Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

AS lancar serangan baru terhadap Houthi di Yaman

Biden ikrar terus beri tekanan terhadap Yaman
Jan 13, 2024 | 05:24 PM



WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat melakukan serangan terhadap tapak radar Houthi di Yaman, kata tentera Amerika, sambil menambah tindakan terbaru itu bertujuan untuk melemahkan keupayaan gerakan Houthi menyerang kapal maritim.


“Serangan ini dilakukan USS Carney (DDG 64) menggunakan Peluru Berpandu Serangan Darat Tomahawk dan merupakan tindakan susulan ke atas sasaran ketenteraan khusus, yang dikaitkan dengan serangan pada 12 Januari yang bertujuan untuk melemahkan keupayaan Houthi menyerang kapal maritim, termasuk kapal komersial,” kata Komand Pusat AS dalam satu kenyataan di X, yang sebelum ini dikenali Twitter, lewat 12 Januari.

Serangan terbaru, yang berlaku pada 13 Januari waktu tempatan di Yaman, berlaku sehari selepas AS dan Britain melakukan berpuluh-puluh serangan ke atas kemudahan kumpulan yang disokong Iran itu.

Prasarana radar telah menjadi sasaran utama dalam usaha ketenteraan AS untuk menghentikan serangan Houthi di Laut Merah.

Saluran televisyen pergerakan Houthi Al-Masirah sebelum ini melaporkan bahawa AS dan Britain menyasarkan ibu kota Sanaa.

Meningkatkan kebimbangan mengenai konflik serantau yang meruncing, pesawat perang, kapal dan kapal selam AS dan Britain pada 11 Januari melancarkan peluru berpandu ke arah sasaran di seluruh Yaman yang dikawal oleh kumpulan itu, yang telah menjadikan kempen maritimnya sebagai sokongan kepada rakyat Palestin yang dikepung oleh Israel di Gaza.

Berbeza dengan operasi 11 Januari, di mana Britain mengambil bahagian dengan sokongan daripada beberapa negara lain, serangan yang terbaru dijalankan semata-mata oleh AS.

Walaupun pemimpin Houthi berikrar untuk membalas dendam, Presiden AS, Encik Joe Biden memberi amaran yang beliau boleh mengarahkan lebih banyak serangan jika Houthi tidak menghentikan serangan ke atas kapal dagang dan tentera di salah satu laluan air yang terpenting dari segi ekonomi di dunia.

Jurucakap Rumah Putih, Encik John Kirby berkata, serangan itu menyasarkan keupayaan Houthi untuk menyimpan, dan melancarkan peluru berpandu atau dron, yang digunakan kumpulan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengancam perkapalan di Laut Merah.

Houthi, yang telah menguasai sebahagian besar Yaman selama hampir sedekad, berkata lima pejuang terbunuh tetapi mereka berikrar untuk meneruskan serangan mereka ke atas perkapalan serantau.

Hab maklumat Operasi Perdagangan Maritim UK berkata ia telah menerima laporan mengenai peluru berpandu mendarat di laut sekitar 500 meter dari sebuah kapal kira-kira 90 batu nautika tenggara pelabuhan Yaman Aden.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres menyeru semua pihak supaya tidak memburukkan keadaan yang tidak menentu di Laut Merah, kata jurucakapnya pada 12 Januari selepas Washington dan London melancarkan serangan ke atas pemberontak Houthi Yaman.

Serangan bertubi-tubi pada awal 12 Januari terhadap Houthi itu dilancar berikutan beberapa minggu serangan pemberontak yang mengganggu laluan perkapalan Laut Merah dan telah mencetuskan kebimbangan perang Israel-Hamas merebak ke seluruh wilayah.

Sementara itu, menjawab pertanyaan media, Kementerian Pertahanan (Mindef) menjelaskan bahawa Singapura tidak mengambil bahagian dalam serangan tentera terhadap Houthi di Yaman.

“Singapura menyumbang kakitangan kepada Operasi Penjaga Kemakmuran (OPG), satu usaha di bawah naungan Pasukan Maritim Gabungan berbilang negara - Pasukan Petugas Gabungan 153: Keselamatan Maritim Laut Merah.

“Melibatkan lebih 20 negara, OPG memberi tumpuan kepada usaha melindungi perkapalan daripada ancaman keselamatan, seperti melalui perkongsian maklumat dan rondaan maritim.

OPG tiada kaitan dengan serangan tentera terhadap Houthi,” kata Mindef. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >