Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Pesilat S’pura teruskan latihan, tumpu pada prestasi dalam gelanggang

Tidak terjejas oleh ketiadaan CEO Persisi, Sheik Alau’ddin, yang sedang disiasat bagi dakwaan pecah amanah
Mar 01, 2024 | 11:29 AM



Tumpuan pesilat nasional Singapura buat masa ini hanya pada usaha memperbaiki prestasi mereka di dalam gelanggang dan bukan hal luar yang melibatkan persekutuan sukan itu.

Demikian menurut juara dunia, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin dan Nurul Suhaila Mohd Saiful, yang berkata pesilat negara sedang meneruskan latihan dua kali sehari seperti biasa.

Mereka ditemui Berita Harian semasa majlis meraikan usaha, sumbangan dan pencapaian atlet dan pegawai Team Singapore yang dihoskan Presiden Encik Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 29 Februari.


Sheik Ferdous dan Suhaila, kededuanya penerima Biasiswa Spex, sedang mempersiapkan diri bagi Kejohanan Pencak Silat Dunia, yang dijangka berlangsung di Indonesia pada pertengahan 2024.

Pada asalnya edisi ke-20 pentas terbesar sukan silat itu dijadualkan berlangsung pada Disember 2023 di Singapura serentak dengan edisi kelima Kejohanan Pencak Silat Junior Dunia.

Ia dibatalkan berikutan siasatan Jabatan Ehwal Komersial terhadap ketua pegawai eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau’ddin Yacoob Marican, pada November 2023, atas dakwaan pecah amanah.

Siasatan masih dijalankan ke atas bekas juara dunia silat Singapura itu.

Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai hala tuju Persisi, Suhaila, pemenang pingat emas Sukan SEA 2022, berkata:

“Secara peribadi, tidak kira apa yang berlaku di sekeliling, matlamat saya tetap untuk menang di Kejohanan Dunia dan temasya sukan utama.

“Saya sedang berusaha menjadi versi terbaik saya dan untuk terus bebas daripada kecederaan.”

Tumpuan Sheik Ferdous juga tidak berubah meskipun ketiadaan Sheik Alau’ddin, yang juga bapanya dan berpengaruh besar dalam arena silat Singapura dan antarabangsa.

“Bagi saya, saya dapat membezakan antara kerjanya sebagai seorang CEO dengan menjadi seorang bapa.

“Walaupun dia tiada sebagai CEO, saya masih mempunyai dia sebagai bapa saya. Apabila saya pergi menyertai pertandingan, saya tahu saya kekal mendapat sokongannya di rumah,” ujar pemenang pingat perak Sukan SEA 2022 itu.

“Saya harus berdisiplin dan tahu di mana tumpuan saya sebagai seorang atlet, iaitu menjadi versi terbaik saya dan beraksi dengan cemerlang dalam pertandingan,” tambah anak ketiga daripada enam adik-beradik itu.

Sheik Alau’ddin sebelumnya turut menggalas peranan sebagai ketua jurulatih pasukan nasional.

Duo itu mendedahkan bahawa latihan kini dikendalikan oleh jurulatih, Hasmuzaffar Hasibollah dan Mohd Noor Rafili Mohd Ramli. 

Pesilat nasional antara lebih 700 atlet dengan pegawai Team Singapore yang hadir di majlis di Istana itu.

Mereka terdiri daripada kontinjen yang mewakili Singapura di temasya sukan utama pada 2023, termasuk Sukan SEA dan Sukan Para Asean di Kemboja; Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Hangzhou; dan Sukan Dunia Olimpik Istimewa di Berlin.

Dalam ucapan beliau di majlis itu, Encik Tharman memuji kegigihan, ketabahan dan prestasi cemerlang atlet di temasya sukan itu, dan menekankan peranan penting sukan dalam membangkitkan rasa bangga pada negara dan memupuk identiti bersama dalam kalangan warga Singapura.

Beliau turut menjangka Singapura mencapai tahun-tahun terbaik dalam bidang sukan pada masa akan datang dengan adanya kini ekosistem lebih kukuh untuk membangun atlet dari usia muda.

“Untuk mencapai potensi kita, kita mesti berpandangan jauh.

“Kenal pasti bakat berpotensi di setiap sudut Singapura lebih awal, asah mereka, pastikan semangat dalam diri mereka tidak pudar terlalu cepat, dan bantu mereka yang mendedikasikan masa bertahun-tahun bagi meraih pencapaian sukan untuk mempunyai kerjaya yang baik walaupun mereka telah mencapai kemuncak dalam sukan,” tambah Encik Tharman.

Majlis itu adalah yang pertama diadakan sejak 2019.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >