Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Serangan udara Israel bunuh komander tertinggi Iran di Syria

Apr 02, 2024 | 02:00 PM



TEHRAN: Sekurang-kurangnya tujuh pegawai yang mengawasi operasi rahsia Iran di Timur Tengah terbunuh pada 1 April apabila pesawat pejuang Israel mengebom sebahagian kompleks Kedutaan Iran di Damsyik, ibu kota Syria, menurut kenyataan Pengawal Revolusi Iran.


Serangan itu membunuh tiga jeneral dalam Pasukan Quds Iran, tentera luar dan perkhidmatan perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam dan empat pegawai lain, kata kenyataan itu.

Kejadian itu menjadikannya salah satu serangan paling maut dalam konflik bertahun-tahun antara Israel dengan Iran.

Tentera Israel enggan mengulas mengenai serangan itu, tetapi empat pegawai Israel, yang enggan namanya disiarkan untuk membincangkan perkara perisikan yang sensitif, mengakui bahawa Israel telah melakukan serangan tersebut.

Perang rahsia sebelum ini termasuk pembunuhan yang disasarkan oleh Israel terhadap pemimpin tentera Iran dan saintis nuklear serta penggunaan proksi asing Iran untuk menyerang kepentingan Israel.

Kini, ia semakin diperjuangkan secara terbuka apabila ketegangan antara negara semakin memuncak sejak Israel dan Hamas, militia yang disokong Iran di Gaza, berperang pada Oktober.

Tehran telah berjanji untuk meneruskan sokongannya kepada Hamas dan kumpulan Palestin lain tetapi menegaskan bahawa Hamas sendiri yang memutuskan untuk menyerang wilayah Israel.

Serangan di Damsyik mengorbankan Jeneral Mohamad Reza Zahedi, 65 tahun, komander kanan yang mengawasi operasi ketenteraan rahsia Pasukan Quds Iran di Syria dan Lebanon.

Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Jeneral Mohammad Hadi Haj Rahimi, timbalan komander Pasukan Quds di Lebanon dan Syria dan kedua di bawah pimpinan Jeneral Zahedi dan Jeneral Hossein Aman Allahi, yang bertanggungjawab bagi operasi ketenteraan Pasukan Quds di wilayah itu.

“Selama bertahun-tahun, Israel dan Iran telah terlibat dalam apa yang biasanya dipanggil ‘perang bayangan’,” kata Encik Ali Vaez, pengarah Iran untuk Kumpulan Krisis Antarabangsa, dalam catatan media sosial pada 1 April.

“Serangan hari ini menggariskan fakta bahawa ini semakin keliru, kerana ketegangan meningkat dalam pelbagai bidang.”

Encik Nasser Kanaani, jurucakap kementerian luar Iran, berkata Iran masih menyiasat skop serangan itu tetapi mengancam bahawa akan ada akibat untuk Israel dan “Iran mempunyai hak untuk membalas dendam”.

Agensi berita negara Syria dan Iran telah menyiarkan rakaman video bangunan yang musnah, sisa-sisa kereta yang terbakar, kaca pecah dan serpihan yang menutupi tanah.

Serangan itu, kata dua anggota Pengawal Revolusi Iran, menyasarkan pertemuan rahsia di mana pegawai perisikan Iran dan militan Palestin berkumpul untuk membincangkan perang di Gaza.

Antaranya ialah pemimpin Jihad Islam Palestin, sebuah kumpulan yang dibiayai oleh Iran.

Israel dan Iran berbeza dalam penerangan mereka tentang bangunan yang diserang.

Iran menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada misi diplomatiknya di Syria, tetapi Israel berkata ia digunakan oleh Pengawal Revolusi, menjadikannya sasaran ketenteraan yang sah. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >