Dunia artis penuh glamor dan kegemilangan serta tidak sepi daripada jerih payah sudah pun ditinggalkan bintang era 1970-an dan 1980-an, Noor Kumalasari Mohamed Taib, sekitar 30 tahun lalu.
Dengan matlamat ingin menjalani kehidupan seperti orang biasa dengan hasrat menumpukan lebih perhatian kepada amal ibadah, Noor, 68 tahun, seronok dengan rutin harian menjaga sembilan kucing peliharaannya.
Seekor kucing jiran yang dilanda penyakit mata dan kulit turut dijaganya hingga sembuh.
Sampaikan beliau sempat berseloroh: “Sebenarnya, saya yang tumpang rumah kucing bukan mereka memburu kasih di rumah saya!
“Saya suka bela kucing sebab mereka ni tak menjawab. Kita berleter atau membebel, mereka tengok sahaja kita berbanding manusia yang suka menjawab dan ada sahaja alasan untuk diperkatakan. Kucing ni manja dan sukakan perhatian kita. Mereka tahu bila kita marah. Kadang merajuk tetapi senang dipujuk.”
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di pusat riadah The Chevrons pada 21 April lalu, kebahagiaan dan ketenangan terpancar jelas pada wajah Noor yang dikenali sebagai pelakon air mata kerana banyak menjayakan watak sedih dengan berkesan dalam filem seperti Menanti Hari Esok, Esok Untuk Siapa dan Tiada Esok Bagimu.
Pelantun lagu ‘hit’ Mata dan Selamat Pagi Sayang itu kembali ke negara kelahirannya, Singapura, untuk berkongsi kisah inspirasi penghijrahannya di samping mengimbau nostalgia penglibatannya sebagai anak seni pada acara perjumpaan Raya, Lemak Manis Raya.
Acara yang disertakan dengan nyanyian penyanyi irama tradisional, Haziq Rosebi, serta ceramah agama Ustazah Dr Rohana Ithnin, tentang membangun keutuhan keluarga pada Hari Raya, dianjurkan syarikat pelancongan Travelwave Pte Ltd.
Menurut Noor, beliau tidak menyesali perjalanan hidupnya yang sudah tertulis sebagai anak seni bahkan menghargai kerjaya itu yang mencoraknya menjadi insan yang lebih gigih mencari rezeki, bernyala rasa, komited dan disiplin dalam budaya kerja serta pandai menghargai dan mengatur masa sendiri di samping menghormati masa orang lain yang bekerjasama dengannya.
“Apabila saya mengambil keputusan untuk berundur perlahan-lahan daripada kerjaya seni pun, ia merupakan satu gesaan hati yang Allah sudah tetapkan dan atur untuk saya.
“Saya tidak pernah merancang bila nak berehat atau berhenti atau bila dah tak nak berlakon atau menyanyi. Allah atur cantik. Sampai masanya, ia datang dengan mudah dan lancar, berkat sokongan suami dan keluarga. ” katanya
Noor berlakon dalam drama Di Tebing Khatulistiwa dan telefilem Ratu pada 1993.
Beliau menyepi buat beberapa tahun tetapi kembali berlakon dalam drama Rumi & Jawi pada 2016 dan telefilem Pintu No. 9 Masjid Nabawi pada 2017, mengikut kesesuaian jalan cerita dan watak yang dibawa memiliki nilai agama.
Noor yang merupakan anak seniman S. Roomai Noor (nama sebenar Muhammad Taib Salleh) dan seniwati Umi Kalthum (nama sebenar Patimah Bahaudin) akur ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Seawal usia empat tahun, beliau sudah mula membawa peranan pembantu dalam filem Tunang Pak Dukun arahan bapanya.
“Saya sudah mula diberi peranan menyanyi dalam drama. Saya dan Kak Nita (kakak seayah dengannya, Anita Sarawak) memang ‘ngam’ sebab kami berdua suka melaram!
“Apabila ibu saya bekerja di set penggambaran Cathay-Keris, saya akan pakai kasut manik-manik yang ibu saya jahit sendiri. Kemudian ambil beg tangan dan jalan macam model dengan Kak Nita.
“Dari situ, kami berdua tahu memang darah seni mengalir dalam diri kami,” ceritanya.
Bagi Noor, artis sezamannya memiliki keaslian dan identiti sendiri yang dicorak bukan daripada pengaruh artis Barat tetapi kreativiti sendiri.
Bekas pelajar Sekolah Rendah Opera Estate yang bermastautin di Malaysia bersama ibu bapanya sewaktu memasuki sekolah menengah mula berjinak-jinak dengan dunia glamor sebagai peragawati pada usia 16 atau 17 tahun.
“Saya buat senyap-senyap termasuk berlakon untuk iklan. Ibu saya tidak tahu. Beliau hanya tahu apabila pengetua saya menghubunginya dan ayah saya untuk memberitahu saya ponteng sekolah.
“Saya beritahu ibu saya yang memang bengis sehingga saya memanggilnya ‘lady tiger’ bahawa saya sibuk cari kerja.
“Beliau langsung berpesan apa jua yang saya nak buat, habiskan sekolah dahulu sebab pendidikan itu mustahak. Tapi bukan pada masa itu untuk bekerja sebab sekolah belum habis lagi.
“Saya pula bersekolah ala kadar sahaja. Dapat Gred Dua pun jadilah sebab saya fikir kalau nak sambung belajar lagi, nanti-nanti pun boleh. Baik saya kejar cita-cita jadi model, pelakon dan penyanyi. Sebab saya tahu, saya sukakan seni,” kata Noor.
Berbanding ibunya yang selalu mengingatkannya tentang harga diri dan kepentingan menjaga nama baik ibu bapa, bapanya S. Roomai Noor tidak banyak berbual.
Noor rasa bertuah dapat menjayakan filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Putus Sudah Kasih Sayang, dengan sebaris dua dialog.
Kemudian, beliau dilamar pula untuk siri projek filem bersandarkan tema ‘esok’ yang diusahakan Datuk Jins Shamsuddin, daripada Menanti Hari Esok ke Tiada Esok Bagimu dan Esok Untuk Siapa.
Beliau menganggap Jins sebagai sutradara yang tidak banyak berbicara dan posesif apabila enggan mengizinkan pelakonnya bergaul dengan kru filem.
“Sungguhpun begitu, beliau baik hati dan pandai cari taktik bikin saya mudah menangis. Direnungnya sahaja mata saya...saya pula nampak ada sesuatu pada kekaca matanya. Saya langsung menangis tanpa perlu ingat peristiwa sedih,” kongsi Noor.
Noor juga berpeluang menimba ilmu lakonan daripada ibu bapanya yang kadangkala terlibat dalam penggambaran filem yang sama.
“Kalau perlukan rujukan lakonan, saya dapatkan nasihat ibu saya bagaimana menjiwai watak. Tak boleh cakap sahaja. Hadam dialog dan rasakan dalam hati. Itu selalu menjadi pesanan ibu,” kata Noor.
Di sebalik kekerapannya membawa watak sedih, Noor juga bertuah dapat berlakon dalam filem komedi seperti Tuan Badol dan Adik Manja.
Beliau hanya tidak boleh lupa ‘perang dingin’ yang melanda antaranya dengan hero Adik Manja, Dharma Harun Al-Rashid. Semuanya gara-gara Dharma membuli pelakon wanita muda dengan memaksa mereka menciumnya sebelum meninggalkan set penggambaran.
“Mula-mula kami okey sahaja tetapi dalam pertengahan filem, Dharma pula buat saya menyinga. Seorang pelakon mengadu dengan saya mereka diminta cium Dharma.
“Saya pun apa lagi? Saya marah Dharma. You ingat you ‘handsome’ sangat ke? You siapa?
“Tapi dalam saya sedang marah pun, saya tetap profesional dan teruskan babak berat watak saya Cikgu Sharina perlu bermesra dengan wataknya, Cikgu Azmi, sebab mereka kekasih. Orang nampak kami macam pasangan serasi. Mereka tak tahu hal, kami ‘berperang’ pada masa tu!” jelas Noor.
Namun, mereka berdamai semula dan bermaafan selepas tamat penggambaran.
Adik Manja, sebuah filem komedi diarah Othman Hafsham. Begitu juga dengan filem seram saspens, Rahsia.
“Hafsham memang pelawak yang suka gelak. Tapi dalam filem Rahsia, suasananya memang penuh ketegangan. Hafsham tak boleh tengok babak memangis. Dia pun emosi.
“Dia akan tanya saya dah bersedia? Saya pusing dia dah tak ada dalam set. Camera! Roll! Action! Eh, Hafsham dah hilang? Memang dia takkan tengok saya menangis,” cerita Noor lagi.
Filem Rahsia dibuat balik dalam versi baru arahan anak Hafsham, Shamyl Othman. Noor diundang ke pratonton filem itu dan sukakan pembaharuan yang dibuat.
“Dalam filem yang saya lakonkan, ia datang daripada imaginasi. Anda tak nampak pun hantunya tetapi dalam versi 2023 yang dijayakan pelakon yang hebat, Nabila Huda, hantunya kita nampak,” jelas Noor.
Noor anggap bidang peragaan, nyanyian dan lakonan saling berkait dan dipanggil ‘tripod’ kerjaya seninya
“Berlakon membantu saya dalam menyanyi dari segi raut wajah. Saya paparkan kemahiran lakonan saya dalam nyanyian agar saya dapat sampaikan ‘feel’ lagu itu dengan mimik muka saya.
“Bidang peragaan pula membantu saya dari segi penampilan busana, fesyen apa yang nak dipilih dalam lakonan atau persembahan,” jelasnya.
Dalam kerjaya seninya, Noor sudah lihat artis yang selalu cuai dan tidak pentingkan ketepatan masa. Masa untuk melaporkan diri ialah 5 pagi tetapi si pelakon datang 7 pagi. Yang tidak datang langsung pun ada.
“Mereka dah buang masa orang lain dan bagi penerbit ini membuang duit kalau sampai perlu batalkan sesebuah penggambaran.
“Apa yang saya lihat ada pelakon ambil dua tiga drama serentak. Saya pula fokus pada satu penerbitan. Selagi projek belum habis, saya tak berani ambil projek lain yang serentak penggambarannya.
“Kalau nakkan saya, penerbit perlu tunggu sampai filem atau drama sebelumnya selesai penggambaran. Saya tak suka gangguan pada kerja,” katanya.
Berbanding sesetengah artis sebaya, Noor tidak membuka akaun Facebook atau Instagram.
“Saya lebih suka media tradisional. Sekarang ini, media sosial banyak disalahgunakan untuk merosakkan hidup orang lain dan diri sendiri.
“Dulu gosip tentang artis kita baca pada hujung minggu di akhbar. Sekarang ni setiap hari, macam-macam yang disebarkan. Artis bergaduhlah, artis tak boleh kawal amarah dan cakap bukan-bukanlah. Terlalu banyak berita sensasi yang tidak perlu.
“Saya boleh hidup tenang tanpa media sosial. Saya tak perlukan publisiti. Kita duduk diam-diam lebih aman,” ujar Noor yang akui artis sezamannya rapat dengan wartawan dan jurufoto akhbar dan majalah dari dahulu sampai sekarang.
Satu perkara yang Noor pegang hingga hari ini ialah keteguhan prinsip.
“Sekali saya dah kata, saya dah tak nak nyanyi lagi, saya pesan kepada diri saya, jangan bolak-balik. Orang boleh tawarkan seberapa banyak bayaran mencecah RM100,000...saya takkan terima sebab ini kena-mengena dengan prinsip saya.
“Baru-baru ini, ada penganjur nak beri saya wang lumayan agar saya nyanyi satu lagu. Saya dah tetapkan untuk tidak menyanyi lagi walau apa pun situasi. Saya jaga hubungan saya dengan Allah. Saya dah janji dan akan tepati. Tak nak buat perkara yang menggoncang iman saya,” jelasnya.
Satu perkara yang Noor titikberatkan dalam meniti usia senjanya ialah bersedekah dan memastikan dirinya tidak terjerat dengan sebarang hutang.
Beliau berkongsi nikmat memiliki rezeki barakah sambil berpesan kepada peminat:
“Setiap waktu subuh, ketepikan wang walau seringgit dua pun jadilah untuk disedekahkan. Kita beristiqamah. Biar sedikit tetapi hari-hari kita buat. Tidak perlu tunggu derma sekelepuk banyak tetapi jarang-jarang menderma. Saya sediakan tabung di rumah untuk tujuan sedekah setiap subuh.
“Sepanjang lebih 30 tahun, saya hidup tanpa berhutang. Saya pastikan hutang rumah dan kereta semua dah habis bayar. Nak beli apa-apa, gunakan wang tunai. Kalau tiada duit tetapi idamkan sesuatu barangan, simpan duit sampailah cukup untuk capaikan hajat kita.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg