Seorang teman sanggup menunggu Sarah Yasmine, wanita yang mendakwa dirinya ‘kekasih gelap’ penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, bersiaran secara langsung di TikTok walaupun jam sudah menunjukkan 3 pagi.
Sebab katanya, banyak kisah sensasi dan tangkap layar artis lain (bersangkutan isu hubungan Aliff Aziz dengan pelakon gandingannya) yang dikongsi Sarah setiap kali bersiaran langsung.
Aduhai...sanggup ya sedangkan ramai rakan wartawan dari seberang mula memohon agar Sarah tidak menyukarkan tugas mereka dengan tiba-tiba membuat kenyataan menggemparkan pada dinihari.
Bukan apa. Wartawan nak lelapkan mata sebelum tugas menjejak berita bermula lagi keesokan hari. Tahu-tahu perlu duduk depan komputer untuk menulis laporan tentang kisah sensasi Aliff Aziz, Bella Astillah dan Ruhainies yang tular tahap ‘impak maksima’ sejak beberapa minggu lalu.
Saya sendiri sangka isu hangat ini sudah reda setelah dihujani bermacam ‘watak sampingan’ (artis) yang dikatakan terbabit atau tiba-tiba terheret dalam isu kontroversi ini.
Daripada isu khalwat Aliff dan Ruhainies, tiba-tiba pergi pula pada kisah isteri Aliff, Bella mempunyai hubungan dengan pelakon baru, Muaz Zabir.
Kemudian apabila Erma Fatima membuat kenyataan tentang perkara ini dan pembabitan Sarah, seorang warga Singapura, dan Aliff yang beliau nyatakan merosakkan industri hiburan Malaysia, perkara skala kecil meledak jadi isu besar dua negara, Singapura dan Malaysia.
Tak cukup dengan itu. Kemudian timbul pula kisah ‘perang’ Instagram antara adik Aliff, Aisyah Aziz dan adik Bella, Didi Astillah berhubung dengan situasi kacau-bilau dalam rumahtangga Aliff dan Bella yang dilanda badai kencang.
Segalanya menjadi lebih sulit dan kusut sebab isu ini menjadi persis plot drama lebih 300 episod yang tiada kesudahannya sampaikan ada warganet yang menjadikannya bahan Instagram Story sambil bertanya: “Bila nak ‘game’ cerita ni?”
Mereka penat dan jenuh. Makin kononnya ingin diperjelas dalam wawancara podcast atau televisyen, makin kabur. Ada juga kenyataan yang semakin membuat anda terasa ‘krik...krik...’ atau biar betul?
Bagi saya, sebenarnya, wartawan ada hak untuk tidak perlu melaporkan sesuatu isu yang sudah meledak dan merebak di luar kawalan. Lagi pun, ia boleh sahaja dibaca di Instagram seseorang artis yang terbabit dalam hal ini.
Kadangkala wartawan kelihatan seperti menambah bahang pada sesuatu situasi yang menanti tempoh reda atau pepatah Inggerisnya, ‘adding fuel to the fire’.
Asal jumpa Bella, mereka akan bertanya soalan seperti apa komennya mengenai kenyataan Aliff dalam podcast The Common Folks.
Beliau enggan mengulas dan ingin tumpukan perhatian pada projek lakonannya.
Apabila Bella tidak mengulas, si wartawan tanya pula dengan Aliff reaksinya. Sebab itulah, tak ‘game’ perihal ini dengan ramai yang kata, tunggu sahaja kes cerai dan kes khalwat diketengahkan di mahkamah. Barulah ada perkembangan baru daripada hanya meninjau perbalahan artis lain di Instagram mengenai perkara ini.
Memang ada yang kata wartawan hiburan adalah yang paling ‘kay-poh’ atau diperlukan untuk jadi terlebih ‘kay-poh’ untuk dapatkan berita sensasi yang orang pastinya akan baca.
Tapi saya kira kalau isu sudah jadi di luar kawalan sampaikan boleh heret ramai untuk memfitnah, lebih baik hentikan sebab kita pun perlu jawab apa kita buat dengan amanah kita di Mahkamah Keadilan Padang Mahsyar.
Tak boleh diikutkan sangat hanya kerana skop berita hiburan sejak dari dahulu dikenali sebagai yang ‘panas’ dan sensasi.
Etika kewartawanan, walau apa pun cabang laporan, harus menjunjung pada kebenaran dan lebih baik lagi jika laporan yang dijana memberi inspirasi.
Saya pernah menghadiri acara pelancaran lagu seorang bakat Singapura di sini yang turut dihadiri seorang wartawan negara jiran.
Apabila saya diminta mengulas lagu bakat ini, saya memberinya perangsang agar teruskan berkarya dan tidak patah semangat.
Wartawan seberang itu dengan senyum sinisnya berkata: “Oh macam ni gaya wartawan Singapura ya? Kalau lagu tu tak sedap, cakap sahaja tak sedap.”
Beliau mengambil mikrofon apabila gilirannya mengulas tiba seraya berkata dengan ‘laser’: “Awak betul nak jadi artis dengan mutu lagu macam ni? Buat acara besar-besaran tapi mutu tak jaga.”
Aduhai, sejak peristiwa yang berlaku lebih sedekad lalu itu, jangan katakan lagu baru, bayang artis tempatan itu pun sudah tidak nampak lagi.
Bagi saya, wartawan mempunyai amanah malahan kerana kata-kata perangsang yang diberi, seorang artis muda dan baru lebih dapat memacu semangatnya hingga berjaya.
Tidak rugi beri kata perangsang dan tak perlu kita mengecam. Kadangkala apabila kita lebih tenang dan bikin si artis selesa untuk diwawancara, bermacam kisah benar yang tidak pernah kita duga akan dikongsi dengan sukarelanya.
Sampai ke hari ini, artis yang sudah ada nama di persada seni seperti juara Singapore Idol (Musim Ketiga), Sezairi; juara Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid serta ‘rapper’, pelakon Anak Metropolitan 4.0 serta deejay sambilan Ria 897, Qis Maraj, akan ingati wawancara pertama mereka dengan saya.
Terharu apabila mereka mengucapkan terima kasih atas dorongan yang diberi dalam interviu pertama itu.
Dalam pada itu, pada 11 Mei lalu, heboh pula di beberapa media utama laporan mengenai pelakon dan pengacara, Raja Azura, menamatkan zaman jandanya apabila tersebar di Instagram gambarnya yang berpakaian seperti ‘Raja Sehari’.
Selepas kecoh sekampung tentang foto dan berita itu, keesokan harinya, dimaklumkan bahawa yang mendirikan rumah tangga sebenarnya adalah sepupu Raja Azura daripada Kerabat Diraja Perak, Raja Muzaffar Idris Shah Raja Izzuddin Iskandar Shah Al-Haj.
Rupanya foto itu hanya gimik sahaja. Tak pasti jika semua ini memang sudah dirancang dengan siaran berita serentak atau sudah dilupakan budaya periksa dan periksa kembali atau ‘check and recheck’ dalam dunia kewartawanan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg