Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Izyan aset dunia TV S’pura kerana ‘serba boleh’

Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Di Malaysia, penghibur serba boleh, Elly Mazlein (Kak Lina Pom Pom), yang mampu menyanyi, berlakon dan melawak, menarik perhatian ramai lantas menjadikan program realiti seperti Gegar Vaganza dan Big Stage tular di media sosial.


Di Indonesia pula, bakat sekecoh Elly, iaitu Rina Nose, mula disebut-sebut kerana lunak menyanyi, bersahaja berlakon dan lucu apabila mengacara, ditambah keupayaannya meniru gaya tokoh seni di Nusantara.

Jika ditanya tentang bakat Singapura pula, tidak keterlaluan kalau dikatakan dunia televisyen setempat juga mempunyai penghibur yang boleh berlakon, menyanyi dan berlawak iaitu Izyan Mellyna Ishak, yang bermula sebagai bakat cilik.

Izyan menarik perhatian ramai pada majlis gilang-gemilang Pesta Perdana 2023 di Teater Mediacorp apabila beliau digandingkan dengan pelakon dan penyanyi Malaysia, Izzue Islam, untuk menyampaikan anugerah. Beliau begitu selamba bergurau memandangkan nama mereka bermula dengan huruf ‘Iz’, iaitu Izyan dan Izzue.


Izyan yang mencipta nama menerusi watak utama dalam filem tentang gusti wanita, Banting, juga berada di balik tabir menghasilkan konsep cerita telefilem Hari Raya, Konsert Raya Kampung Kledek, tahun lalu.


Tahun ini sahaja, beliau dicalonkan dalam kategori lakonan dan personaliti wanita popular, bermakna ramai menghargai berbilang bakatnya di samping kewujudannya dalam media sosial. Akaun Instagram Izyan, ibu tiga anak lelaki antara dua hingga lapan tahun, di samping akaun Instagram Mediacorp, turut memuatkan klip bersahaja bakat kecil molek ini.

“Saya sebenarnya terharu dengan segala rezeki yang diterima. Saya tak pernah jangkakan apa-apa dalam setiap kerja seni yang saya usahakan. Biasanya, saya berikan seikhlas hati saya dalam setiap tugas sampaikan kadangkala lupa saya pernah bawakan watak tertentu.

“Setiap detik saya syukuri berkat peluang yang diberi untuk saya kembali menyanyi ‘live’ sambil mengacara dalam program seperti Sheng Siong Live atau menjadi penerbit bersama dengan Papahan Films bagi telefilem Konsert Raya Kampung Kledek.


“Alhamdulillah, di sebalik kepenatan menjalani penggambaran, membuat keputusan penerbitan, mengurus perniagaan busana dan mengurus keluarga, saya bersyukur mereka yang terlibat dalam telefilem ini adalah yang mudah diajak berurusan dan berbincang. Kami seronok bekerjasama,” cerita Izyan.

Awal beliau kembali berlakon di televisyen setelah lama menyepi, tumpuannya adalah pada bidang lakonan tetapi pihak penerbitan menyedari Izyan mampu buat lebih daripada setakat berlakon.

“Sebenarnya, saya sudah lama tak nyanyi ‘live’. Saya gementar dan takut juga sebab saya tidak terlatih menyanyi secara profesional. Boleh menyanyi tetapi tidak ke tahap ada ilmu menyanyi. Apabila dipasangkan dengan mereka yang memang penyanyi iaitu Hetty Sarlene dan Liwani Izzati, bagi lagu Feminin, saya macam segan dan gementar.

“Nasiblah mereka berdua berpengalaman dan boleh kuasai keadaan. Jadi stres saya pun berkurangan,” ujar Izyan.

Beliau sudah pun menjalani penggambaran susulan telefilem Lap Lip yang dikembangkan sebagai sebuah drama. Penggambaran drama 13 episod, Cerita Dia Macam Ni, dibuat di Melaka dengan kisah Rokiah (lakonan Izyan) yang gemarkan irama rok mampu mengembangkan minatnya.


“Sebenarnya, kerana anak-anak saya pada peringkat genting dalam usia mereka, saya berat juga nak tinggalkan mereka apabila penggambaran drama dijalankan di Melaka. Yang kecil perlukan perhatian. Yang kedua nak masuk sekolah rendah dan yang sulung dah darjah dua.

“Saya agak memilih projek kini kerana mengurus bisnes dan menjaga anak. Suami pula masih bertugas di Arab Saudi dan pulang sebulan sekali. Bagaimanapun, saya anggap drama ini menarik untuk dilepaskan. Saya bersama beberapa bakat yang memulakan kerjaya mereka sejak kecil seperti Norman Ishak dan Syafie Naswip.

“Abang Faisal Ishak pula adalah pengarah drama ini. Beliau melihat saya dari kecil sampailah saya bergelar ibu tiga anak. Beliau pasti teringatkan budak kecil yang pemalu. Bagi saya, Abang Faisal adalah contoh pengarah yang begitu mudah bekerja dengan sesiapa sahaja dan terbuka dari segi peluasan watak dan sumbangan idea pelakon.

“Orangnya tegas dan tahu apa yang dia mahukan. Tapi dia selalu beri kami ruang untuk jadi lebih kreatif. Saya amat menghormatinya. Sepanjang saya dewasa, saya juga hargai sumbangan dan inspirasi daripada Kak Era Farida dan Abang Suhaimi Yusof. Cara mereka papar bakat mereka memang unik dan luar biasa,” ujar Izyan lagi.

Menurut Izyan, dunia hiburan kini menggabungkan televisyen dengan media digital di mana seseorang bakat harus tahu bagaimana menarik pengikut untuk mengamati kededua medium ini.

“Ia dunia baru yang sangat menarik. Saya syukuri orang masih ingat saya lagi walaupun saya lama tak muncul dalam sesebuah penerbitan. Terharu kerana masih ada yang sudi beri ruang dan hargai kemahiran seni saya,” jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >