SEMBANG PENDETA

Beratur dari zaman Jepun

UNTUK mendapatkan apa jua barangan catuan dalam zaman Pendudukan Jepun (15 Februari 1942-15 Ogos 1945), rakyat mesti beratur, tidak kira tempat dan masa.

"Zaman British dulu, orang berpusu-pusu dan berasak-asak - siapa kuat dan cepat akan dapat.

"Tapi dalam zaman Jepun, siapa tak mau beratur, akan kena tempeling, sepak dan terajang oleh askar Jepun yang lengkap bersenjata raifel, bengis lagi garang.

"Jadi, mau tak mau orang akan beratur panjang, tidak kira masa untuk mendapatkan catuan," ujar Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ariff.

Ketika zaman perang yang perih, barangan keperluan memang amat terbatas, terutama beras dan gula serta ubat-ubatan.

"Jadi, antara banyak disiplin yang diperkenalkan Jepun secara paksa, saya rasa, beratur atau queue terus menjadi amalan kita sampai sekarang.

"Ia mencerminkan siapa dulu, berada di depan untuk menetapkan haknya," kata Cikgu Ariff, yang baru menyambut hari jadinya ke-89 pada 6 Disember lalu. Hari ulang tahun perkahwinannya pula 12 Disember.

Menurutnya, disiplin Jepun itu memang bersifat ketenteraan. Namun, sama ada dalam zaman diperintah tentera atau tidak, ia sudah menjadi kebiasaan di Jepun yang merupakan antara negara termaju di dunia dan tentulah di Asia.

Malah sejumlah negara meniru cara Jepun seperti Malaysia dengan Dasar Pandang Timur yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohammad, perdana menterinya yang keempat dan pernah melalui zaman Jepun di Malaya.

"Seyogia, Jepun merupakan negara Asia pertama dalam zaman moden atau dalam abad ke-20 yang berjaya melawan kuasa-kuasa Barat. Apabila kalah dalam Perang Dunia Kedua, Jepun tidak terus putus harap. Bahkan ia bangkit semula, antara lain, kerana disiplinnya yang cukup tinggi," kata Cikgu Ariff.

Ketika zaman catuan itu, ayahnya mendapat satu gantang beras, begitu juga dengan Cikgu Ariff, dan adiknya yang bernama Muhaiyan. Ketika itu beliau mempunyai adik angkat bernama Maniseh.

"Kami terpaksa makan rebusan ubi kayu dan campur sedikit beras. Ibu tiri saya terbukti tak boleh makan ubi kayu, tetapi nasi saja. Jadi kami berkorban ketika itu demi penakatan," katanya.

Zaman beratur kerana catuan itu penting dalam membangun semangat bersiap sedia, tahu mengatur keutamaan dan tentulah sanggup berkorban.

"Kita kini zaman cukup serba serbi. Ada kedai dan restoran 24 jam. Semuanya ada, tak susah. Ini membuat kita ambil mudah.

"Tapi sekali-sekala jika ada latihan pertahanan awam dalam rangka membela negara, mungkin wajar kita adakan catuan, amalan beratur dan sebagainya untuk mengukuhkan disiplin kita," katanya.

Oleh itu, zaman Jepun yang perih di Singapura masih menguntumkan hikmah juga, hujahnya.

"Setiap masa ada kesukaran dan kemudahan. Inilah juga makna dan mesej dalam surah Al-Insyirah. Tuhan mahu kita mengamalkan disiplin diri - mengatur waktu, tahu mengutamakan dan sebagainya agar kita menjadi insan yang bersyukur," tambahnya.

  • Catatan MOHD RAMAN DAUD
  • Minggu depan: Tanda-tanda kiamat

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 70
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.