Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Guna mesin bagi tingkat produktiviti

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SIRI MEMPERSIAP BAGI EKONOMI BARU

Guna mesin bagi tingkat produktiviti

Feb 25, 2018 | 05:30 AM



PERNAH satu ketika dulu, tugas memotong berkilo-kilo paru di Pondok Abang, sebuah syarikat pengilangan makanan beku halal, dilakukan secara manual.



Dari 10 pagi hingga 5 petang, ibu bapa Encik Mohd Hasan Abdul Rahman, yang mengasaskan perniagaan itu, serta beliau dan kakaknya akan bertungkus-lumus memotong paru yang sudah direbus itu dengan tangan di dapur pusat mereka yang terletak di Jurong Food Hub.



Tahun demi tahun apabila permintaan paru berempah semakin meningkat, keluarga itu menyedari bahawa mereka perlu mengubah cara operasi itu dilakukan.



"Saya dan kakak akan memotong berkilo-kilo paru bagi membantu ibu dan ayah. Sudah banyak kali jari jemari terkena pisau. Saban hari, proses yang sama berulang dan kami tidak mempunyai masa memikir cara mengembangkan perniagaan.



"Dalam fikiran saya berkata bahawa untuk berkembang, kita perlu ubah cara perniagaan itu dikendalikan,'' kata Encik Hasan, 29 tahun, yang mengambil alih perniagaan itu daripada bapanya, Encik Abdul Rahman Yad Ali, selepas tamat menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada 2014.



Sebuah alat pemotong daging beku dibeli pada harga $5,000 yang berupaya memotong sehingga empat kilogram daging beku dalam seminit berbanding sekilogram seminit apabila menggunakan tangan.



Dengan mesin itu, daya penghasilan mereka semakin meningkat membolehkan syarikat itu menerima tempahan sebanyak empat kali lebih tinggi.



Kini, syarikat itu membekalkan sehingga 14,000 kilogram paru berempah sebulan - menjadikan Pondok Abang sebuah syarikat pengeluar paru berempah halal terbesar di Singapura!



Peralihan menjadi sebuah syarikat pengilang makanan amat menyerlah lebih-lebih lagi kerana Pondok Abang bermula sebagai sebuah gerai kecil menjual rojak di sebuah kedai kopi di Jurong West yang dikendalikan Encik Abdul Rahman pada 1990.



Syarikat itu masih mengendalikan sebuah gerai Pondok Abang di Blok 448 Clementi Avenue 3 yang menjual makanan seperti rojak bandung dan nasi ayam penyet.



Apabila berubah menjadi sebuah syarikat pengilang makanan, potensi mengembangkan perniagaan itu terbuka luas bagi syarikat itu.



Selain menjual di lebih banyak kedai di Singapura, Pondok Abang juga mempunyai permintaan dari luar negara seperti Brunei dan Australia yang berharap paru berempah itu dieksport ke sana.



"Kita mempunyai ramai orang Brunei yang melancong ke Singapura dan menelefon kami untuk mencari paru berempah kami di Mustafa Centre. Pelajar atau rakyat Singapura yang tinggal di Australia juga memberitahu kami agar menjual paru itu di sana,'' ujar Encik Hasan.



Untuk mengeksport, beliau merancang membeli sebuah mesin dari Jerman yang menelan kos $130,000 yang berupaya menghasilkan 23 peket paru berempah dalam satu minit tahun ini.



Menggunakan enjin Rolls Royce, mesin itu berupaya menimbang berat paru, memotong, membungkus dan mengeluarkan peket bungkusan.



"Dalam satu minit, mesin itu dapat menghasilkan 23 paket paru berempah. Ketika ini, kami hanya dapat mengeluarkan satu paket dalam satu minit menggunakan tiga pekerja yang perlu melakukan tugas yang berbeza dari mengimbang, memotong dan membungkus paru itu. Bayangkan, dengan lebih banyak pengeluaran, kami dapat menjual ke lebih banyak kedai dan mengeksport ke luar negara,'' kata Encik Hasan, yang mempunyai 20 pekerja.



Melihat gaya hidup pengguna yang berubah, syarikat itu juga pantas merombak perniagaan mereka bagi memenuhi permintaan itu.



Syarikat itu menghasilkan pek makanan beku siap dimakan halal seperti rendang, sambal goreng dan ayam masak merah bagi memudahkan suri rumah terutama yang bekerja serta mereka yang melancong.



"Kami perkenalkannya pada 2012 tetapi hanya dua tahun lalu, permintaannya cukup baik terutama semasa bulan puasa dan Hari Raya. Pelanggan hanya perlu meletakkan pek itu dalam gelombang ketuhar untuk beberapa minit dan ia siap dimakan,'' jelas beliau.



Selain jenama Pondok Abang, firma itu juga memperkenalkan jenama baru, Lazeez, bagi menjual makanan siap dimakan beku seperti kari ayam dan kurma daging kambing.



"Apabila kami menjual makanan India, kami rasa jenama Pondok Abang tidak sesuai dan kerana itulah, kami perkenalkan jenama Lazeez yang cukup laris dijual di Mustafa Centre,'' ujar Encik Hasan.



Bagi memudahkan penyediaan pek makanan siap dimakan, syarikat itu melabur dalam periuk penggaul automatik yang berupaya memasak 50 kilogram rendang dalam satu masa.



Pondok Abang kini mengeluarkan 15 jenis makanan dan menghantar ke 70 lokasi setiap hari serata Singapura termasuk Mustafa Centre, MyOutlet Global Halal Hub, Nikmart Halal Frozen, U Stars Supermarket dan Toko Warisan Halal Frozen.



Walaupun merupakan sebuah syarikat milik Muslim, Pondok Abang merasakan penting mendapatkan sijil halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi meningkatkan keyakinan pelanggan Muslim serta membuka peluang menembusi pasaran dunia.



Syarikat itu juga mempunyai piawaian antarabangsa ISO22000 yang memastikan mutu keselamatan makanan yang tinggi.



Pondok Abang juga tidak keberatan mendekati Pusat Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SME@DPPMS) bagi membaiki lagi perniagaan mereka.



Penasihat perniagaan di Pusat SME@DPPMS, Encik Qamarul Solihien Daud, telah menjalankan diagnostik perniagaan terhadap syarikat itu bagi memahami hala tuju perniagaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.



"Pondok Abang ingin mengeksport produk mereka tetapi mereka tidak mempunyai laman. Jadi, kami hubungkan syarikat itu dengan sebuah firma yang membantu melakarkan laman dan membangunkan jenamanya. Ini meletakkan syarikat itu di mata dunia,'' kata Encik Qamarul.



Dengan automasi dan pendigitalan, Encik Hasan berkata syarikat itu berjaya meningkatkan penjualan sebanyak 50 peratus tahun lalu.



"Jika makanan barat boleh popular di serata dunia, kami juga ingin membawa makanan Melayu seperti ayam masak merah dan rendang untuk popular di pelosok dunia,'' ujar Encik Hasan, bersungguh-sungguh.



  • Laporan ini dibawakan oleh Majlis Ekonomi Masa Hadapan.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >