Harga minyak jatuh ke paras bawah AS$30, ramai hitung kerugian

HARGA minyak jatuh seketika di bawah AS$30 setong pada Selasa (12 Jan) malam dan mengancam akan mencecah paras terendah dalam sejarah pada hari-hari mendatang, meningkatkan derita beberapa negara dan membuat syarikat muflis.

Penanda aras harga minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI), jatuh di bawah AS$30 untuk kali pertama dalam lebih 12 tahun sebelum naik semula lebih sedikit daripada paras itu.

Kejatuhan ke paras AS$20 berlaku hanya beberapa jam selepas gergasi minyak British, BP, berkata ia akan mengurangkan lagi 4,000 pekerjaan di peringkat global, iaitu kira-kira 5 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya yang sebanyak 80,000.

Banyak lagi syarikat senasib dengan BP. Syarikat minyak utama Brazil, Petrobras, berkata pada Selasa ia telah menurunkan pelan perbelanjaan lima tahunnya, daripada AS$130 bilion ( $186 bilion) kepada AS$98.4 bilion, manakala Petronas Malaysia memberi amaran bahawa ia menghadapi beberapa tahun sukar di hadapan.

Walaupun harga minyak pulih akhirnya, naik semula di atas AS$30, amaran buruk yang dikeluarkan Citigroup tahun lepas bahawa dunia boleh melihat harga minyak turun ke paras AS$20 minyak kini kelihatan lebih realistik daripada sebelumnya.

Ketua penyelidikan komoditi bank itu, Encik Ed Morse, menulis Februari lalu bahawa minyak mentah boleh jatuh "mungkin serendah AS$20 seketika".

Kesan kejatuhan itu dan kejatuhan berterusan akan menjadi lebih luas dan teruk kepada ramai.

Satu laporan Deutsche Bank Julai lalu menunjukkan sebahagian besar negara pengeluar minyak, termasuk Russia, Arab Saudi dan Iran, perlu harga minyak mentah berada di paras sekurang-kurangnya AS$80 sahaja untuk pulang modal.

Sebanyak satu pertiga daripada pengeluar minyak dan gas Amerika boleh menuju ke arah kebankrapan dan penyusunan semula pada pertengahan tahun depan, kata Wolfe Research.

Malaysia, yang sedang menimbang untuk menyemak anggaran Belanjawannya memandangkan sumbangan Petronas telah berkurangan, menganggarkan ia boleh kehilangan RM300 juta ($98 juta) bagi setiap penurunan sebanyak AS$1 harga minyak.

Bagi Singapura, sebagai pengimport bersih minyak, harga lebih rendah telah menyumbang kepada bil utiliti lebih kecil, kejatuhan harga minyak dan penurunan kadar inflasi.

Dari segi perniagaan, sebagai hab perdagangan minyak di Asia dan salah satu daripada tiga pusat penapisan eksport di dunia, kesan kejatuhan harga bercampur-campur.

Harga minyak rendah membantu loji penapis di Pulau Jurong, di mana bahan mentah murah telah membantu meningkatkan keuntungan.

Industri kimia mungkin menikmati keuntungan tertinggi dalam tempoh sedekad dek kejatuhan harga minyak.

Bagaimanapun, kejatuhan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya satu mangsa berprofil tinggi - Jurong Aromatics Corp - yang mempunyai kemudahan $2.4 bilion di Pulau Jurong, kini menghadapi kemuflisan.

Ia juga mengancam mempunyai impak besar ke atas limbungan Singapura. Pembina pelantar sudah pun melihat jumlah kontrak yang mereka dapat mengecil.

Sekarang, penganalisis memberi amaran bahawa kebankrapan yang berpotensi menimpa Sete Brasil, pelanggan utama unit luar pesisir dan laut Keppel dan Sembcorp Marin, boleh mempunyai kesan kewangan mengerikan bagi kedua-dua pembina pelantar itu.

Malah, kedua-duanya tidak dibayar Sete Brasil sejak November 2014 selepas syarikat itu gagal mendapatkan pembiayaan jangka panjang di sebalik dakwaan sogokan yang melibatkan Petrobras.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 54
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.