Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Muzium Jepun peka dengan keperluan pengunjung cacat penglihatan

Oct 01, 2023 | 05:32 AM



Dalam usaha mengikuti trend global, muzium di Jepun telah mula menawarkan lawatan yang membolehkan pengunjung cacat penglihatan menyentuh model skala dan replika pameran asal.

Muzium Sains dan Inovasi Yang Baru Muncul (Miraikan) di kawasan Koto sekitar Tokyo, Jepun, mula menganjurkan lawatan ​sebegini sejak Mac lalu untuk tetamu cacat penglihatan.

Pada 9 Julai lalu, tiga keluarga dengan anggota keluarga cacat penglihatan menyertai sesi jelajah Miraikan. Tangan mereka dibimbing untuk menyentuh model skala Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sambil mendengar penjelasan mengenai pameran itu.

“Saya sentiasa ingin mengetahui banyak perkara mengenainya (ISS) seperti bentuknya, kerana saya tidak pernah melihatnya sebelum ini,” kata Saori Sasaki, seorang pelajar darjah lima berusia 11 tahun dari kota Nerima di Tokyo yang cacat penglihatan sejak lahir.

Seorang “penyampai ilmu sains” atau kakitangan khas lain pula akan ditugaskan membawa peserta wisata ini mengelilingi muzium selama kira-kira dua jam, lapor laman The Ashahi Shimbun.


Menurut penyampai ilmu sains, Encik Kodai Sano, muzium ini pada mulanya menggunakan maklumat visual sahaja untuk pamerannya yang berkaitan dengan ruang, sains, teknologi moden dan tema lain.

Tetapi ia menyedari konsep banyak paparan sebegini adalah sukar untuk disampaikan melalui pendekatan ini sahaja. Justeru itu, kakitangan muzium mencipta cara untuk membantu pelawat memperolehi pemahaman yang lebih baik tentang pameran yang diadakan melalui pendekatan sentuhan tangan. Mereka kemudian “mula menyertakan pendapat orang kurang upaya,” kata Encik Sano.

Usaha mereka bertambah pantas selepas Cik Chieko Asakawa, yang cacat penglihatan, mengambil alih jawatan pengarah pada 2021.

Miraikan dapat menyaksikan peningkatan pengunjung yang menggunakan tongkat putih atau anjing pemandu yang jarang dilihat di muzium sebelum ini, tambah Encik Sano.

Muzium Wilayah Wakayama mempunyai replika patung Buddha dan katalog yang dicetak dengan huruf Braille supaya tetamu cacat penglihatan boleh menyentuh bahan bersejarah.

Muzium Wakayama mencetuskan idea itu 14 tahun lalu selepas mendengar seorang guru di sebuah sekolah tempatan untuk pelajar cacat penglihatan mengatakan tiada bahan buat pelajarnya mempelajari sejarah kampung halaman mereka.

Encik Tomoyuki Okochi, 49 tahun, seorang profesor bersekutu di Jabatan Pengajian Warisan Budaya Universiti Nara, bekerja di muzium Wakayama pada masa itu.

Beliau berkata muzium itu menghasilkan replika patung Buddha dengan bantuan Sekolah Menengah Teknikal Wakayama kendalian wilayah Wakayama, yang mempunyai pencetak tiga dimensi (3D) serta institusi lain.

Menurut Persatuan Muzium Jepun, pameran di muzium yang memenuhi keperluan golongan cacat penglihatan telah meningkat dalam tempoh dua hingga tiga dekad lalu.

Bagaimanapun, sesetengah pakar mengatakan muzium di luar negara telah mengambil langkah selanjutnya untuk membantu pelawat kurang upaya.

Encik Toshiaki Aomatsu, 53 tahun, ketua guru di Sekolah Pendidikan Keperluan Khas untuk Orang Cacat Penglihatan, Universiti Tsukuba di Tokyo, telah mengiringi pelajarnya untuk program latihan dan urusan lain di sekitar 40 negara, termasuk negara Eropah dan Amerika Syarikat. Beliau berkata pameran mesra golongan cacat penglihatan dan pusat hubungan ditawarkan sebagai satu kebiasaan di banyak tempat di luar negara.

Di Amerika Syarikat, Muzium Smithsonian menganjurkan lawatan sentuhan untuk pelawat cacat penglihatan, manakala banyak muzium di Perancis dan Jerman mempamerkan pameran yang boleh disentuh golongan ini.

Jurupandu pameran di muzium lain memberikan penerangan lisan terperinci mengenai bahan pameran.

Terdapat sedikit muzium di Jepun yang membantu tetamu cacat penglihatan melalui sentuhan dan panduan audio.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >