Najib belanja jutaan dolar beli barang mewah, beri ahli politik: WSJ

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, membelanjakan berjuta-juta dolar membeli barang mewah dan memberi berjuta-juta dolar kepada ahli politik, pemikir dan peguam daripada bank akaun yang dimasukkan wang yang dilencongkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu (30 Mac).

Akhbar itu berkata dokumen siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia yang dilihatnya mengandungi maklumat pemindahan bank yang menunjukkan lebih AS$1 bilion, kebanyakannya berasal daripada 1MDB, memasuki lima akaun yang dimiliki Datuk Seri Najib di AmBank Bhd, sebuah bank Malaysia, antara 2011 dan 2015.

Ia berkata dokumen itu juga menunjukkan buat kali pertama bagaimana sebahagian wang dalam akaun beliau didakwa digunakan untuk perbelanjaan peribadi, termasuk pakaian, barang kemas dan sebuah kereta di kedai di Amerika Syarikat, Malaysia, Italy dan tempat lain.

Datuk Seri Najib dan 1MDB tidak memberi respons apabila diminta mengulas oleh WSJ.

Perdana Menteri itu telah bersungguh-sungguh menafikan sembarang salah laku sejak akhbar tersebut pertama kali menyiarkan dakwaan Julai lalu bahawa sebanyak AS$681 juta daripada 1MDB telah dipindahkan ke dalam akaun bank beliau pada 2013.

Peguam Negara Malaysia juga telah membebaskan Datuk Seri Najib daripada salah laku pada Januari, dengan mengatakan wang itu sumbangan sah daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan kebanyakan ia dikembalikan.

Pembela Datuk Seri Najib berkata sembarang wang yang digunakan di Malaysia dibelanjakan bagi tujuan politik, yang mereka katakan tidak menyalahi undang-undang.

Tetapi WSJ berkata pada Rabu bahawa dokumen siasatan Malaysia menunjukkan Datuk Seri Najib membuat lebih 500 pembayaran daripada akaun beliau, sebahagian besarnya kepada ahli politik.

Berpuluh-puluh juta dolar daripada pembayaran itu berlaku menjelang pilihan raya umum Mei 2013, apabila parti pemerintah, Barisan Nasional (BN), yang diterajui Datuk Seri Najib berisiko kalah buat kali pertama sejak kemerdekaan Malaysia daripada Britain pada 1957, kata laporan itu.

Pembayaran itu termasuk hampir AS$7 juta ke akaun peribadi salah seorang daripada empat adik-beradiknya, Datuk Seri Nazir, yang juga pengerusi syarikat yang dikuasai kerajaan, CIMB Group Holdings Bhd, kata WSJ.

Datuk Seri Nazir mengesahkan kepada WSJ dalam satu kenyataan bertulis bahawa beliau menerima wang tersebut, yang katanya telah diagih oleh kakitangan bank kepada ahli politik parti pemerintah mengikut arahan pemimpin parti.

Datuk Seri Nazir berkata beliau percaya wang itu ialah sumbangan yang beliau bantu kumpulkan daripada syarikat dan individu Malaysia bagi pilihan raya tersebut.

"Saya tidak mengetahui apa-apa bahawa dana itu mungkin berasal daripada sumber lain," katanya.

"Jumlah keseluruhan telah dibayar dalam bentuk wang tunai kepada pelbagai penerima mengikut arahan daripada presiden parti dan akaun itu telah ditutup dengan baki sifar."

Laporan WSJ itu juga berkata, dengan memetik dokumen siasatan Malaysia, bahawa satu pemindahan bank hampir AS$70,000 pergi kepada anak lelaki Datuk Seri Najib, Nor Ashman Najib, pada 2014.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.