Raja Perlis: Cukup 'Perlis' sahaja

KANGAR (Perlis): Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, menitahkan nama Perlis tidak perlu ditambah 'Indera Kayangan' atau 'Darul' sebaliknya hanya 'Perlis' seperti termaktub dalam undang-undang tubuh negeri.

Baginda bertitah undang-undang tubuh tersebut ditandatangani oleh ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail hanya dengan nama Perlis tanpa ada sebarang tambahan.

"Oleh itu saya harap biarlah nama tersebut dikekalkan dengan nama Perlis tanpa ditambah Indera Kayangan yang mempunyai kaitan dengan dewa-dewa atau apa-apa Darul," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian semasa merasmikan Muzium Kota Kayang dan Jamuan Teh Rakyat bersempena sambutan keputeraan ke-72 baginda di muzium itu di sini semalam.

Berangkat sama ke majlis itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut baginda, nama Perlis pernah dibincang dalam mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) semasa baginda menjadi Yang Dipertua majlis berkenaan pada tahun 80-an.

"Keputusan mesyuarat itu dipersembahkan kepada ayahanda saya dan baginda juga mahu nama Perlis tidak dibuat sebarang tambahan," titah Tuanku Syed Sirajuddin.

Mengenai muzium tersebut, baginda berharap ia menjadi tempat tumpuan rakyat khususnya golongan muda untuk menimba ilmu yang mempunyai kaitan dengan sejarah negeri Perlis.

Baginda sukacita dimaklumkan lebih 30,000 orang melawat muzium itu sepanjang tahun lepas melebihi sasaran 25,000 orang manakala jumlah pengunjung sejak dibuka ialah 400,000 orang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, dalam ucapannya, yakin Muzium Kota Kayang akan berfungsi sebagai pusat ilmu sejarah di samping menjadi tumpuan pelancong asing.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Encik Wan Jamaluddin Wan Yusof berkata, jabatan itu sedia menambah koleksi muzium di samping menceriakan landskapnya bagi meningkatkan daya tarikan pelancong untuk mengunjunginya. - mStar Online.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 73
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.