Hamas-Israel laksana gencatan senjata 72 jam mulai hari ini

JALURAN GAZA (Palestin): Israel dan pergerakan Hamas telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata 72 jam yang baru bermula hari ini.

Langkah ini membolehkan rundingan diteruskan di Mesir bagi menghentikan pertempuran berdarah yang telah berlangsung selama sebulan sebelum ini.

Persetujuan itu, yang bermula pada 00:01 tengah malam (5.01 pagi waktu Singapura), dicapai menyusuli rundingan sengit bagi menghentikan kemusnahan dan meragut hampir 1,939 nyawa tidak berdosa - hampir keseluruhannya warga Palestin di Gaza dan 67 warga Israel, sejak pertempuran meletus pada 8 Julai lalu.

Mesir menggesa Israel dan Palestin untuk memanfaatkan pelaksanaan damai itu bagi mencapai "gencatan senjata yang menyeluruh dan berkekalan".

Ini setelah gencatan senjata 72 jam yang dicapai sebelum ini gagal mencapai matlamat tersebut.

Kedua-dua pihak menyatakan iltizam mereka untuk mencapai matlamat yang dilakarkan kali ini.

Jurucakap Israel dipetik agensi berita AFP sebagai berkata, "Israel telah menerima saranan Mesir bagi gencatan senjata", tidak lama selepas satu sumber Palestin mengesahkan menerima daya usaha tersebut.

Ketua Pergerakan Hamas, Encik Khaled Mashaal, memberitahu AFP dalam satu wawancara eksklusif di Doha semalam, bahawa gencatan senjata kali ini mesti membawa kepada penarikan kesemua sekatan yang dilaksanakan Israel di Jaluran Gaza.

"Kami ingin mengekalkan matlamat ini. Sekiranya Israel kekal berlengah dan meneruskan kekerasan, Hamas bersedia, bersama-sama puak Palestin yang lain akan terus berjuang sama ada di lapangan mahupun secara politik," katanya.

Hamas enggan melanjutkan gencatan senjata 72 jam apabila ia berakhir Jumaat lalu dan Israel menuduh Hamas melanggar perjanjian pada jam terakhir dengan melancarkan roket ke Israel.

Perunding veteran Palestin, Encik Saeb Erakat, tiba di Kahirah malam semalam untuk rundingan dengan pegawai Mesir dan Liga Arab bagi pihak presiden Palestin, Encik Mahmud Abbas, kata seorang pegawai lapangan terbang.

Israel menyatakan, pasukan rundingannya akan hanya kembali ke Mesir sekiranya gencatan senjata dikuatkuasakan.

"Jika ada gencatan senjata yang sepenuhnya, delegasi Israel akan tiba di Mesir esok (hari ini)," kata seorang pegawai pemerintah Israel malam semalam.

Delegasi Palestin di Kahirah memberitahu wartawan bahawa mereka gembira, Penguasa Palestin, diketuai presiden Mahmoud Abbas, akan mengambil alih pembinaan semula Gaza dan melaksanakan apa jua persetujuan yang dicapai.

Israel enggan berurusan dengan Hamas, menyifatkannya sebagai sebuah pertubuhan pengganas.

"Pemerintah campuran kebangsaan dan Penguasa Palestin akan mengambil alih pelaksanaan kesemua yang telah dipersetujui semasa rundingan damai," kata ketua delegasi Palestin, Encik Azzam al-Ahmed.

"Kami menyokong pembentukan sebuah badan nasional oleh presiden Abbas, yang akan mengambil alih pembangunan semula (Gaza)," kata pegawai kanan Hamas, Encik Ezzat al-Risq.

"Presiden badan itu haruslah profesional, berwibawa dan seseorang yang boleh diterima di peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.

Tujuh penduduk Gaza, termasuk seorang wanita dan dua remaja 17 tahun, terbunuh sehari sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan menyusuli serangan udara oleh Israel, dan 10 mayat ditarik keluar dari runtuhan bangunan di timur Kota Gaza, kata pegawai perubatan di Gaza. - AFP.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.