Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Taufik akan buat satu kerja seni besar... bukan Gegar Vaganza

Tapi tumpuan Singapore Idol 2004 buat masa ini ialah kerjayanya sebagai ejen hartanah dan pemilik restoran ayam goreng
Mar 20, 2022 | 05:30 AM



APAKAH juara Singapore Idol Taufik Batisah pula akan dilamar sebagai peserta peraduan realiti Astro Gegar Vaganza (GV) pada musim mendatang, selepas Aliff Aziz bergelar juara GV8 baru-baru ini?



Dapatkah beliau meneruskan prestasi cemerlang bakat Singapura di pentas GV, seperti sahabatnya Hady Mirza, juga juara GV6 tiga tahun lalu?



Soalan ini bermain di fikiran ramai pengamat dunia hiburan dan peminat Taufik yang rindukan beliau kembali aktif di arena nyanyian.



Namun dalam satu wawancara Berita Minggu, Taufik, 40 tahun, tertawa panjang seraya berkata:



"Saya seronok dan bangga dengan pencapaian Aliff dan Hady. Saya terharu peminat masih ingin dengar saya menyanyi.



"Tapi masuk GV? Saya rasa tidaklah sebab saya tidak miliki bandwidth, atau cakap mudahnya tidak lagi bertenaga atau mempunyai kapasiti mental untuk memasuki peraduan nyanyian yang memerlukan banyak komitmen masa dan perancangan. Apa lagi nak duduk lama di sana...Saya pun tak mampu tinggalkan tugas dan komitmen saya sebagai ejen hartanah di Singapura.



"Cuma tahun ini saya mula berjinak-jinak dalam peraduan kecergasan dan senaman pula, yang menguji stamina saya dan memperkasa gaya hidup sihat."



Taufik, yang mengadili peraduan realiti Berani Nyanyi? di Suria, juga menjelaskan beliau tiada rancangan mengeluarkan lagu baru dalam masa terdekat sebab payah mencari masa mencipta dan mempromosikan lagu.



"Dari segi kerjaya seni, ada sesuatu yang besar bakal saya jayakan melibatkan ramai orang. Biar rahsia buat masa ini.



"Sungguhpun begitu, projek lagu sendiri atau rancangan bikin muzik baru memang belum ada lagi. Sebabnya, nak buat lagu bukan kerja mudah sebab kita perlukan masa mempromosikannya.



"Saya tak nak senang-senang keluarkan lagu... dah tu mati begitu sahaja sebab tak dapat beri komitmen masa untuk memasarkannya.



"Perancangan terperinci tetap perlu dalam menghasilkan karya baru. Sekarang, terlalu banyak muzik baru memenuhi pasaran. Pendengar dihujani banyak pilihan.



"Sebagai penyanyi, kita pun harus pastikan karya kita punyai keistimewaan. Kalau tiada masa macam saya kini, lebih baik jangan," ujar Taufik.



Tumpuan Taufik buat masa ini ialah kerjayanya sebagai ejen hartanah dalam pasukan SMZDBB dan pemilik restoran Chix Hot Chicken di Jalan Pisang.



SMZDBB menggunakan cogan kata #rumahkatmane persis lagu Taufik, #awakkatmane.



Restoran ayam goreng pedas ala Nashville pula diurus bersama rakannya, Bober Ismail dan Zad.



"Selama 18 tahun, saya tiada pekerjaan sepenuh masa selain menyanyi. Jalan hidup yang tertulis buat saya ialah sebagai anak seni.



"Saya terbiasa bekerja sendiri tetapi tak pernah selesa hanya dengan kemahiran seni yang saya perolehi selepas bergelar juara Singapore Idol pada 2004.



"Setiap bulan, saya selalu fikirkan tentang cara nak dapat pendapatan untuk menyara hidup keluarga.



"Kerana itu saya ingin perbaiki diri saya dengan timba ilmu jual beli hartanah. Pulangan pelaburan kembali sifar setiap bulan. Kalau ada kekurangan bulan lalu, saya selalu fikir untuk perbaiki pulangan bagi bulan selanjutnya. Kita berusaha buat perubahan," ceritanya.



Walaupun ramai berasa mudah untuk Taufik mendapatkan pelanggan jual beli rumah kerana beliau dikenali ramai, Taufik berkata ia tidak semudah itu pada awalnya.



"Saya pernah membuat penyampaian di hadapan sepasang suami isteri, ditemani abang saya Mus yang juga ejen hartanah. Si isteri memerhatikan saya dan kemudian tergelak kecil.



"Apabila ditanya mengapa, beliau berkata, sangkanya saya akan menyanyi. Macam payah nak terima secara serius penyampaian saya hanya kerana saya lebih dikenali sebagai penghibur," kongsi Taufik yang pernah memenangi Anugerah Juara Ejen Hartanah Baru, Anugerah Pencapaian Super Platinum dan Juara Urus Niaga HDB (Jun).



Lama-kelamaan Taufik selesa dengan tugas barunya bahkan bersyukur dapat menjadi penasihat dan penghurai masalah buat mereka yang bingung soal hartanah.



Ada tersepit dalam dilema ingin membeli rumah baru atau ubah elok sahaja rumah yang sedia ada. Ada pula yang ingin membeli kondominium idaman tetapi bimbang tidak dapat lunaskan pinjaman bank.



Pandemik, ujar Taufik, turut menjejas perniagaan restorannya pada tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19.



"Kami memang tidak sediakan khidmat kiriman ayam goreng sebab bimbang apabila sampai ke rumah pelanggan, ayam dah tak sedap dimakan kerana sejuk.



"Tapi kami terpaksa usahakan khidmat kiriman juga kerana tiada pilihan lain demi teruskan operasi niaga. Cawangan kedua di Tanjong Pagar pun terpaksa ditutup kerana pandemik. Kini kami mencari lokasi cawangan baru di kawasan timur atau barat. Mujurlah kami ada dana krisis yang diperuntukkan untuk masa sukar. Misi kami buka beberapa cawangan sebelum jual pada pelabur atau difrancais kelak," tambahnya.



Dalam pada itu, Taufik yang masih berpapan lungsur mempunyai hobi baru, iaitu stand up paddling atau mendayung sambil berdiri.



"Saya dan teman-teman akan mendayung dari pantai Pasir Ris hingga ke Pulau Ubin atau dari pantai Sembawang hingga ke kawasan bakau. Terasa macam mengembara luar Singapura. Tenang sebab dapat luputkan stres," katanya.




GURAU #awakkatmane MELETUP 



#awakkatmane mula tular di Instagram sekitar 2013. Ia bermula sebagai satu gurauan saja... tak terfikir pun nak buat lagu. Saya, Hisyam Hamid dan Junaidi Sali berlakon dalam telefilem Demi Adriana. Kami bergurau apakah saya perlu berbual dengan nada suara romantis ala Datuk Rosyam Nor. Kemudian, saya pergi Geylang dan di kala menanti temanita (sekarang isteri) saya, Sheena dan ibu, saya pun telefon dan berkata, 'Assalamualaikum, saya sekarang berada di Geylang. #awakkatmane?'. Dialog ini saya muat naik di Instagram hingga ia tular dan menjadi ikutan Hisyam juga. Apabila musim Raya, kegilaannya lebih terasa sebab akan ada orang yang buat video dengan dialog 'Assalammualaikum, saya sedang beraya dengan famili'. #awakkatmane?'. Album Fique pula sudah saya siapkan dengan 12 lagu tapi saya tetap nak masukkan lagu #awakkatmane. Lagu yang suka-suka dibuat tu... saya minta Sheena nyanyikan korusnya. Kita ubah suai dan tinggikan nada suara Sheena agar kedengaran lebih membingitkan... letak nama lagu #awakkatmane. Walaupun penari saya nak buat tarian gila-gila untuk lagu ini, saya pesan buat yang mudah-mudah saja untuk orang ramai ikuti. Saya mendapat inspirasi daripada tarian Gangnam Style di Korea (Selatan). #awakkatmane bagi saya merupakan lagu rakyat sebab rakyat yang menjadikannya popular. Lagu catchy. Warganet di media sosial saja cukup untuk 'kasi viral' #awakkatmane sebelum era munculnya video ringkas TikTok.
- Taufik Batisah, mengenai #awakkatmane, yang menjadi antara pengasas lagu tular ikutan ramai di Nusantara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >