51 maut dalam serangan di majlis kahwin di Turkey, ISIS mungkin dalangnya

ANKARA/ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera pada lewat Sabtu  (20 Ogos waktu Turkey), dalam serangan yang mungkin dilakukan oleh seorang pengebom bunuh diri dalam satu majlis perkahwinan di bandar Gaziantep di Turkey, berhampiran sempadan Syria, kata pegawai.

"Jumlah mereka yang terbunuh dalam pengeboman pengganas ialah, hingga hari ini, 50," kata pejabat Gabenor Ali Yerlikaya dalam satu kenyataan, menaikkan jumlah 30 sebelum itu.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berkata pada Ahad (21 Ogos) kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) "mungkin pelaku" serangan bom tersebut.

Beliau berkata dalam satu kenyataan bertulis bahawa "tiada beza" antara kumpulan pendakwah Fethullah Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang beliau salahkan bagi percubaan rampasan kuasa yang gagal pada Julai, Parti Pekerja Kurdi (PKK) yang diharamkan, "dan Daesh (ISIS), yang kemungkinan besar melakukan serangan di Gaziantep".

Serangan itu nampaknya dijalankan apabila sekumpulan besar orang daripada majlis perkahwinan tersebut keluar ke jalan raya sebagai sebahagian daripada sambutan, kata sumber keselamatan.

Ia berlaku di daerah Sahinbey di bandar yang dikatakan mempunyai sejumlah besar penduduk Kurdi. Menurut laporan, ramai orang Kurdi menghadiri majlis perkahwinan itu.

Ambulans meluru ke tempat kejadian dan rakaman video daripada penyiar CNN Turk menunjukkan polis dan pekerja perkhidmatan kecemasan bergegas melalui jalan-jalan yang sesak dengan orang ramai.

Imej dari tempat kejadian menunjukkan tubuh-tubuh manusia diselimuti lembaran putih manakala saudara-mara mangsa ditenangkan di tepi jalan.

"Bahagian-bahagian tubuh yang darah dan badan bersepah di mana-mana," kata seorang saksi, Encik Veli Can, 25 tahun.

"Negara kita dan bangsa kita sekali lagi mempunyai hanya satu mesej buat mereka yang menyerang kita - kau tidak akan berjaya!" kata Encik Erdogan, sambil menambah bahawa serangan PKK ke atas pasukan keselamatan telah membunuh 70 nyawa pada bulan lepas sahaja.

Beliau berkata tujuan serangan seperti di Gaziantep itu ialah memecahbelahkan kumpulan berbeza di Turkey, seperti orang Arab, Kurdisdan Turkoman dan "menyebarkan hasutan mengikut garis etnik dan agama:.

Terdahulu, Encik Samil Tayyar, seorang anggota parlimen daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang memerintah, berkata di Twitter bahawa militan ISIS disyaki sebagai dalang serangan itu, manakala Timbalan Perdana Menteri Mehmet Simsek memberitahu stesen televisyen NTV ia dikelihatan dilakukan oleh pengebom bunuh diri.

Encik Mehmet Erdogan, seorang anggota parlimen AKP bagi Gaziantep, berkata tidak jelas siapa bertanggungjawab bagi letupan itu tetapi ada "kemungkinan tinggi" ia serangan bunuh diri.

Beliau menambah bahawa ia adalah jenis serangan yang mungkin dilancarkan oleh ISIS atau PKK.

Encik Mahmut Togrul, anggota parlimen Gaziantep daripada Parti Demokratik Rakyat yang pro-Kurdi, berkata ia majlis perkahwinan Kurdi.

Ramai ahli parti itu menghadiri majlis tersebut, yang turut dihadiri ramai wanita dan kanak-kanak.

Letupan itu ialah serangan terbaru yang menggegarkan Turkey, yang telah menyaksikan rentetan serangan yang dipersalahkan ke atas militan Kurdi dan Islam serta rampasan kuasa berdarah yang gagal pada 15 Julai. - Reuters, AFP

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 18
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.