Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Si Pengirim Garam III

Nov 12, 2017 | 05:30 AM



SEBENARNYA saya sedang mencuri masa untuk menulis lagi. Kali terakhir saya menulis ialah saat pendakian ini baru berusia 2 peratus. Sekarang, saya mungkin sudah menjejaki separuh daripada usia pendakian ini.



Kalau ditanya berapa jauh lagi destinasi, sesungguhnya saya tidak tahu.



Mungkin ada yang bertanya, siapakah saya? Sekiranya kamu tidak pernah menemukan risalah saya sebelum ini, saya ialah si pengirim yang berbasikal tidak kira ke mana sahaja. Suatu pekerjaan yang mungkin baru sahaja laku di tempatmu, namun hakikatnya saya sudah lama memikul gelaran itu. Jauh lebih awal daripada anak-anak yang sering kamu lihat di pinggir jalan kotamu bersama kotak berwarna terang.



Berbeza dengan saya juga; saya ialah seorang pengirim yang tidak endah pada isi maksud suatu bungkusan. Saya bukan tidak endah, malah saya tidak mahu endah. Pada saya, pengetahuan lengkap mengenal bungkusan akan memakan diri sendiri.



Contohnya, bagaimana jika saya diminta untuk mengirim kemaafan daripada anak kepada ibu bapanya yang sudah lama tidak diziarahi? Bagaimana sekiranya saya terjatuhkan basikal saya, lalu kemaafan itu terhambur keluar dan berubah bentuk hingga tidak sama dengan yang asli? Atau bagaimana sekiranya saya tiba lewat daripada usia orang tua itu lantas kemaafan itu jadi hilang ertinya? Maka oleh itu, saya sentiasa tidak mahu tahu apa yang dikendong di belakang basikal ini.



Pernah saya mengayuh dan membonceng muatan seberat ini tanpa mengetahui isi kandungannya. Bukankah sudah saya katakan, kesilapan fatal seorang pengirim ialah saat dia tahu tentang barang yang dia bawa. Lebih bahaya sekiranya dia tahu kepada siapa tujuan kiriman itu. Saya pernah melakukan tugas seberat ini saat saya mula-mula menjawat tugas mulia ini.



Pada waktu itu, saya pernah menghantar bungkusan berisi cahaya mentari dan simpati yang saya sendiri pasti beratnya bukan kepalang. Namun saya tidak pernah mengeluh kerana saya tidak pernah mengetahui isi bungkusan itu. Saat saya lihat wajah penduduk gua yang rindukan cahaya mentari dan riak ceria si pemungkir janji apabila melihat simpati, barulah saya tahu nilai muatan itu. Namun hairannya, saya hanya berasa berat dan payah saat memikulnya turun dari basikal. Cuma dalam masa beberapa detik.



Ternyata sekarang ini saya telah menemukan satu kecelakaan atas pengetahuan saya sendiri. Atau saya tidak patut merasakan itu suatu bentuk kecelakaan?



APABILA AIR SUNGAI JADI TELAGA SERIBU RASA



Setelah Pak Penghulu di muara sungai antah-berantah itu menyerahkan bungkusan ini, saya menjadi terlalu peduli. Di boncengan basikal ini, terkandung garam yang telah dilemakkan oleh tukang masak terhandal di muara sungai. Muara sungai yang airnya lebih tawar daripada erti sebenar tawar, berubah menjadi telaga seribu rasa setelah saya bawakan garam yang dikirim oleh seorang wanita dari toko bunga di simpang jalan. Betapa semua orang di muara itu menyanjung kehadiran saya hinggakan mereka mampu menghasilkan garam yang lebih baik daripada garam yang saya hantarkan sebelum itu.



Maka sekarang, saya terbeban dengan bungkusan yang dikirim Pak Penghulu. Sebenarnya beban itu tidaklah terlalu berat jika dihitung pada intinya, namun beban tanggungjawab dan kebersalahan sekiranya ada apa-apa yang bakal berlaku pada bungkusan itu. Yang membuatkan saya begitu bimbang hingga kayuhan saya menjadi terlalu lambat akibat berhati-hati ialah tentang tujuan kiriman ini.



Kiriman ini ialah untuk penduduk di puncak gunung antah-berantah yang jahil tentang rasa masin garam.



Sepertimana yang telah saya katakan, saya ialah seorang pengirim yang telah lama mengabdikan diri dalam pekerjaan ini. Bagi kamu yang baru mengenali diri saya, mungkin ada rasa pelik yang terdetik dalam hatimu. Apalah yang dihairankan dan diberatkan pada pekerjaan seorang pengirim yang ditugaskan menghantar sesuatu?



Kamu tidak tahu, ini tugas yang lain daripada yang lain.



Hakikat bahawa puncak gunung antah-berantah itulah yang menjadikan pekerjaan ini suatu kerja yang tidak nampak garis penamatnya.



Gunung itu terlalu tinggi untuk saya daki bersama karungan garam yang tidak terhitung beratnya. Lebih menyedihkan, basikal ini juga mungkin tidak cukup muda untuk dipadankan dengan tanggungjawab sebesar itu.



Sesungguhnya saya merindui tugasan yang sebelum ini iaitu mengayuh basikal untuk mengirim sesuatu yang tidak diketahui. Hingga saat ini, saya masih tidak mengerti mengapa saya yang dipilih untuk menghantar garam itu kepada mereka di puncak gunung antah-berantah. Sekali lagi, mengenangkan nasib mereka yang tidak pernah merasakan rasa masin, saya jadi kasihan lalu bersemangat. Namun maklumlah bahawa semangat itu tidak berlama.



INDAHNYA APABILA PERJALANAN DITEMANI TUPAI DAN RAMA-RAMA



Cuba kamu fahamkan, orang yang mahir mengayuh basikal, tidak sama dengan orang yang mampu mengimbangi berat muatan. Sebenarnya saya tidak biasa membawa muatan yang besar bentuknya. Ini ialah kali pertama. Oleh sebab itu, basikal yang begini sifatnya tidak terdaya menampung bungkusan garam ini.



Sepertimana yang dikatakan, pekerjaan mengayuh, membawa, mengimbangi dan menghantar itu ialah pekerjaan yang berbeza sifat dan lakunya. Sama dengan hal orang yang pandai bercucuk tanam itu; adakah bermakna dia mampu menggubah karangan bunga yang indah?



Ya. Tidak logik menurut akal yang cerdik. Mungkin boleh berlaku sekiranya ia berserta kesungguhan dan kebijaksaan seseorang untuk mendobrak kebiasaan. Namun itu bukan saya.



Ah, perjalanan ini terlalu sunyi. Kamu bayangkan, dahulu saya ditemani oleh tupai dan rama-rama yang sudi menari-nari di keliling saat saya bosan mengayuh. Akan tetapi sejak saya mendaki, saya sudah tidak nampak mereka lagi. Pendakian ini dipenuhi dengan batu-batu besar dan pohon-pohon kering yang mengulum kesunyian akibat tidak pernah disapa oleh sesiapa. Malah saya yang mengayuh di situ juga tidak berani menegur mereka kerana erti kemesraan mereka tidak sama dengan tupai dan rerama. Mereka lebih selesa ditemani secara diam diri daripada bergurau dan ketawa.



Saya sungguh penat dengan kesepian di kanan dan kiri. Namun bukankah kepenatan itu milik semua orang? Malah pendaki yang berpapasan dengan saya di pinggir sungai kelmarin juga merasa penat katanya. Saya tidak pasti sama ada kepenatannya serupa dengan kepenatan saya. Tetapi dia mungkin keliru tentang erti mendaki dan mengayuh. Apatah lagi kayuhan ini ialah atas dasar tanggungjawab. Garam-garam di boncengan saya ialah lambang pada butir-butir nasib insan lain.



Ah, kalau tidak penat, namanya bukan manusia 'kan? Itu kekata bayu yang saya pernah dengar saat saya mengambil nafas di sisi basikal sambil menyumpah seranah guni garam yang celaka itu. Kemudian saya menendang roda basikal buat kali yang ke berapa. Marah!



Hanya selepas beberapa malam saya berehat di sisi basikal malang ini, saya menyedari bahawa perjalanan ini sebenarnya ingin berbicara dengan saya pada hal yang tidak disedari akal. Sedaya upaya, saya cuba melihat sisi baik daripada pendakian yang menyeksakan ini. Rupa-rupanya, saya kian merasakan bahawa saya menjadi lebih cakna pada setiap elemen yang menemani saya selama ini. Saya yang sebetulnya ini tidak pernah menghargai basikal, mentari dan jalanan yang rata, menjadi lebih peduli pada mereka semua.



Saya sering bersembang dengan mereka. Saat mentari menjenguk di pagi hari, saya akan tersenyum padanya dan mengucapkan semoga dia baik-baik sahaja sepanjang hari. Ada kalanya saya perlu memujuk demi kerinduan kami pada satu sama lain. Begitu juga dengan jalanan yang rata yang sering saya puji cantik rupanya. Bukan mudah untuk ditemui jalanan yang begitu memudahkan saat berada di pergunungan. Setiap kali saya bertemu dengan jalanan yang rata, saya akan mengucapkan terima kasih atas kehadirannya yang meringankan perjalanan berat ini.



BASIKAL TUA JADI TEMAN SETIA



Dan yang paling saya terlupa menghargai kewujudannya ialah basikal ini. Basikal yang selama ini saya kayuh ke mana-mana, hanya saya sedar kesetiaannya di saat saya mula menjejak kaki gunung ini. Barulah saya nampak lekuk uzurnya di bahagian pedal, karat di tempat pemegangnya dan roda yang sudah kurang lurus.



Betapa saya kecewa dengan diri sendiri kerana tidak pernah menghargai dan menjaganya dengan sempurna sebelum ini. Malah segala sepak dan tendang yang saya tempiaskan padanya diterima dengan kaku. Ternyata dia telah menemani saya tanpa jemu dan kadangkala menghiburkan dengan bunyi keriuk yang lucu. Hanya setelah perjalanan yang sungguh rumit ini, barulah saya melihat dan membelai segala kekurangan dirinya. Saya membayangkan betapa kejamnya saya yang sering mengadu padanya tentang kejauhan saya dengan tupai dan rerama sedangkan kehadirannya selama ini cukup membahagiakan dan membantu perjalanan saya.



Demi memujuk segala dosa yang saya pertanggungjawabkan atas diri sendiri, saya akan berbicara dan mengusap basikal ini setiap masa. Ada kalanya perbuatan ini dipandang hairan atau serong oleh mata pendaki gunung lain yang tidak pernah mengenali saya, tetapi saya tidak peduli.



Mungkin rahmat perjalanan ini ialah saya dapat mengenali semua hal yang membangunkan saya selama ini.



Pada waktu ini, saya lihat tayarnya semakin meminta agar dikasihani. Maka saya berhenti sebentar untuk menulis sekali lagi, seperti mana yang pernah saya lakukan dahulu. Tulisan kali ini mungkin tidak sama nadanya dengan tulisan sebelum ini. Jika sebelum ini, saya menulis dengan penuh pengharapan agar pekerjaan mengirim garam ini difahami oleh semua. Atau sekurang-kurangnya ia menjadi hiburan kepada mereka yang sudi mengetahui tentang cerita malang ini.



Kali ini, saya menulis untuk memberitahu bahawa saya masih bertahan dan mengayuh dengan sepenuh kudrat. Juga masa yang saya ambil ini ialah untuk merakamkan betapa saya menghargai teman-teman sepi di dalam perjalanan ini.



- Oleh CHEMPAKA AIZIM




BIODATA PENULIS



Chempaka Aizim, yang nama sebenarnya Siti Aisyah Mohamed Salim, lulusan sarjana muda Persuratan Melayu dengan kepujian (2007-2010) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sarjana persuratan Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.



Beliau memenangi hadiah pertama Sayembara Noktah Putih 2006 (kategori remaja) anjuran Asas '50 dan duta bahasa sempena kempen Bulan Bahasa 2015.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >