Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

INDONESIA

Bot bawa 69 Rohingya mendarat di Aceh

Feb 18, 2023 | 05:30 AM



BANDA ACEH: Sekurang-kurangnya 69 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mendarat di pantai barat Indonesia pada Khamis dengan menaiki bot kayu, kata seorang pegawai agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Bot itu mendarat di pantai di Aceh, wilayah bahagian barat Indonesia, menurut pegawai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) Oktina Hafanti, dengan seorang menumpang melaporkan beberapa penumpang lain telah meninggal dunia semasa pelayaran.



Ia merupakan bot Rohingya keenam mendarat di Indonesia sejak November.



Kira-kira sejuta orang Rohingya dianggarkan tinggal di kem pelarian di Bangladesh selepas mereka melarikan diri daripada penindasan di negara jiran Myanmar pada 2017.



Ribuan orang mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dalam perjalanan laut yang panjang dan mahal - selalunya dalam bot berkualiti rendah - dalam percubaan untuk mendarat ke Malaysia atau Indonesia.



"Kami pada masa ini mengira 69 daripada mereka, termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak," kata Cik Hafanti.



Pelarian itu sedang dipindahkan ke pusat perlindungan sementara berhampiran, tambah pegawai itu.



Cik Hafanti berkata pihak berkuasa akan memeriksa semula bilangan pelarian itu selepas mereka tiba di tempat perlindungan.



Menurut seorang penumpang yang memberikan namanya sebagai Shorifuddin, bot itu berlepas dari Bangladesh dua minggu lalu.



Beberapa orang mati akibat kekurangan makanan, dan kapten meninggalkan penumpang di tengah perjalanan, katanya.



"Kami telah menderita di lautan selama 15 hari dan selama ini, kami tidak mempunyai makanan yang mencukupi," kata remaja berusia 15 tahun itu kepada AFP.



Katanya, beliau melarikan diri dari Bangladesh bersama tujuh anggota keluarga termasuk ibu bapanya, mengharapkan kehidupan yang lebih baik di Indonesia.



"Kami amat dianiaya di Bangladesh oleh penduduk tempatan. Kami juga tidak berpeluang untuk belajar dan meraih pendidikan tinggi," katanya.



Lima lagi kapal yang membawa pelarian Rohingya mendarat di Indonesia pada November dan Disember 2022, membawa hampir 700 penumpang.



Pada Januari, PBB menarik perhatian tentang kenaikan mendadak bilangan pelarian Rohingya yang hilang di laut setelah melarikan diri dari tanah air Myanmar atau Bangladesh tahun lalu, memberi amaran lebih ramai akan mati tanpa tindakan bersepadu.



Lebih 3,500 Rohingya cuba menyeberangi laut pada 2022, satu peningkatan besar berbanding tahun sebelumnya, apabila kira-kira 700 orang melakukan perjalanan serupa, kata UNHCR.



Jurucakap, Cik Shabia Mantoo, berkata 3,040 Rohingya yang cuba melarikan diri melalui laut mendarat tahun lepas, terutamanya di Myanmar, Malaysia, Indonesia dan Bangladesh.



Hampir 45 peratus daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak.



"Kebanyakan bot berlepas dari Myanmar dan Bangladesh, menonjolkan rasa terdesak yang semakin meningkat dalam kalangan Rohingya di kedua-dua negara itu," kata Cik Mantoo.



"Mereka yang telah mendarat melaporkan bahawa mereka melakukan perjalanan laut berbahaya ini dalam usaha mencari perlindungan, keselamatan, penyatuan semula keluarga dan mata pencarian di negara lain," katanya.



"Antara mereka ialah mangsa pemerdagangan, kanak-kanak yang tidak ditemani dan dipisahkan, serta mangsa yang terselamat daripada keganasan berasaskan seksual dan jantina."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >