Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Angka korban kian meningkat; banjir landa Bangladesh, India

Jun 21, 2022 | 05:30 AM



SYLHET (BANGLADESH): Ribut yang diakibatkan musim monsun di Bangladesh dan India mencetuskan banjir besar yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 59 orang manakala jutaan yang lain terjejas.



Insiden banjir merupakan perkara biasa buat penduduk di kawasan rendah di Bangladesh, namun perubahan iklim menjadikan bencana alam itu semakin kerap berlaku dan sukar dijangka.



Hujan lebat dilaporkan turun sejak minggu lalu di bahagian timur laut Bangladesh, menyaksikan pasukan tentera dikerah ke beberapa lokasi bagi menyelamatkan penduduk yang terkandas.



Banyak sekolah turut dijadikan pusat perlindungan sementara selepas sejumlah rumah musnah dihanyut arus banjir yang deras.



"Seluruh kampung sudah ditenggelami air sejak awal pagi Jumaat lalu dan kami terkandas tidak dapat keluar.



"Selepas menunggu lebih sehari di atas bumbung rumah, kami akhirnya diselamatkan oleh jiran menggunakan bot... sejujurnya kami tidak pernah melihat banjir seteruk ini," kata seorang penduduk di kampung Companiganj, Encik Lokman.



Seorang lagi penduduk, Cik Asma Akter memberitahu banjir besar yang berlaku menyebabkan keluarganya menanggung kelaparan selama dua hari, selain berdepan cuaca sejuk.



"Air naik begitu cepat sehingga kami tidak sempat menyelamatkan barangan penting.



"Dalam keadaan begitu, bagaimana kami boleh masak?" tanyanya.



Negara ini turut dilanda fenomena petir yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa sejak Jumaat lalu.



Antara yang terkorban termasuk tiga kanak-kanak dan remaja berusia 12 dan 14 tahun.



Ketiga-tiga mangsa itu disambar petir di pekan Nandail.



Selain itu, empat lagi maut akibat tanah runtuh di bandar pelabuhan Chittagong, manakala 16 terbunuh akibat insiden serupa di Meghalaya.



Di wilayah Assam di India, lebih 2.6 juta penduduk terjejas akibat banjir yang melanda, selain 18 terkorban akibat lemas dan tanah runtuh sejak Khamis lalu.



Ketua Menteri Assam, Encik Himanta Biswa Sarma, memberitahu media bahawa semua pihak dikerah supaya menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk terjejas dengan segera.



Dalam pada itu, keadaan banjir di Bangladesh dilaporkan semakin teruk sejak semalam apabila hujan lebat terus turun, termasuk di wilayah Sylhet.



Jurucakap kerajaan tempatan, Encik Mosharraf Hossain, berkata situasi semakin teruk - hampir semua kawasan terputus bekalan elektrik, selain menyebabkan lapangan terbang antarabangsa ketiga terbesar di negara ini terpaksa ditutup selepas dinaiki air.



Di beberapa kawasan, penduduk setempat dilihat meredah banjir para pinggang untuk mengambil barangan penting di dalam kenderaan dan rumah mereka yang ditenggelami air.



Agensi kaji cuaca meramalkan keadaan buruk akan berterusan selama dua hari lagi dengan hujan lebat berterusan.



Sylhet sebelum ini dalam fasa pemulihan selepas dilanda banjir pada bulan lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan empat juta terjejas. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >