Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU BIG STAGE 2022

Publisiti murahan atau rezeki terpijak buat usahawan selebriti?

Feb 16, 2022 | 07:39 AM



USAHAWAN selebriti Ahmad Iqbal Zulkefli yang teruk dikecam di pentas Big Stage 2022 (Musim Keempat) kerana sumbang menyanyi tersingkir jua di pertandingan minggu kedua, Ahad lalu.



Dengan menyanyikan lagu 'hit' band Indonesia, Matta Band, Ketahuan, beliau adalah peserta dengan markah paling rendah sebanyak 9.2 peratus. Undian penonton buatnya juga paling rendah iaitu 5.56 peratus.



Penglibatan Iqbal yang mempunyai satu lagu tular di YouTube, Hujan, yang mencecah lebih 2.3 juta tontonan sejak dimuatnaikkan pada 1 November lalu, menimbulkan tanda tanya ramai artis dan warganet.



Bagi sebilangan daripada mereka yang merasakan Iqbal diperalatkan saluran Astro untuk sengaja timbulkan kontroversi dan sensasi demi 'memancing rating', perkara ini hanya merendahkan martabat program buat artis 'Budak Baru Nak Up' (BBNU) menyinar.



Tegas penyanyi lagu Memburu Rindu, Datuk Hattan:



"Saya bersuara dan lantang memberi teguran sebab sayangkan industri kita. Tolonglah hentikan benda begitu kalau tak nak tengok seni kita mundur dan berkubur."



Menurut Hattan, demi memajukan industri seni muzik tanah air, tidak perlu sengaja mengada-adakan publisiti murahan yang akhirnya menjahanamkan atau tidak membantu.



Hattan juga menyatakan publisiti murahan itu ibarat tidak menghormati juri arif yang diketahui tinggi mutu nyanyiannya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.



Ada warganet juga yang bersimpati dengan Iqbal, 28 tahun, yang dikatakan mereka 'terpaksa tampil macam badut' untuk dua minggu berturut-turut, diketawakan dan dikutuk selepas membuat persembahan.



Kata Bende Teh:



"Wahai Astro, jangan buat macam ni lagi. Ambil orang yang tak boleh nyanyi. Awak orang suka ke jika awak kena macam Iqbal?



"Saya rasa perkara ini tak wajar dilakukan. Saya tengok muka Iqbal sahaja, saya macam nak nangis. Tak rasa lawak langsung dan benar-benar kasihan, lagi-lagi dengan komen Ajai."



Ajai dalam ulasannya (yang tular di media sosial) menegaskan kepada Iqbal:



"Kamu tak berbakat dalam nyanyian. Bakat tak boleh dibeli dengan duit."



Warganet Secret Code Blue menambah:



"Apa yang Ajai nyatakan itu benar. Saya sangat bersetuju tetapi saya masih merasakan pilu buat Iqbal. Astro, tolonglah jangan buat publisiti macam ni. Nampak macam Iqbal nak nangis. Saya bukan peminatnya tetapi saya simpati padanya."



Perdebatan mengenai Big Stage 2022 menjadi bak program murahan begitu hangat diperkatakan, baik di media sosial mahupun di media cetak.



Di Berita Harian Malaysia (BHM), timbul frasa spesies 'kelapa komeng' bagi menjelaskan tentang golongan peserta yang tidak bagus disenaraikan atas faktor berpotensi tular dan boleh cetus perdebatan di media sosial.



Dalam laporan yang sama, BHM menjelaskan bahawa Presiden Konsortium Persatuan Industri Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abdul Majid akur mual dengan sikap stesen penyiar yang didakwa tidak peka dan cuba menjahanamkan industri muzik.



Beliau menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) supaya menilai kembali penerbitan program realiti yang disifatkan sebagai tidak memberi manfaat itu.



"Pendirian ini diambil mengambil kira sikap stesen tv terbabit yang semakin galak menerbitkan program hiburan memalukan," katanya dalam satu kenyataan.



Turut dipertikai warganet adalah pemilihan usahawan produk kecantikan sensasi, Datuk Seri Vida, sebagai Presiden Netizen, yang membaca komen warganet di Twitter.



Selepas terlibat dalam bermacam video kontroversi (termasuk percintaan bersama Iqbal yang dahulunya pembantu peribadinya) yang dirasakan tidak perlu walau ia dilihat sebagai strategi pemasaran, sesetengah warganet mengharapkan selebriti lain dapat dipilih selaku Presiden Netizen yang lebih cekap membaca komen orang dan bukan memberi pandangan diri sendiri.



Dunia hiburan televisyen memang sudah jauh berubah dengan pempengaruh sosial mula menyeberangi dunia televisyen dalam satu trend silang media untuk bawa pengikut mereka ke alam televisyen yang dikhuatiri merudum.



Malah golongan 'kelapa komeng' ini sudah wujud sejak dahulu lagi.



Hampir dua dekad lalu, seawal 2004, siapa yang tidak ingat William Hung, yang terang-terangan tidak boleh menyanyi tetapi menjalani uji bakat American Idol dengan lagu Ricky Martin, She Bangs?



Hung yang ketika itu siswa kejuruteraan sivil di Universiti California, Berkeley, kemudian menjadi pakar motivasi dan merakam album yang teruk dikecam.



Apa jadi padanya kini? Beliau dilaporkan mendapat pekerjaan tetap sebagai penganalisis jenayah di Jabatan Sheriff Los Angeles tetapi masih mengenang kerjaya hiburannya sebagai menyeronokkan.



Hung mempunyai kelab peminatnya sendiri dan banyak diundang ke program sembang besar-besaran seperti Late Show With David Letterman dan Jimmy Kimmel Live!



Apa pula akan berlaku pada Iqbal? Di sebalik episod dimalukan di Big Stage 2022, beliau sudah pun dilamar pengarah Erma Fatima untuk menjayakan drama TV3, Perempuan Itu.



Menurut BHM, Erma dikatakan menjelaskan: "Selama ini, saya melihat Iqbal terlalu kerap berlakon dalam media sosial. Jadi, saya nak juga tengok adakah Iqbal berbakat di depan kamera. Nyatanya, menerusi sesi uji bakat selama dua hari, Iqbal sangat komited hadir ke sesi latihan dan lulus dalam ujian."



Justeru, orang mungkin melihat apa yang berlaku di Big Stage 2022 merupakan publisiti murahan tetapi di sebalik segala kecaman, nampaknya ada rezeki terpijak buat Iqbal.



Begitulah realitinya hiburan era tular menular penuh kejutan, sesuatu yang perlu kita hadam dan lihat potensinya secara positif.



Big Stage 2022 disiarkan di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) setiap Ahad, 9 malam.




 "Kamu tak berbakat dalam nyanyian. Bakat tak boleh dibeli dengan duit."

- Ajai dalam ulasannya (yang tular di media sosial) kepada Iqbal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >