Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Bela nasib, ubah sikap negatif terhadap OKU

Dr gigi gerakkan dana, kepakaran bantu sedia anggota tubuh palsu bagi orang kurang upaya
Apr 22, 2018 | 05:30 AM



MEDAN: Sepuluh tahun lalu, di klinik pergigian Dr Annita Foe di kota Medan, Indonesia, beliau melihat seorang pesakit gelandangan berkerusi roda terkial-kial mengangkat badannya untuk duduk di kerusinya.



Selepas memberikannya pemeriksaan percuma, doktor gigi itu bertanya apa lagi yang boleh dilakukannya untuk membantu wanita itu, yang lumpuh dek polio semasa kanak-kanak. Soalan biasa itu membawa Dr Foe kepada misi peribadi membantu orang kurang upaya dan mengubah sikap.



"Saya terkejut - saya tidak pernah melihat orang seperti itu sebelum ini," ujar Dr Foe, 53 tahun, naib presiden Yayasan Surya Kebenaran Internasional, yang menjalankan klinik kesihatan dan menyediakan perkhidmatan asas lain bagi penduduk miskin di Sumatera Utara.



"Beliau menjawab, 'Jika anda mahu membantu, bantulah kawan-kawan saya yang tidak ada kaki'," kata Dr Foe.



Sejak itu, Dr Foe menggerakkan dana dan kepakaran untuk menyediakan kira-kira 8,000 anggota tubuh prostetik, atau palsu, kepada ratusan orang kurang upaya akibat kecacatan kelahiran, penyakit atau kemalangan di seluruh Indonesia.



Beliau juga mengatur kunjungan ke Indonesia ahli bedah Jerman dan Belanda sekali setahun bagi melakukan pembedahan dan membantu orang yang memerlukan anggota badan prostetik. Selain itu, beliau menganjurkan perkhidmatan kesihatan percuma, bantuan makanan dan latihan pekerjaan, dan acara sosial yang mengumpulkan orang kurang upaya di Medan.



Terdapat kira-kira 10 juta orang di Indonesia yang mengalami kecacatan, menurut laporan 2017 oleh Universiti Monash Australia. Ramai daripada mereka masih bergelut untuk diterima masyarakat yang sebahagian besarnya gagal menyediakan perkhidmatan dan alat bantuan bagi menjadikan kehidupan lebih mudah bagi orang kurang upaya.



Walaupun sikap berbeza-beza di Indonesia, mempunyai anak kurang upaya sering membawa malu dan stigma, dengan sesetengah masyarakat menyalahkannya pada kutukan atau nasib buruk dek tingkah laku lalu. Sikap itu ada kala menghalang ibu bapa kanak-kanak cacat mendaftar kelahiran mereka, kata Irwanto, ketua jabatan psikologi di Universiti Katolik Atma Jaya di Jakarta.



Sesetengah ibu bapa menyembunyikan anak kurang upaya di bilik sempit di rumah, sementara yang lain diserahkan kepada rumah anak yatim atau institusi yang dikendalikan oleh pemerintah.



Dengan sedikit sokongan berasaskan masyarakat, pusat pemulihan pemerintah bagi golongan kurang upaya dan sakit mental sering mengalami keadaan penghuni berlebihan dan merendahkan martabat. Malah, pesakit kadang-kadang dipukul dan dirantai tanpa rawatan atau sokongan, walaupun ini dilarang, kata pakar kecacatan.



Tanpa sijil kelahiran atau kad pengenalan, rakyat Indonesia yang cacat tidak boleh mengakses perkhidmatan awam seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan sering menderita kemiskinan melampau apabila dewasa.



"Saya berasa sangat malu, terutama kerana cara orang memandang saya," kata Encik David Sitorus, 43 tahun, yang kehilangan kaki pada 1994 ketika bekerja sebagai kontraktor syarikat elektrik. "Sukar bagi saya menyesuaikan diri dengan kehidupan."



Encik Sitorus, yang mendapat kaki prostetik pada 2009 dengan bantuan kewangan daripada yayasan Dr Foe, kini membawa beca untuk menyara hidupnya serta isteri dan dua anak perempuan di Medan.



"Mendapat kaki palsu saat bahagia dan bangga bagi saya," katanya. "Saya mendapat kembali keyakinan diri saya."



MENGHORMATI HAK



Sikap orang Indonesia terhadap orang kurang upaya perlahan-lahan berubah sejak 10 tahun lalu, kata Thushara Dibley, timbalan pengarah Pusat Asia Tenggara Sydney, yang telah menjalankan penyelidikan pergerakan kecacatan di Indonesia.



Selaras dengan peralihan global, rakyat Indonesia kini kurang berkemungkinan melihat ketidakupayaan sebagai masalah yang harus diatasi dengan rawatan perubatan atau amal, tetapi sebagai satu keadaan dengan implikasi terhadap isu dan hak sosial, kata Dibley, yang telah juga menjalankan latihan bagi aktivis kecacatan Indonesia.



"Walaupun keadaan bagi orang kurang upaya jauh daripada ideal dan masih ada cabaran ketara... perubahan yang berlaku dan kerja yang dilakukan oleh para penyokong sepanjang dekad lalu sangat luar biasa," ujarnya.



Sebagai sebahagian proses itu, Indonesia mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya pada 2011. Satu undang-undang kecacatan kebangsaan baru yang merombak undang-undang sedia ada diluluskan pada 2016 dengan input daripada ramai aktivis. Undang-undang itu memastikan keperluan orang kurang upaya diambil kira dalam semua keputusan yang dibuat oleh jabatan pemerintah.



Selain itu, sekarang wajib bagi institusi pemerintah menjadikan orang kurang upaya membentuk kira-kira 3 peratus daripada kakitangan mereka, kata penyelidik kecacatan Irwanto, yang berkerusi roda setelah mengalami satu kemalangan perubatan pada 2003.



Cik Eva Kasim, penganalisis dasar kanan di Kementerian Ehwal Sosial, berkata pelaksanaan undang-undang 2016 itu "proses berterusan" dan akan mengambil masa. Istilah baru yang digunakan kementerian itu pula akan membantu mengubah sikap dan meningkatkan hak orang kurang upaya, katanya.



Kementerian itu membantu mewujudkan persatuan bagi ibu bapa kanak-kanak kurang upaya agar mereka dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Sementara itu, unit respons pantasnya bekerja bersama polis dan pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan penganiayaan di institusi yang dikendalikan pemerintah, kata Cik Eva.



SEKOLAH DAN KEMAHIRAN



Mengekalkan pelibatan penyokong kecacatan dalam penggubalan dasar di semua peringkat adalah penting, kata aktivis. Banyak pekan dan bandar di Indonesia mempunyai infrastruktur dan rangkaian pengangkutan buruh yang kekurangan dana, oleh itu menyediakan akses bagi orang kurang upaya satu cabaran besar.



Di tempat yang disediakan tanjakan kerusi roda dan lif, kemudahan itu perlu disenggara dengan baik, kata Dibley. Laluan luas mesra kerusi roda dan jubin sentuh bagi golongan cacat penglihatan tidak boleh diambil alih oleh penjaja jalanan, tambahnya.



Aktivis juga meminta agar lebih banyak dana diperuntukkan untuk pendidikan, yang akan membolehkan lebih ramai kanak-kanak kurang upaya bersekolah, sekali gus menghentikan stereotaip.



Dr Foe ingat sebuah majlis perkahwinan yang beliau bantu aturkan tiga tahun lalu bagi seorang lelaki yang kehilangan kaki dek kemalangan kerja dan pasangannya, yang tidak dapat menggunakan kedua-dua belah kakinya akibat polio. Lebih 200 tetamu hadir, termasuk ramai orang kurang upaya.



"Ramai orang berasa orang kurang upaya tidak berguna dan tidak boleh berkahwin, tetapi saya berasa bangga dan senang melihat mereka diterima masyarakat," kata Dr Foe. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >