Ketua maritim Malaysia tegaskan bot nelayan China sah ceroboh perairan

KUALA LUMPUR: Walaupun tentera laut Malaysia menegaskan tidak ada kapal nelayan asing dikesan di perairan negara itu di Laut China Selatan minggu lalu, pihak berkuasa maritim berkeras menyatakan sehingga 100 bot China memasuki perairan Sarawak sejak 24 Mac sebelum meninggalkannya pada Ahad (27 Mac).

Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, mengadakan satu sidang akhbar pada Selasa di mana beliau secara khusus menegaskan "bot nelayan asing China" itu telah belayar ke arah barat sejak dikesan, dan jumlah kapal yang dikesan berkurangan kepada sekitar 85 pada Isnin.

"Hingga 100 bot, kami tidak menganggap ia perkara biasa. Ini pernah berlaku sebelum ini. Jadi... kami mengambil pendekatan sangat berhati-hati," katanya, sambil menambah bahawa dua kapal pengawal pantai China mengiringi bot nelayan itu.

Pada Isnin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata ketua Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, mengesahkan tiada kapal China dikesan di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali itu.

Laksamana Datuk Seri Panglima Kamarulzaman juga memberitahu akhbar The Straits Times "tidak ada kapal nelayan dikesan di BPA", menggunakan singkatan tempatan bagi kawasan itu.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Puzi berkata semasa tentera laut memeriksa lokasi di mana bot-bot China itu pertama kali ditemui, mereka telah pun berpindah ke arah barat.

Beliau berkata radar tentera laut berkesan dalam lingkungan 30 batu nautika, manakala saiz kawasan yang dikaji selidik pesawat APMM dan tentera udara ialah 1,931 km persegi.

Beliau juga berkata APMM mempunyai bukti visual nelayan China itu dan mereka membuat tangkapan ikan di perairan Malaysia. Walaupun usaha untuk berkomunikasi melalui radio dibuat, tiada sebarang respons sepanjang lima hari lalu kerana bot-bot itu dalam "mod senyap".

Beliau menegaskan APMM, yang merampas tidak kurang 826 bot yang menceroboh pada masa lalu, menahan daripada bertindak dalam kes ini. Ia telah mengemukakan dokumen dan bukti relevan kepada Kementerian Ehwal Luar kerana "terpulang pada Kementerian Ehwal Luar untuk bertindak".

"Kami mengekori, kami tidak hanya membiarkan mereka pergi begitu sahaja. Mesej yang kami hantar ialah ini perairan kami," katanya, merujuk kepada langkah APMM mengerahkan enam kapal untuk mengekori bot-bot nelayan itu.

Kapal APMM itu tidak lama lagi akan diperkukuh dengan lebih banyak aset, katanya.

Selain kapal pengawal pantai itu, Datuk Ahmad Puzi berkata sukar mengenal pasti identiti bot lain kerana mereka tidak mempunyai bendera dan ada tidak mempunyai nombor pengenalan.

Kuala Lumpur berhati-hati dalam mewujudkan pergeseran dengan Beijing berkaitan Laut China Selatan yang hangat dipertikai.

Datuk Seri Hishammuddin berkata Ahad lalu bahawa sekalipun berlaku pencerobohan oleh kapal China, perkara itu boleh "diselesaikan secara dua hala".

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 69
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.