Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Jalan kenangan jaz hidup di Wisma Geylang Serai

Penyanyi serantau saji irama muzik dengan jalan cerita cinta, perjuangan hidup
Jul 17, 2023 | 06:00 PM



Suasana di ruang awam Wisma Geylang Serai (WGS) yang dinamakan ‘Persada’ tiba-tiba bertukar menjadi bak kelab jaz yang menanti kunjungan berbondong-bondong hadirin pada Sabtu malam.

Jika kebiasaannya anda melihat kerusi disusun berderet persis dalam suasana konsert, segalanya bertukar wajah dan susunan apabila bangku bar tinggi dan kerusi kusyen kelihatan di sana sini ibarat anda berada di restoran yang menyajikan santapan halwa telinga sekali gus.

Dengan cawan minuman segera ‘Sprite’ yang berkelipan dalam gelap, atau ‘glow in the dark’, yang disajikan kepada puluhan penonton yang turut diberi kudapan seperti kacang goreng, keadaannya cukup santai.


Irama instrumental jaz yang berkumandang pada pembesar suara sebelum acara Jazz@Persada memecah kesunyian malam juga menenangkan. Malam itu juga bak pertemuan sahabat seni dari era 1970-an dan 1980-an.


Ramai yang hadir termasuk Datuk Khadijah Ibrahim, Sanisah Huri, Kamaliah Latiff, Rahimah Rahim, Mahani Mohamad, Eddy Ali, Som Said dan Rahman Rahim yang memberi sokongan buat penghibur lagu-lagu yang diberi sentuhan jaz pada malam itu iaitu Rozie Rahim, Sean Ghazi dari Malaysia dan Ermy Kullit dari Indonesia.

Penggiat seni tanah air yang sinonim dengan perjuangan jaz dalam kalangan masyarakat Melayu, Rudy Djoe, juga hadir.

Pendek kata, acara percuma selama dua jam yang dipersembahkan WGS dengan kerjasama Dstar Management dan sokongan Jalur Budaya Geylang Serai berjalan dengan lancar dan meriah.

Pemuzik yang diketengahkan pada malam itu terdiri daripada anggota band Back2Back dan beberapa karyawan muzik profesional yang tidak asing lagi di Singapura. Din Safari bergabung tenaga dan menjana sinergi muzik bersama Riduan Zalani, Nahli Zakaria, Julian Wong dan Abdul Shukor Jalil.

Turut hadir ialah tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar, yang menyifatkan Jazz@Persada sebagai acara yang dapat memasyarakatkan jaz yang kadangkala disalah anggap sebagai muzik tukikan ‘orang atas’ buat orang awam.

Ermy Kullit, 65 tahun, yang menyambut ulang tahun Jubli Emasnya berkecimpung dalam dunia seni di rantau ini membuka tirai persembahan dengan karismanya sebagai penghibur berpengalaman. Beliau membuka selingkar kisah tentang penglibatannya dalam seni di Singapura pada pertengahan hingga lewat 1970-an di kelab malam Tropicana.

Pasrah dan Kasih yang menaikkan namanya dalam industri seni membuatkan ramai yang mengimbau semula nostalgia manis yang payah terluput dari jiwa. Kasih, ciptaan Richard Kyoto, yang dirakam pada 1986, merupakan mahakarya yang membantu Ermy dinobatkan sebagai Penyanyi Jaz Terbaik pilihan pembaca tabloid Monitor. Album yang memuatkan lagu ini juga dicalonkan sebagai album terbaik oleh Anugerah BASF (kini Anugerah Muzik Indonesia).


Beliau turut turun dari pentas untuk beramah mesra dengan hadirin walaupun pada awalnya khuatir terjatuh di malam hari. Ditemuinya sahabat lama Rahimah Rahim yang ada dalam kalangan penonton dan diminta biduanita itu untuk sama-sama menyanyi.

Persembahan ‘crooner’ (penyanyi lelaki yang boleh menyanyi merdu pada nada rendah), Sean Ghazi, yang pernah membina kerjaya seni awalnya di Singapura dalam dunia teater bahkan adalah pemenang peraduan pencarian bakat, Fame Awards, pula langsung bawa penonton ‘terbang’ ke era gemilang P. Ramlee dengan lagu klasik nostalgia seperti Getaran Jiwa dan Hujan Di Tengah Hari.


Sebelum acara melabuhkan tirainya, adik Rahimah, Rozie Rahim, yang akur banyak dipengaruhi irama muzik yang diperjuang arwah ayahnya, Rahim Hamid, yang terkenal dengan jolokan ‘Nat King Cole Singapura’, pula menguasai pentas dengan tenaga dan ‘vibe’ positif yang meminta ramai terus menunggu, menikmati irama santai dan berhibur sebab malam masih siang lagi.

Sesiapa yang tidak pernah menyaksikan Rozie membuat persembahan akan kagum dengan persembahannya yang menghiburkan sehingga kelihatan sekumpulan anak muda yang menonton dari tingkat dua WGS membuat bulatan dan menari beramai-ramai, dibangkitkan oleh muzik yang rancak.

Pilihan lagu-lagunya menghiburkan dan begitu menyentuh jiwa lama khususnya buat mereka yang gemarkan lagu dendangan asal Nat King Cole (di mana Rozie menyanyikan medley lagu mendiang yang ‘melekat’ di fikiran ramai) dan Vina Panduwinata.

Jazz@Persada dengan ‘orang kuat’ Dstar Management, Hafeez Glamor, serta pasukan yang diselaras Hajah Mohaideen Kamal Batcha dari WGS, merupakan sajian penawar buat orang ramai tanpa mengabaikan faktor mendidik masyarakat mengenai asal-usul jaz dan penggerak muzik ini di Barat mahupun dalam dunia Melayu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >