Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

‘Kapal hantu’ di pelabuhan Korea Utara, letak Ukraine dalam bahaya

Dec 27, 2023 | 02:31 PM



SEOUL: Satu pelabuhan di Korea Utara yang tidak aktif, berhampiran sempadan Russia, tiba-tiba kembali aktif dan dipenuhi banyak ‘kapal hantu’.


Perkembangan itu mendorong beberapa pakar menyarankan bahawa perdagangan senjata berlaku di situ, untuk digunakan sebagai bekalan senjata ke barisan depan di Ukraine.

Kerancakan kegiatan itu juga merancakkan ekonomi Korea Utara yang merosot.

Imej satelit pelabuhan Najin, yang diambil dari Oktober hingga Disember menunjukkan sebilangan kapal yang berterusan memasuki kemudahan itu, dengan ratusan kontena perkapalan pula dimuat dan dipunggah, sedang kereta api bersedia mengangkut barang.

Kegiatan itu meningkat sejak awal Oktober, apabila Amerika Syarikat menuduh Korea Utara menghantar peluru ke Russia.

Rumah Putih memberikan imej yang dikatakan menunjukkan senjata dihantar beribu-ribu kilometer jauhnya, ke depoh di bandar Tikhoretsk Russia, untuk digunakan di Ukraine.

Bekalan peluru yang didakwa Amerika dan Korea Selatan itu termasuk ratusan ribu peluru meriam.

Perkembangan itu menyusuli berlakunya perpecahan dalam Kongres Amerika dan parlimen Kesatuan Eropah (EU) berhubung bantuan ketenteraan ke Ukraine yang mengancam keupayaan Kyiv untuk menangkis pencerobohan Russia.

“Keputusan Pyongyang untuk menghantar peluru berskala besar, sekali lagi menggariskan ancaman besar yang ditimbulkan Korea Utara terhadap keselamatan antarabangsa.

“Kali ini, ia memberi kesan kepada Eropah yang telah mengorbankan nyawa berpuluh-puluh ribu rakyat Ukraine dan menghabiskan berpuluh-puluh bilion dolar dalam sokongan tentera Barat,” menurut satu laporan satu badan pemikir keselamatan Britain, Royal United Services Institute.

Pyongyang, yang telah diharamkan daripada penjualan senjata selama kira-kira 15 tahun, telah berulang kali menolak tuduhan negara itu membekalkan senjata kepada Russia.

Namun, analisis data satelit menunjukkan sebaliknya.

Dalam contoh baru-baru ini, imej pada 9 Disember menunjukkan kapal kontena Russia, Angara, yang disahkan Amerika, memasuki pelabuhan Najin, dan memunggah kargo.

Sementara kontena dari Korea Utara menunggu untuk dimuatkan di jeti bersebelahan.

“Imej satelit menunjukkan bahawa perjalanan ulang alik kapal kargo antara Najin, Korea Utara, dengan Dunay, Russia, berterusan tanpa henti, walaupun terdapat sekatan tambahan Amerika dan laporan meluas mengenai kegiatan ini dalam beberapa bulan lalu,” kata penganalisis di Rangkaian Nuklear Terbuka di Vienna, Encik Jaewoo Shin.

Encik Shin berkata walaupun kandungan kargo tidak dapat disahkan melalui rakaman imej, bilangan perjalanan pergi dan balik dan kontena yang dipindahkan, mencadangkan pertukaran penting dan berterusan, mungkin termasuk senjata dan bekalan tentera lain.

Ketika perdagangan Korea Utara-Russia meningkat, aliran bantuan ketenteraan Amerika ke Kyiv pula semakin terancam.

Pentagon berkata ia akan kehabisan wang untuk menggantikan senjata yang dihantar ke Ukraine, menjelang 30 Disember melainkan Kongres meluluskan pembiayaan tambahan.

Itu tidak mungkin berlaku sekarang memandangkan kebanyakan penggubal undang-undang berada di Washington untuk cuti akhir 2023.

Dengan kebuntuan berlaku di medan perang Ukraine, Kremlin semakin yakin Russia boleh menyatukan kawalannya ke atas wilayah yang diduduki di timur dan selatan Ukraine, dan menunggu sokongan antarabangsa untuk Ukraine terhakis.

Sebelum ini, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin berkata bahawa “akan ada keamanan apabila kita mencapai matlamat kita”.

Walaupun imej satelit menunjukkan kegiatan yang stabil di Najin, kapal yang berlabuh di sana nampaknya telah mematikan transponder maritim antarabangsa, yang memberikan lokasinya, dengan berkesan mengubahnya menjadi ‘kapal hantu’, sedang mereka melakukan perjalanan agak singkat antara Najin dengan Dunay – kira-kira 180 kilometer jauhnya.

Agensi Risik Pusat (CIA) Amerika mengenal pasti pelabuhan itu sebagai pangkalan kapal selam Soviet Union semasa Perang Dingin dahulu, menurut dokumen yang diperoleh satu kumpulan pemikir Britain.

Laporan Oktober kumpulan pemikir itu menganalisis berpuluh-puluh imej jelas yang disimpulkan menunjukkan beberapa kapal kargo berulang kali membuat perjalanan antara Najin dengan Dunay, mungkin penuh dengan senjata Korea Utara yang kemudiannya dihantar ke seluruh Russia. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >