Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Sofwe ciptaan firma S’pura, V-Key, lindung identiti digital lebih 236j pelanggan dunia

Membuat Transformasi Esok, Hari ini
Aug 25, 2022 | 05:00 AM



LEBIH 236 juta pelanggan serata dunia telah meraih manfaat daripada perlindungan identiti digital hasil ciptaan syarikat keselamatan digital Singapura, V-Key.



Sofwe V-OS Virtual Secure Element digunakan banyak bank tempatan dan asing, syarikat berkembang pesat dan agensi pemerintah serata dunia. Ia telah mendapat paten dari Amerika Syarikat, Singapura dan Australia.



Sofwe itu memerlukan pembina aplikasi memasukkan sofwe V-OS ke aplikasi mereka agar penjenayah siber tidak boleh mencuri kata kunci dan data sensitif pelanggan.



Hasil rekaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas sama V-Key, Encik Joseph Gan, pada 2011, membolehkan transaksi perbankan bimbit dijalankan dengan selamat, manakala pelbagai syarikat dan pertubuhan boleh mereka bentuk khidmat keselamatan digital yang kukuh.



Syarikat V-Key atau dalam istilah bahasa Inggeris, Virtual Key, yang membawa maksud kunci virtual, ditubuhkan oleh Encik Gan bersama dua lagi pengasas bersama, Encik Eddie Chau dan Encik Benjamin Mah, sebagai sebuah syarikat pemula (start-up) pada 2011.



“Teknologi teras V-Key boleh mengatasi pelbagai masalah digital klien, antaranya dalam pengurusan identiti digital dan kejuruteraan Internet Benda (Internet of Things atau IoT),” ujar Encik Gan, 44 tahun, yang asalnya memegang jawatan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) V-Key.



Encik Gan, yang memiliki ijazah Sarjana Sains dan Sarjana Muda Sains dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Stanford, California, dan penerima Biasiswa Merit Luar Negara Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, merupakan pakar teknologi berpengalaman dan perintis keselamatan digital yang memegang pelbagai paten.



Hingga kini, belum ada syarikat lain yang dapat membina teknologi hampir serupa.



Pada 2014, V-Key mendapat pendanaan berjumlah AS$12 juta ($16.65 juta) dari Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Ant (Ant Financial), syarikat pengendali Alipay, dan pelabur sedia ada, firma kapital venture IPV Capital.



Syarikat itu diiktiraf sebagai syarikat ketiga Singapura yang paling pesat berkembang dan kini sudah pun menembusi 15 pasaran.



Ketika ini, sebanyak 100 aplikasi bimbit menggunakan teknologi V-Key yang melindungi lebih 400 juta pemasangan dan identiti digital dalam alat bimbit pengguna.







Inovatif cari penyelesaian isu digital



Budaya inovasi amat tersemat dalam kalangan kakitangan V-Key.



Ia bukan sahaja meliputi pembangunan produk, bahkan kakitangan juga bekerjasama dengan pelanggan untuk mengenal pasti masalah digital dan mencari penyelesaian secara inovatif berdasarkan teknologi V-Key, jelas Encik Gan.



“Pasukan penjualan kami juga akan membantu pelanggan kami memahami bagaimana V-Key boleh membangunkan penyelesaian daripada sudut kejuruteraan atau membina ciri baru jika perlu,” kata Encik Gan.



Syarikat ini juga mendapati penting untuk bekerjasama dengan rakan kongsi setempat di negara pelanggan, kata Ketua Pegawai Operasi V-Key, Encik Raymond Lee, 52 tahun, yang menyertai V-Key pada 2016.



Sebagai contoh, V-Key bekerjasama dengan rakan kongsi teknologi yang boleh dipercayai seperti Hewlett Packard Enterprise (HPE) di India untuk menawarkan khidmat V-Key kepada pelanggan pemerintah India.



Ia juga bekerjasama dengan syarikat setempat yang tidak dikenali di peringkat antarabangsa tetapi popular di negeri tersebut, misalnya di Thailand atau Bhutan.



Perkongsian bersama syarikat setempat membolehkan V-Key mengatasi cabaran seperti pertuturan bahasa, budaya kerja dan isu-isu berkenaan perihal perniagaan. Ia juga membantu meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap V-Key, kata Encik Gan.



Menurut Pengarah Kejuruteraan Produk, Encik Karan Sachdeva, yang telah bertugas di V-Key selama tujuh tahun, syarikat ini mengambil tempoh antara enam dengan 10 bulan untuk mengeluarkan produk baru buat pelanggan yang merangkumi antaranya, proses ciptaan idea, kajian pasaran serta proses menguji produk.



“Oleh kerana produk V-Key dicipta buat bank dan pemerintah yang mempunyai jutaan pengguna, V-Key telah membuat pelaburan dari segi mengautomasi proses ujian produk bagi memastikan agar produk itu dapat memberi perlindungan digital yang berkesan,” kata Encik Sachdeva, yang memimpin jabatan kejuruteraan produk, jabatan terbesar dalam V-Key, dan menyelia serta menyelaras pasukan dari serata negara.



Sejak ditubuhkan, V-Key menubuhkan sebuah pejabat di Vietnam lima tahun lalu dan baru-baru ini, mempunyai pejabat di India.



V-Key juga mempunyai 96 kakitangan antarabangsa seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Jerman yang memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan bersama pelanggan melalui bidang penjualan, pemasaran dan juga kejuruteraan.



Penekanan V-Key terhadap inovasi dan pendigitalan melayakkan syarikat ini dalam Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025 yang dilaksanakan pemerintah.



ITM 2025 kendalian Majlis Ekonomi Masa Hadapan (FEC) dan dipimpin pengerusinya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat.



Ia bertujuan melakar rancangan bagi mempergiat pembangunan modal insan dan inovasi demi memanfaatkan peluang pertumbuhan, pasca Covid-19, bagi 23 sektor.



Setiap ITM meliputi bidang seperti produktiviti, penyejagatan, inovasi, pendigitalan, daya tahan, kemampanan, serta pekerjaan dan kemahiran.



 



Akreditasi bantu bina kepercayaan



Sokongan kuat daripada agensi pemerintah telah membantu syarikat V-Key berkembang pesat di Asia Tenggara dan antarabangsa.



Pada awal penubuhan V-Key, ia adalah antara syarikat teknologi inovatif setempat yang mendapat akreditasi oleh Penguasa Pembangun Infokom Media (IMDA) dan kini merupakan syarikat SG:D Akreditasi dan Akreditasi@SG Digital.



“Program akreditasi ini baik untuk V-Key pada tahun-tahun penubuhan awal kami kerana ia memberi syarikat lain jaminan bahawa syarikat start up dari Singapura ini boleh dipercayai,” ujar Encik Gan.



Akreditasi@SG Digital bertujuan membantu syarikat produk pertumbuhan tahap awal yang mempunyai produk inovatif dan berpangkalan di Singapura untuk mendapat daya tarikan dan skala dengan pemerintah sebagai pelanggan.



Sejak mendapat akreditasi, pertumbuhan pendapatan V-Key meningkat melebihi 480 peratus.



Syarikat V-Key juga telah bekerjasama rapat dengan Enterprise Singapore (ESG), khususnya dalam program Scale-Up pada 2020, yang menyokong pembangunan produk dan perkembangan antarabangsa.



Katanya lagi: “V-Key juga bekerjasama rapat dengan Spring Singapore dengan sokongan ESG untuk membangun teknologi dan produk baru.



“Maka, jika produk kami dahulu lebih fokus terhadap telefon bijak, teknologi V-Key kini misalnya, boleh digunakan bagi alat kejuruteraan IoT di browser dan server web.



“Kami juga menawarkan khidmat lain seperti khidmat V-OS Cloud dan biometrik.”



Encik Gan menambah bahawa Singapura adalah pasaran baik bagi perlindungan Hak Cipta Intelektual (IP).



“Kami telah membina beberapa teknologi baru sejak beberapa tahun lalu dan sedang berusaha menghasilkan satu lagi teknologi yang kami ingin paten dan itulah kunci inovasi syarikat kami – untuk mengusahakan sesuatu yang bernilai tinggi,” kata Encik Gan.







Lapisan inovatif firma Nanofilm diguna dalam telefon bijak, komputer dunia







TAHUKAH anda sebuah firma Singapura menghasilkan teknologi lapisan yang dapat melindungi alat seperti telefon bijak, komputer riba dan komputer daripada tercalar atau rosak?



Ciptaan firma Nanofilm Technologies International Ltd itu sudah dipaten dan digunakan banyak produk di seluruh dunia.



Ditubuhkan pada 1999, syarikat itu yang dimulakan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), merupakan perintis dan pemimpin pasaran dalam teknologi terasnya, Filtered Cathodic Vacuum Arc (FCVA).



Teknologi FCVA yang boleh digunakan di permukaan seperti plastik, getah dan seramik, dicipta Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Nanofilm, Dr Shi Xu, yang pernah bertugas sebagai profesor bersekutu di NTU.



Hasil teknologi teras FCVA, Nanofilm mencipta bahan-bahan lanjutan yang boleh didapati pada pelbagai produk dari industri 3C (Komputer, Komunikasi dan Elektronik Konsumer), automotif, kejuruteraan jitu, percetakan dan peralatan perubatan, menurut Ketua Pegawai Kumpulan Strategi dan Komersial Nanofilm, Encik Gian Yi Hsen.



Beliau mempunyai pengalaman 20 tahun dalam promosi pelabuhan strategik global, pembangunan industri, inkubasi dan pengenalan pasti huraian teknologi serta perubahan perusahaan.



Sebelum menyertai Nanofilm, beliau telah memegang pelbagai jawatan di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dari 2001 hingga 2021.



Syarikat Nanofilm yang mempunyai empat unit perniagaan – bahan lanjutan, nanofabrikasi, peralatan industri dan Sydrogen – mempunyai lebih 80 paten dan tanda dagangan teknologi dari serata negara seperti China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah.



Sebagai contoh, bahan lapisan vakum FCVA digunakan pada bahagian mesin pencetak. Antara pelanggannya ialah syarikat Canon.



Sejak 2010, Nanofilm membekalkan teknologi salutan pada industri komunikasi komputer dan elektronik pengguna. Bahan salutan Nanofilm itu boleh didapati pada pelbagai bahagian telefon bijak, komputer riba dan komputer. 



Pada 2013, Nanofilm bekerjasama dengan rakan kongsi dari China dan Jepun untuk membina bahan lanjutan iTAC yang disalutkan sebagai solusi permukaan pada gelang omboh (piston ring) automotif yang meningkatkan kecekapan bahan bakar pada enjin diesel.



Inovasi adalah asas pertumbuhan Nanofilm, menurut Ketua Pegawai Kumpulan Teknologi, Encik Lars Lieberwirth.



“Menghasilkan produk dan berinovasi adalah satu proses sistematik yang bermula dengan pemahaman jelas mengenai cabaran atau masalah teknikal yang kemudian mencari penyelesaian pada masalah itu.



“Di Nanofilm, kami meluangkan masa di makmal untuk membuat kajian dan tenaga kerja kami perlu mempunyai pemahaman tentang bahan-bahan sesuai dari segi kimia dan fizik untuk menghasilkan produk nano,” kata Encik Lieberwirth.



Beliau pernah bertugas di syarikat The Gillette Company, Procter & Gamble dan Hi-P International Limited sebelum mengasaskan syarikat pemula yang fokus kepada pembangunan produk, Ing.-Büro Lieberwirth.



Dalam menghasilkan produk nano, Nanofilm memastikan agar mereka mencari huraian dengan inovasi yang mampan.



Bagi menggalakkan pemikiran inovasi di kalangan kakitangannya, Nanofilm menyediakan peluang buat mereka mempertingkat diri melalui Kolej Nanofilm, di mana kakitangan yang berpengalaman melatih pekerja lain.



Nanofilm juga menggalakkan tenaga kerja untuk terus memperbaiki operasi dan terlibat sama dalam mencari penyelesaian untuk menghasilkan proses dan produk baru.



Nanofilm yang tergolong dalam Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025, kini mempunyai enam kemudahan pengeluaran di Singapura, China, Jepun dan Vietnam, tiga pusat kajian dan pembangunan (R&D) di Osaka, Singapura dan Shanghai dan tiga pejabat jualan di seluruh dunia, dengan 3,000 pekerja.



 



Dapat peluang urus penerbitan nanofabrikasi di Vietnam



Salah seorang tenaga kerja Nanofilm yang telah mendapat peluang untuk menyahut cabaran baru dan pada masa yang sama, ditugaskan untuk membimbing tenaga kerja lain di Vietnam adalah Encik Suhaimi Saini, 55 tahun, Pengurus, Nanofabrikasi Vietnam.



Encik Suhaimi, lulusan Sijil Teknikal Nitec Gred 2 (NTC-2) dengan kemahiran pertukangan dalam kejuruteraan jitu, sudah mempunyai pengalaman lebih 22 tahun di Indonesia, di mana beliau mengendalikan pelbagai pengurusan dan proses pengilangan.



Berbekalkan pengalamannya yang kaya dalam kejuruteraan jitu tinggi dan pengacuan suntikan, Encik Suhaimi menyertai unit Nanofabrikasi Nanofilm yang menghasilkan kanta ketepatan tinggi.



Unit tersebut juga bertanggungjawab bagi pemindahan dan pengenalan proses salutan ke kemudahan Nanofabrikasi di Vietnam.



Oleh kerana Encik Suhaimi mempunyai pelbagai pengalaman menguruskan operasi di luar negara, beliau telah disarankan bertugas di Vietnam pada 2019 bagi menyokong pertumbuhan syarikat di Vietnam.



Selain itu, beliau perlu membimbing kakitangan lain di Vietnam dengan menyampaikan pengetahuan dan pengalaman beliau dalam penambahbaikan proses, baik dalam pembuatan mahupun fungsi korporat.



Kini, Encik Suhaimi yang sudah tiga tahun bersama Nanofilm, masih bertugas di Vietnam.







Kerjasama dengan agensi pemerintah



Keupayaan Nanofilm untuk berkembang pada awal pertumbuhannya adalah hasil kerjasama rapat Nanofilm bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), di mana EDB telah menganugerahkan Nanofilm dengan geran inovasi pada 2001, jelas Encik Gian.



Geran inovasi itu telah menyumbang pada kerja pembangunan awal berkenaan beberapa peralatan syarikat itu dan membina perniagaan peralatan industrial Nanofilm.



Pada 2001, pengasas syarikat, Dr Shi, menjadikan Nanofilm sebuah syarikat privet supaya ia boleh berkembang pesat.



Kemudian, pada 15 Oktober 2020, Nanofilm menawarkan Tawaran Awam Awal (IPO) di Bursa Singapura (SGX) dan berjaya mengumpul dana sebanyak $470.1 juta.



Selain EDB, Nanofilm juga bekerja rapat dengan Enterprise Singapore (ESG) yang memperkenalkan syarikat ini pada pasaran baru di pelbagai negara.



Mengulas tentang kerjasama Nanofilm bersama agensi pemerintah pada masa hadapan, Encik Gian berkata:



“Kami berharap agar agensi pemerintah akan terus memberi kami sokongan dari segi kewangan. Selain itu, kami berharap agar pemerintah juga komited untuk membina bakat serta mencipta akses pada sistem eko kajian dan pembangunan yang berbeza.’’



Nanofilm juga merancang mempunyai sebuah makmal korporat dengan salah satu universiti di Singapura, di mana pihaknya berupaya membina bakat baru dalam bidang solusi nanoteknologi.



ESG dan EDB sedang berbincang dengan Nanofilm untuk menyokong penubuhan pusat kajian dan pembangunan (R&D).



Nanofilm telah menyatakan minat menubuhkan pasukan R&D dan kejuruteraan di Singapura yang akan menyelia penyelidikan dalam aplikasi baru seperti sel bahan api, automotif, bio-perubatan, kanta optik dan komponen deria.



Ia juga menyokong pembangunan dalam bidang sedia ada iaitu kerjasama dengan agensi pemerintah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >