Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Suara jaz Nusantara bergema, paut hati ramai

Pesta Jaz dan Fesyen Batam (Bajafash) kembali bertenaga, perkukuh sektor wisata
Aug 10, 2023 | 05:30 AM



Dari kolam renang Batam View Beach Resort, Pesta Jaz dan Fesyen Batam (Bajafash) beralih pula ke Taman Pendidikan Ekologi Hutan Simpanan Panbil dalam tempoh lima tahun ia kembali lagi.

Suasana alam sekitar yang menghijau dan menenangkan pula menjadi teman ratusan penonton yang duduk santai sambil makan kudapan atau burger di bangku kayu berhadapan pentas amfiteater yang luas dan gah.

Ia cukup berbeza dengan pemandangan tanah lapang berumput di Batam View Beach Resort di mana lautan hadirin berdiri sambil menari setiap kali penyanyi tampil di pentas. Kadangkala, mereka teruja membeli gorengan dan kudapan yang dijual di beberapa reruai di situ.

Walau bagaimanapun, Bajafash yang menggabungkan secara unik fesyen dan muzik jaz tetap menghiburkan dan menjadi penawar buat sesiapa yang dibelenggu stres hutan batu. Hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu, penulis disaluti kemeriahan dan nikmat pelbagai muzik jaz apabila datang bertamu ke Bajafash anjuran pasukan yang dipimpin Cik Indina Putri Fadjar, sebagai pengasasnya, baru-baru ini.

Kali ini, bagi menarik hadirin Generasi Z, Cik Indina bergabung tenaga dengan syarikat penganjur acara, Simplemind Communication, yang terdiri daripada generasi muda pimpinan Encik Yasser Hadeka Daniel.

Apa yang menarik adalah tatkala melihat anak-anak Singapura juga beraksi bagi menjayakan Bajafash. Selain Rudy Djoe yang menghiburkan dengan lagu-lagu membuai jiwa dan boleh buat anda bangkit dari bangku untuk menari adalah pengacara majlis Bajafash, Hafeez Glamour.

Hafeez menjadi pengacara bersama di pentas Bajafash dan turut membuatkan penonton selesa ketika meminta mereka menjawab soalan kuiz untuk memenangi beg cenderahati.

Sedang penyanyi melantunkan suara buluh perindu mereka, barisan pereka fesyen pula mengetengahkan hasil kreativiti dan ciptaan mereka. Model yang memperagakan pakaian tersebut berada di kawasan khusus berhampiran dengan penonton VIP sedang lagu didendangkan ‘live’ oleh penyanyi yang diundang bagi Bajafash.

Komposer yang dikenali dengan irama jaz Latin, Rio Moreno, mengiringi Rudy sepanjang beliau mengembalikan nostalgia pada lagu-lagu klasik seperti lagu asal Bing Slamet, Nurlela.


Persembahan Rudy memang menghiburkan dengan penyampaian yang bersahaja, lengkap dengan gerak tari yang menceriakan. Memandangkan ia adalah persembahan sebelum band yang dinanti-nanti iaitu Maliq & D’Essentials, Rudy perlu lakukan sesuatu yang unik untuk menaikkan semangat penonton.

Dapat dilihat jika sebelum ini mereka setakat menggoyangkan bahu untuk mendengar santai lagu jaz atau ‘menjamah’ santapan visual rekaan fesyen yang disajikan, apabila Rudy tampil, penonton sama ada ikut menyanyi sama ataupun nampak khusyuk dengan persembahan bertenaganya.

Lagu-lagu Rudy meninggalkan kesan warisan yang membuatkan anda ingin tahu lebih tentang kerjasama Rudy dan Rio sebelum ini. Mereka memiliki keserasian yang padu dan membuatkan jaz begitu senang dihadam tanpa mempunyai sebarang takrifan ia hanya irama untuk golongan tertentu.

Apabila Maliq & D’ Essentials tampil di pentas, penonton sudah mula terpekik-pekik dan tidak sabar berhibur dengan lagu popular kumpulan ini yang mempunyai pengikut yang kukuh di Nusantara.

Persembahan pada malam kedua juga memiliki daya tarikan dari segi barisan artis yang ditampilkan. Penyanyi jaz asal Indonesia, Soukma, yang menampilkan pemuzik Weixiang Tan, pula mengembalikan ingatan anda pada suasana lounge jaz. Beliau yang kini bermastautin di Singapura memiliki suara yang dalam dan ‘classy’ ketika menyanyikan beberapa lagu malar segar termasuk Sunny, lagu nyanyian asal Bobby Hebb. Versi jaz Hebb kemudian semakin popular dengan sentuhan disko Boney M.


Bagaimanapun, daya tarikan Bajafash pastinya kehadiran Datuk Sheila Majid yang menutup tirai persembahan pada malam kedua. Seperti biasa, Sheila adalah penghibur yang memiliki tarikan luar biasa. Lagu-lagunya mudah diingati dan mampu membuatkan seisi amfiteater menyanyi sama.

Sinaran, Warna, Legenda dan Dia didendangkan silih-berganti. Kalau tidak kerana masa yang mencemburui Sheila, pastinya segmen itu akan menjadi bak konsert mini untuk Ratu Jaz Malaysia itu terus menyanyi.


Syabas buat penganjur Bajafash kerana mengetengahkan bakat jaz mapan dan juga anak muda yang baru berjinak-jinak dengan irama ‘classy’ ini. Harapan saya bagi Bajafash akan datang, boleh diadakan peraduan menyanyi jaz buat anak muda di Nusantara ataupun sesi sembang bersama pereka fesyen muda tentang sumber inspirasi mereka. Masterclass tentang cara asas bermain alat muzik yang digunakan dalam keramaian jaz juga lebih menyemarakkan suasana.


Apabila Menteri Wisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Encik Sandiaga Uno, mengumumkan pihaknya akan menjadikan Bajafash sebagai salah sebuah acara nasional dalam kalendar tahunan pada masa akan datang, ia adalah satu berita gembira bahawa inisiatif ini dapat dikembangkan sebagai acara besar-besaran buat pencinta jaz dan fesyen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >