Unicef: Hampir 24 juta kanak-kanak tidak bersekolah

HAMPIR 24 juta kanak-kanak di 22 negara yang menghadapi konflik tidak bersekolah, menurut analisa Tabung Pendidikan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Dalam kenyataan akhbarnya, Unicef menyatakan hampir seorang dari setiap empat dari keseluruhan 109.2 juta kanak-kanak yang berusia antara enam hingga 15 tahun dan tinggal dalam zon konflik, terlepas peluang bersekolah.

Sudan Selatan, menjadi kawasan yang menghadapi paling ramai kanak-kanak yang tidak bersekolah, dengan lebih separuh atau 51 peratus mereka yang berada di sekolah rendah dan menengah rendah tidak berpeluang menimba ilmu.

Niger berada di kedudukan kedua dengan 47 peratus tidak berpeluang ke sekolah, diikuti dengan Sudan (41 peratus) dan Afghanistan (40 peratus).

"Kanak-kanak yang tinggal di negara-negara yang terjejas konflik telah kehilangan tempat tinggal, ahli keluarga, keselamatan dan amalan hidup.

"Kini mereka tidak mampu belajar apalagi menguasai kemahiran asas membaca dan menulis, mereka menghadapi risiko kehilangan peluang untuk menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat apabila dewasa kelak," kata Ketua Pendidikan Unicef, Encik Jo Bourne.

Di negara-negara yang terjejas konflik, mengumpul data tentang kanak-kanak adalah amat sukar dan kerana itu, perangkaan yang ada mungkin tidak menggambarkan sepenuhnya cabaran yang dihadapi.

Unicef bimbang selagi pendidikan tidak diutamakan sewaktu tempoh kecemasan, satu generasi kanak-kanak yang tinggal di zon konflik akan membesar tanpa kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang kepada negara dan ekonomi, sekaligus memburukkan lagi keadaan yang dihadapi oleh jutaan kanak-kanak dan keluarga mereka.

Pendidikan terus kekal sebagai salah satu sektor yang kurang dibiayai. Di Uganda, di mana Unicef menyediakan perkhidmatan kepada pelarian Sudan Selatan, sektor pendidikan menghadapi jurang pembiayaan seluas 89 peratus.

"Sekolah melengkapkan kanak-kanak dengan ilmu dan kemahiran yang mereka perlukan untuk membina masyarakat mereka setelah konflik berakhir. Dalam tempoh pendek, ia menyediakan mereka dengan kestabilan dan struktur yang diperlukan untuk menampung trauma dan bahaya fizikal di sekeliling mereka.

"Apabila kanak-kanak tidak berada di sekolah, mereka lebih terdedah kepada bahaya penganiayaan, eksploitasi dan kemasukan ke dalam pasukan-pasukan bersenjata," tambah Encik Bourne.

Semasa tempoh ketidakstabilan dan keganasan, sekolah tidak hanya menjadi tempat di mana kanak-kanak datang untuk belajar.

Unicef berusaha mewujudkan sekitaran yang selamat di mana kanak-kanak boleh belajar dan bermain demi mengembalikan mereka kepada keadaan hidup yang biasa.

Meskipun pelbagai usaha dilakukan, sekatan keselamatan dan kekurangan biaya telah menjejas pendidikan dan pengagihan peralatan pembelajaran dalam situasi konflik.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.