Lisa tidak terkilan tidak dapat kendali liputan Anugerah Akademi di LA

PELAKON Lisa Surihani menganggap ‘tiada rezeki’ apabila peluangnya mengendalikan rancangan siaran langsung dari lokasi Anugerah Akademi di Los Angeles, Amerika Syarikat, yang berlangsung baru-baru ini digantikan oleh pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi.

Malah, Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 29 tahun, berkata Aznil, atau lebih dikenali sebagai Pak Nil, lebih layak menggalas tanggungjawab tersebut kerana mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengacaraan.

“Pada awalnya memang saya sepatutnya pergi ke penyampaian anugerah Oscar itu tetapi disebabkan keadaan saya sekarang (mengandung), saya terpaksa menolak tawaran itu. Ia mengambil masa yang terlalu lama untuk berada dalam penerbangan ke sana.

“Bagi saya tempat itu digantikan oleh orang yang paling layak dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengacaraan,” ujarnya kepada mStar online.

Lisa berkata demikian ketika ditemui di majlis Breakfast With The Star (Sarapan bersama Bintang) yang diadakan di Hotel Shangri-la, Petaling Jaya, sambil menyaksikan siaran langsung Anugerah Akademi ke-87 menerusi saluran Astro HBO.

Menurut Lisa, suaminya Yusry Abdul Halim turut menyokong keputusannya menolak tawaran tersebut selepas disahkan mengandung anak sulung mereka.

Rancangan istimewa kendalian Aznil berjudul HBO Sentral di Oscar Red Carpet itu akan disiarkan secara eksklusif di HBO saluran 411 pada 8 Mac ini, 1.25 petang.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangannya, Lisa berkata beliau merancang berehat daripada aktiviti seni sehingga melahirkan cahaya mata.

“Saya memang merancang berehat sehingga lepas bersalin, namun saya belum buat keputusan lagi dan tengok keadaan kesihatan.

“Saya lihat ada wanita mengandung yang kuat melakukan aktiviti selepas beberapa bulan mengandung, jadi saya lihat bagaimana keadaan saya nanti. Kalau tidak mengizinkan barulah saya berehat,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang perkembangan kandungannya, Lisa berkata semuanya berjalan baik.

Tambahnya, setakat ini beliau belum mempunyai nafsu makan yang luar biasa atau mengidam seperti kebiasaan wanita mengandung.

“Kalau pasal makan belum ada yang pelik-pelik lagi. Biasanya saya random sahaja mahu makan apa.

“Namun tak berani nak cakap lebih kerana mungkin selepas ini ada pula rasa nak makan atau mengidam tu,” ujarnya.

Sementara itu, Lisa berkata lantaran terlalu rindu pada bidang lakonan, suaminya membenarkan sebuah penggambaran drama dilakukan di rumah mereka.

Jelas Lisa, perkara itu membolehkan beliau sentiasa berada dalam bidang ini biarpun sudah lama tidak terlibat dengan mana- mana penggambaran.

“Saya rindu ingin berlakon tetapi keadaan tidak mengizinkan, jadi suami saya benarkan satu penggambaran di rumah supaya saya boleh lepaskan rindu.

“Apabila tengok penggambaran itu saya rasa sangat gembira dan puas. Setidak-tidaknya saya tidak rasa terlalu ketinggalan daripada bidang ini,” ujarnya.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.