Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Dominasi PDI-P selama sedekad diramal tercalar dalam pemilihan Presiden 2024: Tinjauan

Dec 29, 2023 | 01:59 PM



JAKARTA: Perlumbaan legislatif pada Februari 2024, masih menjadi pertembungan antara Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang memerintah dan saingan kuatnya, Parti Gerindra, yang telah menjalin hubungan lebih rapat dengan Presiden Joko “Jokowi” Widodo.


Demikian yang ditunjukkan oleh tinjauan pendapat, ketika mereka bersaing untuk mendominasi Dewan Rakyat, selepas tempoh perkhidmatan Presiden Jokowi tamat kelak.

PDI-P telah mendominasi pilihan raya perundangan sejak sedekad lalu. Tetapi kini ia telah menyaksikan penguasaannya dicabar oleh saingan Parti Gerindra, yang mengetuai pakatan sembilan penjuru yang menyokong pendahulu, Encik Prabowo Subianto. Beliau menyifatkan dirinya sebagai “pasukan Jokowi”.

Tinjauan pendapat umum menunjukkan, parti Gerindra semakin merapatkan jurang dengan PDI-P, menjelang pilihan raya presiden dan perundangan pada Februari.

Tinjauan pertengahan Disember, yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang berpangkalan di Jakarta pada Rabu 27 Disember, mendapati PDI-P kekal sebagai parti paling popular, walaupun ia mempunyai kelebihan yang mengecil, berbanding pencabar terdekatnya, Gerindra.

Tinjauan yang dijalankan antara 13 hingga 18 Disember itu menunjukkan PDI-P adalah parti yang paling boleh dipilih, dengan sokongan orang ramai sebanyak 16.4 peratus.

Sementara Gerindra, yang diketuai oleh Encik Prabowo, mengekori rapat dengan penarafan kebolehpilihan sebanyak 14.6 peratus.

CSIS meninjau 1,300 orang dalam usia layak mengundi, secara peribadi, di seluruh negara selepas debat presiden pertama. Keputusan tinjauan itu mempunyai margin kesilapan 2.7 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.

“Walaupun PDI-P berada di kedudukan teratas dalam tinjauan pendapat kami baru-baru ini, keadaan masih sangat dinamik dan masih terdedah kepada perubahan.

“Sangat mungkin, Gerindra dapat mengejarnya,” kata ketua jabatan politik CSIS, Encik Arya Fernandes, kepada The Jakarta Post pada Khamis.

Apatah lagi, katanya, pendahuluan PDI-P ke atas Gerindra “semakin mengecil (dalam tinjauan lain oleh pelbagai tinjauan pendapat), yang sepatutnya menjadi penggera kepada PDI-P untuk menyusun semula strateginya”.

Selepas anak sulung Presiden Jokowi, Encik Gibran Rakabuming Raka dibenarkan bertanding sebagai calon naib presiden kepada Encik Prabowo atas tiket pesaing PDI-P, parti pemerintah itu telah menjauhkan diri daripada ahli terkemukanya, Encik Jokowi, dan malah melakukan serangan terhadap pemimpin yang popular itu.

Anggota PDI-P telah menyindir bahawa Presiden Jokowi telah “memanipulasi” undang-undang, untuk mengejar cita-citanya membina dinasti politiknya sendiri, sebelum berundur tahun 2024.

Serangan PDI-P terhadap Encik Jokowi, bagaimanapun, nampaknya menjadi bumerang dan seterusnya menghakis sokongan terhadap parti itu sendiri.


Para penyokong Encik Jokowi yang semakin meningkat bilangannya, yang pernah mengundinya dalam dua pilihan raya presiden yang lalu, kini mengalihkan sokongan mereka kepada Menteri Pertahanan, Encik Prabowo dan parti Gerindranya, kata penganalisis.

Daripada sembilan parti yang mempunyai wakil dalam badan perundangan, PDI-P memegang bilangan terbesar kerusi Dewan, dengan 128 daripada 575 kerusi.

Gerindra mempunyai kerusi ketiga terbanyak, iaitu 78, dan Parti NasDem, yang mengetuai pakatan pilihan raya menyokong calon presiden, Encik Anies Baswedan, berada di tempat kelima, dengan 59 kerusi.

Tetapi perikatan yang diketuai Gerindra, telah mewujudkan perkongsian politik yang kini menguasai 261 kerusi Dewan, yang paling banyak daripada mana-mana pakatan pilihan raya yang menyokong calon dalam persaingan tiga penjuru ini.

NasDem mengawal kumpulan kedua terbesar dalam Dewan, dengan 162 kerusi, dan PDI-P kini ditinggalkan dengan perikatan terkecil, di 157 kerusi.

Penganalisis politik bagaimanapun berkata, adalah terlalu awal untuk mendakwa pakatan pilihan raya mana yang akan menguasai Dewan.

Satu lagi tinjauan pendapat, oleh Indikator Politik Indonesia menunjukkan PDI-P akan berentap dengan Gerindra, sekiranya pilihan raya legislatif diadakan pada akhir Disember.

Dalam tinjauan itu, PDI-P mendahului undian dengan 19.1 peratus, kelebihan yang amat kecil, berbanding Gerindra, dengan sokongan 18.2 peratus.

Tinjauan itu berdasarkan temu bual telefon dengan 1,217 orang dalam usia layak mengingi, dari 23 hingga 24 Disember, selepas perbahasan pilihan raya kedua.

“Secara umum, kami dapati corak di mana PDI-P berada dalam keadaan tersepit (dengan Gerindra),” kata pengarah eksekutif Indikator Politik, Encik Burhanuddin Muhtadi, semasa pelancaran tinjauan pada Selasa.

“Kami tidak tahu parti mana yang memimpin antara kedua-dua ini, kerana perbezaannya masih dalam margin kesilapan.”

Tinjauan itu juga mendapati PDI-P berada dalam aliran menurun, walaupun parti itu melihat peningkatan dalam pemilihan tidak lama selepas pengerusinya, Cik Megawati Soekarnoputri mengumumkan bahawa ia mencalonkan bekas gabenor popular Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo sebagai calon presidennya.

Gerindra pula menikmati aliran menaik sejak tahun lalu. Tinjauan yang dijalankan pada awal Disember oleh cabang penyelidikan Kompas, juga mendapati kebolehpilihan PDI-P merosot kepada 18.3 peratus, dan diatasi oleh Gerindra pimpinan Encik Prabowo, yang kini berada di puncak undian dengan 21.9 peratus.

Selepas popularitinya merosot, PDI-P, dan Encik Ganjar, baru-baru ini menukar nada mereka, pada retorik keras terhadap Encik Jokowi, yang telah berjaya mengekalkan popularitinya pada tahun-tahun terakhir kekuasannya.

“Suka atau tidak, PDI-P kini mesti bekerja keras untuk mengukuhkan asasnya, jika ia masih mahu menguasai perlumbaan perundangan,” kata Encik Arya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >