Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan diplomatik, dengan Mesir menjadi perantara beberapa perjanjian gencatan senjata semasa konflik antara Israel-Palestin

Hubungan 45 tahun Mesir-Israel kekal pragmatik

Mar 25, 2024 | 05:30 AM



KAHIRAH: Perjanjian damai antara Mesir dengan Israel, yang ditandatangani pada 1979 untuk menamatkan permusuhan dan menormalkan hubungan antara mereka, genap 45 tahun pada 26 Mac.


Melalui perjanjian damai yang dimeterai oleh Presiden Mesir, Encik Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel, Encik Menachem Begin itu, Israel berundur dari Semenanjung Sinai sementara Mesir tidak akan melakukan sebarang kegiatan ketenteraan di kawasan terbabit.

Selain itu, kapal-kapal Israel dibenarkan untuk melalui Terusan Suez dengan selamat.

Mesir adalah negara Arab pertama yang menjalinkan hubungan dengan Israel selepas perang enam tahun yang berakhir pada 1973 dengan Mesir memperoleh semula Semenanjung Sinai daripada kawalan Israel.

Sejak itu, konflik antara Israel-Palestin telah banyak menguji hubungan antara Israel dengan Mesir.

Namun kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan diplomatik dengan Mesir menjadi perantara beberapa perjanjian gencatan senjata semasa konflik antara Israel-Palestin.

Pendirian Mesir itu dipaparkan oleh Menteri Luar Mesir, Encik Sameh Shoukry, pada Februari 2024 yang menyatakan pihaknya masih berpegang teguh dengan komitmen perjanjian damai bersama Israel.

Perkara tersebut disuarakan oleh beliau semasa mengadakan lawatan ke Slovenia.

Selain memainkan peranan penting dalam rundingan dengan Israel, Mesir juga menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

“Perjanjian perdamaian antara Mesir dengan Israel telah berlaku selama 40 tahun yang lalu dan kami akan meneruskan (perjanjian) ini,” kata Encik Sameh dipetik oleh Sky News Arabia.


Encik Sameh menambah, pihaknya sedang berusaha untuk mencapai perjanjian pembebasan tawanan oleh Hamas dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau turut menegaskan bahawa Mesir melihat perkara yang berlaku di Gaza sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan turut menegaskan penyelesaian konflik Israel-Palestin dapat diselesaikan dengan penyelesaian penubuhan dua negara.

Menurut Mesir, penyelesaian itu menekankan pembentukan wilayah Palestin yang merdeka dan mengikut sempadan pada 1967.

Malah Mesir sebelum ini mengancam akan menggantung perjanjian damai dengan Israel jika Rafah diserang.

Perkara tersebut disuarakan oleh Kahirah selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengarahkan operasi di Rafah untuk dilakukan dengan kadar yang segera dan tamat pada awal Mac.

Rancangan Encik Netanyahu mendapat bantahan Washington, Eropah dan negara-negara Arab termasuk Arab Saudi, Amiriah Arab Besartu (UAE) serta Mesir.

Rafah merupakan bandar yang bersempadan dengan Mesir dan terletak di Selatan Gaza.

Walaupun berlaku sedikit kegenjotan antara Mesir-Israel, Kahirah terus dilihat menjadi pengantara dalam kejadian keganasan antara Israel dengan Palestin menerusi hubungannya dengan kedua-dua pihak Hamas dan Israel.

Para penganalisis dan diplomat menyatakan usaha itu kini lebih menonjol berbanding tahun-tahun sudah.

“Terdapat usaha lebih aktif oleh Mesir dan Presiden (Abdel Fattah al-Sisi). Ia jelas sepanjang gencatan senjata 11 hari ini,” kata seorang pegawai Hamas kepada Reuters.


Sedang gencatan senjata selama seminggu dipatuhi Israel dan Hamas, rombongan keselamatan Mesir berulang-alik antara Tel Aviv dengan wilayah-wilayah Palestin.

Meskipun Hamas disebut sebagai cabang Ikhwanul Muslimin yang sudah diharamkan dan dikenakan tindakan tegas di Mesir, Kahirah dilaporkan mempunyai jalinan hubungan perisikan yang baik dengan kumpulan itu.

Disebabkan Mesir mementingkan keselamatan di sempadan antara semenanjung Sinai dengan Gaza, ia “bersikap sangat pragmatik” tentang urusannya dengan puak Palestin itu, ujar seorang diplomat.

Mesir secara konsisten memastikan pintu antara negara itu dengan Gaza dibuka sejak 7 Oktober.

Malah, tindakan Israel memusnahkan bahagian persimpangan Gaza, mendorong jurutera Mesir membina semula jalan itu dan membolehkan laluan selamat bagi bantuan kemanusiaan dunia.

Mesir terus berusaha merealisasikan satu gencatan senjata sama seperti yang dilakukannya ketika tentera Israel bertempur dengan Palestin dalam Perang Gaza pada 2014.

Pada 2014, Mesir menjadi pengantara dalam satu gencatan yang berkuat kuasa selama beberapa minggu antara Israel dengan Hamas yang menguasai pentadbiran di Gaza iaitu wilayah yang padat dengan penduduk.

Malah Mesir juga sekali lagi menjadi pengantara gencatan senjata yang berlaku pada 2012 antara Israel dengan Hamas selepas pertempuran berlaku selama lapan hari antara kedua-dua pihak.

Ketika itu, Mesir ditadbir oleh Presiden yang pertama kali dipilih secara demokratik iaitu Encik Mohammed Morsi.

Hubungan Mesir-Israel dilaporkan semakin bertambah baik dan kukuh terutama sekali dalam isu-isu keselamatan selepas penyingkiran Encik Mohamed Morsi, yang digantikan oleh Encik Sisi.

Hubungan diplomatik dengan Israel itu juga membolehkan Encik Sisi untuk bersuara kepada Israel dengan menekankan bahawa rakyat Gaza mesti tetap teguh dan kekal di tanah air mereka.

Ucapan itu dibuat ketika banyak gesaan supaya Kahirah membenarkan pembukaan laluan selamat untuk orang awam yang terperangkap di Gaza itu.

Pintu sempadan Rafah antara Mesir dengan Gaza adalah satu-satunya laluan masuk dan keluar dari enklaf pantai itu, yang tidak dikawal oleh Israel.

“Mesir komited untuk memastikan huluran bantuan perubatan dan kemanusiaan pada masa yang sukar ini,” kata Encik Sisi, sambil mengesahkan ‘kedudukan kukuh’ Kahirah untuk memastikan hak sah rakyat Palestin.

Walaupun Mesir dari segi sejarah merupakan perantara utama antara Hamas dengan Israel, serta menyeru penderma untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ke lapangan terbang El Arish, namun ia tetap menolak gesaan agar membenarkan penduduk Palestin melarikan diri ke kawasannya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, media berkaitan kerajaan memetik sumber keselamatan peringkat tinggi memberi amaran terhadap penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin, yang dipaksa memilih antara kematian di bawah pengeboman Israel atau melarikan diri dari tanah air mereka.

Mesir mendesak penyelesaian diplomatik kedua-dua pihak yang berperang, dan Encik Sisi menegaskan keselamatan negaranya adalah tanggungjawab utamanya.

Beliau berkata bahawa Mesir sudah menjadi tuan rumah ‘sembilan juta tetamu’ dari banyak negara yang datang ke negara itu untuk perlindungan keselamatan.

Tetapi kata Encik Sisi, kes rakyat Gaza berbeza kerana perpindahan mereka akan bermakna menghapuskan perjuangan rakyat Palestin.

Lebih 1.2 juta orang bersesak-sesak di selatan Gaza di dalam dan sekitar bandar Rafah, menimbulkan kebimbangan di Mesir bahawa rakyat Palestin akan dipindahkan merentasi sempadan ke Semenanjung Sinai.

Mesir bersama-sama dengan Qatar, telah berunding dengan Israel dan Hamas untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza.

BANTUAN KEMANUSIAAN

Hasil hubungan dengan Israel, Mesir dibenarkan oleh Israel sebagai laluan bantuan kemanusiaan memasuki Jaluran Gaza.

Kesan buruk daripada sekatan Israel dan pengeboman berterusan ke atas Gaza, yang menempatkan 2.4 juta orang, menjadi kebimbangan utama dalam kalangan masyarakat antarabangsa .

Malah Mesir menuduh Israel menghalang penghantaran bantuan untuk Jaluran Gaza dan menyifatkannya sebagai taktik tekanan Israel.

Encik Sisi berkata, halangan Israel itu dijadikan sebagai alat tekanan berhubung konflik dan pembebasan tebusan.

Kenyataan Encik Sisi itu merupakan penggeseran terkini antara kedua-dua negara yang mengekalkan sekatan ke atas kawasan Gaza.

Jumlah bantuan yang terhad telah disampaikan melalui persimpangan Rafah antara Mesir dengan Gaza serta sejak Disember, melalui persimpangan Kerem Shalom yang dikawal oleh Israel.

Sebelum konflik yang bermula selepas serangan Hamas 7 Oktober, Mesir dengan kebenaran Israel pernah menghantar 600 trak sehari ke Gaza namun sejak konflik pihaknya hanya dapat menghantar di bawah 200 trak setiap hari.

Lintasan Rafah Mesir dibuka 24 jam setiap hari dan setiap bulan. Tetapi prosedur yang berlaku di pihak Israel telah menyebabkan penghantaran trak bantuan menjadi perlahan.

Laluan Rafah ini menyaksikan Mesir adalah negara paling penting dan strategik, mengambil kira kepentingan negara itu dan hubungannya dengan Israel, selain kedudukannya yang paling hampir dengan Gaza.

Koridor kemanusiaan yang lestari dan kekal mesti segera dibangunkan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan segera sampai ke daerah konflik.

Paling penting, koridor seumpama itu akan menjadi laluan khas untuk mengeluarkan mereka yang tercedera dan sakit, bagi mendapatkan rawatan di Mesir atau negara lain.

Dengan wujudnya koridor kemanusiaan dan keamanan ini, bantuan kemanusiaan akan lebih teragih dengan tersusun dan menyeluruh.

Namun penubuhan koridor itu tidak akan menjadi nyata kecuali dengan persetujuan Israel dan sekutunya, Amerika dan negara-negara Eropah.

PERJANJIAN ABRAHAM

Sebelum negara UAE dan Bahrain mengadakan normalisasi hubungan diplomatik bersama Israel, negara-negara Arab yang lain seperti Mesir dan Jordan sudah terlebih dahulu menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Perjanjian normalisasi antara Mesir dengan Israel dibuat pada 1979, melalui satu perjanjian yang dikenali sebagai ‘Camp David Accords’.

Manakala, Jordan dan Israel pula menandatangani Perjanjian Damai pada 1994.

Setelah Mesir menjalin hubungan dengan Israel yang diikuti dengan Perjanjian Abraham, ia menjadi batu loncatan bagi Tel Aviv untuk melakukan normalisasi hubungan diplomatik dengan negara-negara Arab.

Bekas pentadbiran Amerika Syarikat, Encik Donald Trump memulakan Perjanjian Abraham 2020 yang menyaksikan beberapa negara iaitu UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi menormalkan hubungan dengan Israel.

Perjanjian-perjanjian itu mencetuskan spekulasi bahawa pengaruh serantau Mesir mungkin melemah.

Namun para penganalisis berkata keganasan sejak 7 Oktober menempatkan negara-negara yang menandatangani perjanjian itu – termasuk UAE, Bahrain, Sudah dan Maghribi – dalam kedudukan sensitif sedang simpati warga Arab kepada Palestin semakin meningkat.

Negara-negara Arab lain pula memainkan peranan lebih terbatas. Ini termasuk Jordan, yang seperti Mesir mempunyai perjanjian damai berdekad lamanya dengan Israel dan berkongsi sempadan dengan wilayah Palestin dan Qatar yang menyediakan sokongan kewangan kepada Gaza.

“Konflik terbuka baru-baru ini di Baitulmakdis dan Gaza, menunjukkan betapa negara-negara Teluk yang menandatangani perjanjian itu tidak punya banyak kawalan ke atas tindakan Israel,” tulis Dr Kristin Smith Diwan dari Institut Negara Teluk Arab di Washington.

Duta UAE di Washington, Encik Yousef al-Otaiba, pernah ditukil sebagai berkata “urus niaga dengan Israel mungkin boleh dijalankan dan dalam masa yang sama membincangkan isu Palestin”.

Ditanya sama ada Israel melihat UAE sebagai rakan dalam usaha meredakan ketegangan dengan penduduk Palestin, perutusan khas Israel ke UAE, Encik Eitan Na’eh, memberitahu wartawan bahawa masih terlalu awal untuk mengatakannya.

Beliau menambah bahawa UAE mungkin boleh menggalak fahaman sederhana di rantau itu.

Menurut para penganalisis, hubungan Amerika dengan Mesir mengenai konflik Israel-Palestin terbatas disebabkan tidak wujud pelan masa depan bagi proses perdamaian.

“Ini sebahagian besarnya adalah pengurusan konflik berbanding huraian konflik,” kata mantan Menteri Ehwal Luar Mesir, Encik Nabil Fahmy.

Mesir, yang menerima sekitar AS$1.3 bilion ($1.7 bilion) dalam bentuk bantuan tahunan ketenteraan dari Amerika, turut berdepan kritikan daripada Demokrat tentang rekod hak asasi kemanusiaannya.

Selepas melawat Kahirah baru-baru ini, Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata isu hak asasi kemanusiaan masih “lagi dalam agenda” negara itu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >