaha dan kesedaran yang semakin meningkat untuk menjaga kesihatan jasmani, terutama sekali dalam tempoh pemutus litar di Singapura.



Trend yang menunjukkan masyarakat lebih terbuka untuk mencari bantuan dan lebih sedar akan pentingnya menjaga kesihatan adalah sesuatu yang boleh kita dorong bersama.



MAMPU UNTUK SIHAT



Baru-baru ini Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah menyifatkan trend kesihatan masyarakat kita sebagai satu krisis.



Statistik terkini menunjukkan, antara lain, peningkatan seganda masyarakat Melayu/Islam yang menghidap kencing manis.



Menurut pakar, ini juga bermakna, risiko terhadap penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang dan darah tinggi akan turut meningkat.



Ekoran itu, sebuah Program Saham Kesihatan yang akan diterajui Setiausaha Parlimen, Cik Rahayu Mahzam dilancarkan baru-baru ini dengan harapan ia dapat dikendalikan dengan pendekatan yang sesuai untuk masyarakat kita.



Usaha ini amat tepat pada waktu dan dialu-alukan oleh PPIS, apatah lagi, kajian aspirasi wanita Islam kami yang baru-baru ini menunjukkan gaya hidup sihat merupakan antara aspirasi yang berkedudukan di tangga teratas buat wanita Islam Singapura; tidak jauh di belakang aspirasi untuk berdikari dari segi kewangan dan juga menjadi seorang Muslimah yang lebih baik.



Salah satu faktor yang harus mendapat perhatian dalam usaha membantu wanita merealisasikan aspirasi gaya hidup sihat dan menggalakkan trend masyarakat lebih prihatin terhadap menjaga kesihatan, tak lain dan tak bukan adalah kos.



Adakah kos atau kebijaksanaan mengawal perbelanjaan satu halangan untuk masyarakat kita menitikberatkan kesihatan?



Mungkinkah istilah health is wealth atau kesihatan itu kekayaan kini mungkin lebih sesuai jika disebut sebagai wealth for health atau kaya untuk sihat, yang bermaksud kemewahan diperlukan demi menjadi lebih sihat?



Mungkin situasi ini tidak begitu ketara di Singapura, dengan adanya bantuan dari pelbagai pihak - pemerintah dan agensi-agensi.



Namun, lebih penting bagi sektor swasta dan komersil menyertai usaha untuk menggalakkan kesihatan dalam kalangan masyarakat, bukan dengan tujuan mengaup keuntungan semata-mata.



KESEJAHTERAAN LANDASAN KEJAYAAN



Rezeki sering dikaitkan dengan wang dan harta.



Namun kesihatan juga adalah rezeki yang merupakan dasar penting yang boleh menjadi penggerak atau pemangkin untuk mencapai kesejahteraan.



Dan, kesejahteraan pula ialah salah satu landasan utama kejayaan.



Ekosistem perkhidmatan kesihatan kian diperkukuh untuk menawarkan peluang dan akses yang saksama turut didampingi usaha mengubah tabiat terhadap mempertahankan kesihatan.



Yang penting, kita tidak berputus asa dan terus konsisten (istiqamah) dalam usaha mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.



Masanya sudah lama tiba untuk kita sama-sama menunjukkan kesungguhan terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri demi menggapai kejayaan buat kebaikan.




  • Penulis Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).


KESIHATAN JUGA REZEKI 



"Rezeki sering dikaitkan dengan wang dan harta.Namun kesihatan juga adalah rezeki yang merupakan dasar penting yang boleh menjadi penggerak atau pemangkin untuk mencapai kesejahteraan.




Dan kesejahteraan pula ialah salah satu landasan utama kejayaan dalam kalangan gambaran, dan sasaran yang amat berlainan tatkala seseorang itu melakarkan erti peribadi kejayaan.''
- Penulis




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >