Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Walau sibuk Fandi rancang cat flat ibu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Walau sibuk Fandi rancang cat flat ibu

Jun 16, 2017 | 05:30 AM



SETIAP 1 Syawal, hidangan Raya pertama yang 'diterkam' legenda bola sepak tanah air Fandi Ahmad ialah sambal goreng.



Bukan sebarang sambal goreng tetapi yang dibuat ibunya, Cik Semiah Ismail, yang sering memasak pelbagai juadah untuk dinikmati anak dan cucu yang datang berkunjung.



Sambal goreng itu tidak hanya dinikmati pada musim Hari Raya malah pernah mengikut Fandi apabila beliau ke luar negara bagi perlawanan bola sepak.



"Dulu semasa tahun '80-an atau '90-an, kalau saya di luar negara, pemain atau jurulatih lain akan kata 'Fandi, jangan lupa sambal goreng'. Kami makan sambal goreng dengan roti.



"Lepas mak saya masak, lauk itu dibekukan. Sebaik sampai di hotel, saya masukkan dalam peti sejuk. Apabila nak makan saya panaskan saja. Ia boleh tahan lama," kata Fandi, 55 tahun, ketika ditemui Gah! di kondominiumnya di daerah Seletar kelmarin.



Ditanya 'rahsia' di sebalik keenakan sambal gorengnya, Cik Semiah, yang berada bersama Fandi semasa wawancara itu, berkata: "Resipinya sama saja dengan yang lain. Cuma saya suka tambah bawang kecil goreng. Lepas dah masak baru masukkan bawang goreng itu. Itu saja, tak ada tambah serbuk perasa ke apa."



Nenek sembilan cucu berusia 75 tahun itu sering menerima tempahan memasak, terutama bagi rempeyek dan kek kukus.



Beliau tidak lagi menerima tempahan sejak tiga tahun lalu kerana kakinya sudah tidak kuat, namun sebelum itu Cik Semiah biasa membuat sehingga 90 kek kukus dan berpuluh tin rempeyek untuk pelanggan dalam bulan Ramadan.



Mengongsi rahsia kek kukusnya itu, Cik Semiah berkata beliau mengadunnya menggunakan sudu dan bukan mesin.



"Fandi dulu selalu tanya 'Mak tak penat ke?' Saya kata tak apalah saya tak kerja kan. Nanti lepas itu Fandi telefon pula bilang saya kawannya nak order lagi," cerita Cik Semiah sambil tertawa.



"Masa saya lagi buat kek kukus, saya menghadap dapur dari lepas sahur sampai sahur esok pagi. Dalam bilik saya atas katil semua kek kukus, pasal dah tak ada tempat nak letak.



"Kalau lauk untuk Hari Raya pertama memang selalu saya masak dengan kakak Fandi tapi tahun ini saya angkat bendera," tambah ibu tiga anak itu yang tinggal dengan anak sulungnya di Yishun.



Bukan satu dua jenis hidangan disediakan tetapi juadah Rayanya lengkap dengan lodeh, rendang, sambal goreng, serondeng, ayam masak merah dan sambal sate.



"Anak-anak Fandi semua makan makanan Melayu. Jangan bilang anak mat salih tak makan - ikan kering pun mereka makan," kata Cik Semiah.



Memang menjadi amalan Fandi dan isterinya Wendy Jacobs, atau nama Islamnya Nur Sarah Abdullah, serta lima anak mereka mengunjungi Cik Semiah selepas solat Raya.



Selepas makan dan bersalam-salaman, keluarga besar itu akan mengunjungi rumah saudara-mara yang kebanyakannya menetap di daerah Hougang.



Biasanya pada Hari Raya pertama, mereka berjalan hingga ke malam dan cuba mengunjungi sekurang-kurangnya 10 rumah. Seperti tahun-tahun sudah, Wendy menyediakan pakaian Raya keluarga itu dan tahun ini mereka akan menggayakan busana berwarna biru hijau.



Menariknya, pembantu peribadi Fandi, Encik Adrian Oh, turut mempunyai sepasang baju Melayu dalam warna yang sama.



"Adrian juga akan ada sepasang dan beliau juga akan beraya dengan kami. Kalau kami pergi 10 rumah pada hari pertama, beliau juga akan ikut sama," kata Fandi.



Jika tahun-tahun lalu, Fandi biasanya beraya sekeluarga, tahun ini beliau kurang pasti bagaimana keadaannya kerana dua anaknya sedang menjalani perkhidmatan negaran (NS).



Malah, sepanjang Ramadan ini pun mereka sekeluarga belum berpeluang bersahur bersama kerana ada sahaja anggota keluarga yang tidak dapat pulang dek tugas.



"Ramadan ini agak sibuk bagi saya dan keluarga kerana kami tak dapat bersama setiap masa. Seorang anak saya menjalani NS bersama pasukan polis, seorang lagi dalam tentera. Mereka jarang balik kerana bertugas atau di kem. Kami semua belum sempat sahur bersama pun," kata Fandi yang menyambut awal Ramadan di Cape Town, Afrika Selatan.



"Ini kali pertama kami tak dapat kumpulkan satu keluarga. Dulu mereka masih kecil dan selalu ada di rumah. Sekarang mereka menjalani NS dan mewakili pasukan negara. Hari Raya nanti saya harap semua ada," kata ketua jurulatih pasukan belia Singapura itu yang akan ke Bangkok esok bagi satu perlawanan dan pulang seminggu kemudian.



Walaupun sibuk dengan pelbagai tugas, Fandi tetap merancang mengecat flat ibunya sebelum Raya tiba dan cuba menyumbang balik kepada golongan memerlukan.



Semalam, beliau meluangkan masa beriftar bersama 10 penderma yang telah membelanjakan $30 bagi produk Milo supaya Milo Singapura dapat mendermakan satu bakul sarapan bagi pihak si penderma kepada keluarga yang memerlukan.



"Ini sesuatu yang dapat dijadikan contoh buat anak-anak. Apabila kita tua nanti bolehlah mereka ambil alih. Mereka boleh belajar daripada acara ini," kata Fandi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >