Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Nina lelah dengan sakit penjejas prestasi tapi belum sedia kongsi

Nov 12, 2023 | 05:30 AM



Sebelum bermulanya peraduan realiti juara menentang juara, All Stars Gegar Vaganza (ASGV), ramai yang meramalkan juara GV (Musim Ketiga), Azharina Azhar, akan memberikan saingan sengit kepada peserta lain.


Bagaimanapun, persembahannya tidak konsisten.

Kadangkala di atas dengan penjiwaan yang mampu membuatkan anda yang menonton menitiskan air mata.

Namun, kadangkala pula persembahannya terasa goyah sehingga juri menegur ada yang tidak kena sampaikan penyampaian cerita dalam lagu itu menjadi kabur.

Apakah Azharina, 38 tahun, yang dikenali sebagai juara Bintang RTM 2001 pada usia 16 tahun, resah gelisah apabila prestasi persembahannya dikatakan Ketua Juri, Datuk Ramli MS, menurun sebanyak 10 peratus?


Kata Ramli: “Dahulu susah nak dengar Azharina menyanyi sumbang. Sekarang mungkin kerana aspek teknikal ataupun suasana dikelilingi pesaingnya, maka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) beliau turun 10 peratus? Adalah salah sana sini.”

Ketika menjelaskan duduk perkara sebenar tentang mutu vokalnya yang tidak menentu, tidak semantap ketika bertanding dalam GV3 pada 2016, Azharina, ibu tunggal yang menjaga dua anak angkat berusia enam dan sembilan tahun, berkata:

“Nina (panggilan buat dirinya sendiri) faham apa yang Tok Ram katakan. Semasa menang GV3 dahulu, usia saya sekitar 29 atau 30 tahun. Sekarang dah nak masuk 40 tahun. Faktor usia mungkin salah satu sebab mengapa vokal saya berbeza.

“Walau bagaimanapun, ia bukan alasan untuk saya gunakan bagi menjelaskan mutu persembahan saya yang dikatakan berkurangan.

“Sebenarnya, ada perkara yang kita mampu kongsi dengan orang ramai dan ada perkara yang kita tidak boleh cakapkan.

“Cukup sekadar saya menyatakan sejak tahun lalu, saya dilanda penyakit yang saya belum selesa nak kongsi buat masa sekarang.

“Masalah kesihatan ini yang membuatkan saya rasa perlu membangun semula vokal saya dengan belajar seni mempertahankan diri, Muay Thai atau tinju.

“Kedengaran suara yang goyang itu adalah lumrah dalam mana-mana penghibur.

“Akan ada satu peringkat usia atau ketika kita mengalaminya.

“Saya cuba perbaiki keadaan ini dan berjumpa dengan guru vokal, Cikgu Shafi (Shafizawati Sharif) untuk dapatkan bimbingan dan nasihat.

“Saya bahkan jumpa dengan Datuk Syafinaz Selamat selaku juri tetap ASGV untuk kupas apa yang beliau maksudkan dalam ulasannya tentang nyanyian saya. Saya ingin memperbaiki diri saya, persembahan saya.

“Saya mempunyai fahaman tersendiri mengenai persembahan saya atau takrifan lagu yang ingin disampaikan.

“Tetapi saya perlu tanya kepada golongan pakar secara jujur apa kekurangan persembahan saya? Bagaimana ia boleh diperbaiki?”

Penyanyi yang terkenal dengan lagu, Elegi Sepi, itu berada di tangga ketujuh pertandingan minggu ketujuh dengan markah 65.5 peratus. Beliau membawakan lagu Faizal Tahir, Sejati.


“Kebanyakan masa sekarang, saya cuma nak seronokkan diri saya. Saya pusing-pusing atas pentas dan berdiri di tangga. Satu sahaja tak dapat buat ialah terjun (dari pentas) untuk menjaga keselamatan,” katanya lagi.

Walaupun media cuba mencungkil apakah penyakit yang dihidapinya, Azharina masih berat bercerita kerana berasakan belum sampai masanya untuk berkongsi.

“Tahun lalu, saya dapat berita tentang penyakit ini. Saya dalam proses rawatan. Kita harus positif dalam hidup. Orang yang kenal saya akan tahu saya ceria orangnya. Itulah benda terbaik yang kita harus semai dalam diri kita.

“Tentunya kesan dari penyakit ini adalah ia memerah stamina kita. Saya cepat penat. Ada hari, keresahan yang melampau melanda diri saya. Saya cuma nak baring sahaja dan bangun untuk makan.

“Insya-Allah apabila saya sudah bersedia nanti, saya akan cerita. Saya harus simpan rahsia ini buat masa ini dan meminta semua orang mendoakan agar saya sihat dan kuat.

“Doa daripada keluarga, peminat dan kawan rapat adalah barakah dan nikmat.

“Keluarga saya tahu tentang keadaan saya ini. Doktor sudah beri perubatan untuk saya ambil. Kita kena jaga pemakanan.

“Apabila masuk ASGV, waktu makan memang tidak menentu. Saya terasa sangat penat. Kesan sakit memang terasa. Tapi sehabis daya, saya akan mencuba,” ujar Azharina dengan nada positif.

Mengenai persembahan bagi konsert minggu kelapan, beliau diberi tugasan menyanyikan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ya Maulai.


“Pastinya apabila saya menyanyikan lagu Tokti, akan ada yang membuat perbandingan antara saya dengan penyanyi asal. Sebelum apa-apa, saya nak minta anda beri belas ihsan. Saya tak mungkin dapat jadi Tokti.

“Kami ibarat langit dengan bumi. Tapi saya akan belajar sedaya upaya saya untuk bawakan lagu, Ya Maulai, sebaik mungkin.


“Saya harus minta izin daripada Tokti untuk bawakan lagu ini. Risau ‘hancur’ pula lagunya.

“Tengoklah kemampuan, sama ada nak bawa satu kampung atau satu bas penari mahupun ditemani penari cilik, saya akan fikirkan,” ujar Azharina. – HARYANI ISMAIL


‘All Stars Gegar Vaganza’ akan disiarkan mulai 9 malam setiap Ahad di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >