Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pelarian Rohingya hiba sambut Aidilfitri di pusat perlindungan sementara Aceh

Apr 22, 2024 | 05:30 AM



ACEH: Hari Raya Aidilfitri sepatutnya menjadi hari untuk bergembira buat umat Islam tetapi berlainan pula dengan masyarakat Rohingya di Aceh, Indonesia.


Sebaliknya, ramai di antara mereka menitiskan air mata apabila terkenangkan keluarga di Myanmar, masa lampau mereka dan menyatakan “kami tidak boleh gembira hidup dalam buangan”.

Kumpulan pelarian itu menyambut Ramadan dan kini Syawal jauh dari pangkuan keluarga masing-masing selepas terselamat daripada perjalanan laut berbahaya dari kem pelarian di Bangladesh ke Indonesia iaitu negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia.

“Di sini, kami tiada anggota keluarga yang lain. Keluarga saya tiada di sini, sebab itu saya menangis,” kata Encik Mohammad Rizwan, 35 tahun.

“Ada juga yang menangis kerana ibu, bapa atau adik-beradik mereka meninggal dunia setelah bot mereka karam. Seorang rakan saya kehilangan enam atau tujuh ahli keluarga,” tambah beliau.

Encik Mohammad Sadek, penyelaras program jawatankuasa pelarian Rohingya Arakan (RARC) pula berkata: “Bagaimana kami boleh bergembira? Kami hanya memikirkan masa lampau kami. Kami tidak boleh gembira hidup dalam buangan.”

Encik Mohammad Sadek berada di sebuah pusat perlindungan sementara di barat Indonesia menyaksikan kaum lelaki pelarian Rohingya mendandan diri manakala para pelarian wanita pula memakai mekap dan hijab berwarna- warni sebelum mendirikan solat Aidilfitri.

Kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak membentang tikar berhampiran khemah mereka untuk menunaikan solat Aidilfitri. Sesetengah ibu membubuh inai pada jari anak-anak perempuan mereka.

Sedang imam memimpin solat, air mata mengalir pada wajah kaum lelaki Rohingya.

Pada sebelah malam, kaum lelaki Rohingya tidur di atas tikar mengkuang di atas lantai yang berselerak dengan sampah di dalam pusat perlindungan itu selepas dipindahkan dari kemudahan lama Palang Merah setelah ketibaan mereka menimbulkan kemarahan para penduduk tempatan.

Tetapi ada yang masih cuba untuk melakukan yang terbaik daripada keadaan buruk ini.

“Di kampung halaman kami ada sambutan Hari Raya. Ada ibu, ayah, adik-beradik, saudara-mara. Sekarang, di sini pun saya masih rasa bahagia, walaupun dilanda musibah di laut,” kata Encik Dostgior.

Beliau menambah bahawa beliau bersyukur kerana dapat “makan dan berbual-bual” dengan rakan-rakan yang terselamat.

Nasib masyarakat Rohingya menjadi tajuk utama akhbar pada November dan Disember 2023 selepas ribuan daripada mereka ditemui terkandas di dalam bot penyeludup di Laut Andaman dan Selat Melaka.

Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), seramai 1,752 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak tiba di wilayah Aceh dan Sumatera Utara antara pertengahan November 2023 dengan akhir Januari 2024.

UNHCR menyatakan puluhan pelarian Rohingya yang kini berada di pusat perlindungan sementara di Indonesia dipaksa keluar akibat protes dilakukan penduduk tempatan Aceh.

Mereka ditinggalkan di tengah lautan berikutan tindakan keras pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan penyeludupan manusia. Penduduk tempatan dilaporkan menolak bot yang membawa Rohingya kembali ke laut selain cuba menyerbu tempat perlindungan sementara mereka sejak beberapa bulan lalu.

Pegawai sekutu perlindungan UNHCR, Encik Faisal Rahman, berkata mangsa yang dipaksa keluar kemudiannya dibawa ke pejabat ketua kerajaan tempatan di Aceh Barat.

Mereka yang terselamat diberi perlindungan di sebuah bangunan lama Palang Merah di Kabupaten Aceh Barat.

Penduduk tempatan bagaimanapun mahu mereka semua diusir.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Encik Lalu Muhamad Iqbal, berkata Jakarta memberi perlindungan sementara kepada Rohingya hanya atas sebab kemanusiaan.

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian PBB sebaliknya yang sepatutnya diwajibkan memberi perlindungan kekal. Katanya, Indonesia tidak menandatangani konvensyen itu.

Dalam insiden berasingan, pasukan polis menghalang penduduk tempatan daripada menyerbu pusat perlindungan Rohingya di pulau Sabang Aceh.

Ramai orang Aceh bersimpati dengan nasib saudara sesama Islam mereka, namun ada juga yang hilang sabar berikutan mendakwa etnik Rohingya berkelakuan antisosial.

UNHCR berkata ia adalah aliran masuk terbesar ke negara majoriti Islam itu sejak 2015, didorong oleh keadaan yang semakin teruk di kem Bangladesh dan keganasan yang berterusan di negara asal Rohingya, Myanmar

Pada 2 April lalu, empat warga Indonesia ditahan kerana terbabit dalam penyeludupan puluhan pelarian Rohingya selepas bot migran itu karam di perairan pantai paling barat kepulauan itu pada Mac.

Pada Mac 2024, pihak berkuasa menyelamatkan 69 pelarian Rohingya di luar pantai barat wilayah Aceh, yang berpaut pada badan bot yang terbalik selama lebih daripada sehari.

Enam yang lain diselamatkan oleh nelayan sehari sebelum kejadian. Mayat 16 pelarian Rohingya turut ditemui selepas bot yang dinaiki kira-kira 150 orang itu karam. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >