Pencapaian terbaik Siti dalam dua dekad

KUALA LUMPUR (Malaysia): Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza menyifatkan lima kemenangan yang diraih di Anugerah Industri Muzik 22 (AIM22) sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 37 tahun, berkata, kemenangan tersebut lebih bermakna apabila ia menerusi album yang dirakam secara langsung daripada sebuah konsert Dato' Siti Nurhaliza Unplugged.

"Ini hadiah paling bermakna sepanjang 20 tahun dalam industri hiburan, lebih-lebih lagi menerusi album unplugged kerana bagi saya album yang dirakam secara langsung adalah paling mencabar berbanding album rakaman studio.

"Ia adalah rezeki team saya yang bekerja keras dalam waktu yang singkat, disamping memastikan kami mendapat kualiti terbaik untuk album ini, saya beruntung dikelilingi orang-orang profesional," ujarnya pada sidang media selepas AIM22, malam Ahad.

Siti turut memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu dan Susunan Muzik Terbaik menerusi lagu Menetap Dalam Mimpi, Anugerah Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu Mikraj Cinta dan Anugerah Penyanyi Pilihan Malaysia pada AIM22 yang bersiaran secara langsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, tambah Siti, cabaran utama menghasilkan album unplugged ialah kemampuan vokal tanpa henti selama dua jam sepanjang berlangsungnya konsert itu.

"Album rakaman konsert berbeza kerana kita tidak boleh sunting dan rakam semula, ia benar-benar menguji kemampuan vokal kerana menyanyi tanpa henti selama dua jam.

"Stamina perlu kuat sebab itu setiap kali konsert saya pasti akan buat latihan vokal secukupnya," ujarnya.

Lebih bermakna, apabila album itu juga turut menampilkan komposer Adnan Abu Hassan ketika hayatnya yang mengiringi nyanyian Siti dalam satu segmen khas.

Sementara itu, bercerita tentang lagu Menatap Dalam Mimpi yang memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu dan Susunan Muzik Terbaik, katanya, ia sebuah lagu istimewa.

Kata Siti, lagu tersebut adalah tentang keinginannya bertemu arwah bapanya Tarudin Ismail dalam mimpi bagi melepaskan kerinduan.

"Lagu ini tentang arwah bapa, saya betul-betul teringin untuk jumpa dia biarpun hanya dalam mimpi kerana adik beradik saya semua dapat mimpikan dia sebelum ini.

"Setiap kali saya ingin menyampaikan lagu ini pasti saya akan sebak dan terpaksa fikir perkara lain untuk teruskan nyanyian," ujarnya.

Dalam pada itu, mempertahankan trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu selama 13 tahun, Siti berkata, ia bukan sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun, katanya, dia percaya setiap artis mempunyai kelebihan suara tersendiri dan kemenangan tersebut hanya sebagai rezeki buat dirinya.

Saya suka suara penyanyi-penyanyi lain yang tercalon kerana bagi saya suara ini adalah subjektif dan masing-masing ada kelebihan.

"Saya percaya suatu hari pasti akan ada yang menggantikan saya dalam kategori ini," ujarnya. - mStar Online

Waktu Solat

Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
3 HR PSI: 64
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,175.440 +4.080