Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Hidayah

‘Aku sebagai khalifah’ Setiap manusia ada peranan, objektif yang perlu dimainkan

Ustaz Dr Mohamed Qusairy perjelas makna kurniaan gelaran ‘ketua’ ke atas manusia sebagai previu forum yang bakal diadakan di Masjid Sultan
Jul 07, 2023 | 05:30 AM



Siapalah aku, orang biasa sahaja... hamba yang hina yang tidak punyai apa-apa... masakan aku layak jadi khalifah di dunia ini?

Sebenarnya kita tidak perlu terlalu dramatik untuk meluahkan ungkapan sebegitu kerana semua manusia dijadikan Allah swt sebagai mukalaf yang wajib melaksanakan objektif dan perintah yang ditetapkan-Nya ke atas kita – dengan kapasiti tersendiri tidak kira apa juga status atau kedudukan kita baik pelajar, anak, bapa, ibu atau pekerja – iaitu beribadah dan mematuhi semua suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya.


Menjelaskan persoalan sedemikian, Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha, pengurus kanan Masjid Sultan, berkata manusia dilantik oleh Allah swt untuk memakmurkan bumi ini.


“Atas dasar ini, kita haruslah menjalani hidup ini dengan penuh bermakna untuk memenuhi objektif kita sebagai manusia, berlainan daripada ciptaan-ciptaan Allah yang lain seperti bukit, binatang dan sebagainya.

“Yang utama yang kita perlu ambil perhatian adalah kita ada objektif atau tujuan diciptakan oleh Allah swt, kerana kita nanti akan diberikan kebertanggungjawaban ke atas setiap perkara yang kita lakukan... yang paling asas adalah kalau kita berbuat baik, kita dapat masuk syurga; dan kalau kita buat perkara yang tidak baik, kita akan dimasukkan ke dalam neraka,” terang Ustaz Dr Mohamed Qusairy.


Beliau berkata demikian sebagai mukadimah untuk mempromosikan Forum Motivasi Quran anjuran Masjid Sultan dengan kerjasama Al-Abqariey Education Centre bertajuk ‘Aku Sebagai Khalifah’ yang bakal diadakan di Auditorium Masjid Sultan pada 23 Julai 2023 dari 9 pagi hingga 1 petang.

Selain beliau sendiri akan muncul sebagai anggota panel, forum tersebut akan turut mengetengah pensyarah terkenal dari seberang Tambak iaitu Ustaz Fazrul Ismail, pentadabbur rancangan #Quran Time di stesen TV AlHijrah Malaysia.


“Saya sendiri dalam forum itu akan membincangkan dari sudut makna dan perspektif istilah khalifah serta mengetengahkan tempat-tempat yang terdapat perkataan khalifah dalam Al-Quran. Saya juga akan menyentuh perihal konteks dan kaitan ayat-ayat tersebut untuk memberi gambaran erti kata khalifah tersebut,” tambah Ustaz Dr Mohamed Qusairy.

Definisi khalifah

Al-Quran ada menyebut mengenai pemberian gelaran khalifah daripada Allah swt kepada orang yang beriman dan beramal soleh seperti yang terkandung dalam ayat berikut:


“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadah kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah An-Nuur, ayat 55).


“Jadi di sini, definisi khalifah adalah orang-orang yang Allah pilih untuk memakmurkan bumi dan mereka ini perlu melaksanakan objektif-objektif tertentu yang Allah tetapkan ke atas mereka, yakni mereka ada amanah yang perlu dipikul,” terang Ustaz Dr Mohamed Qusairy.

Maksud khalifah
menurut bahasa

Menyambung, beliau berkata perkataan khalafa dalam bahasa Arab bererti ganti; iaitu seseorang yang menggantikan seseorang yang lain, yang melaksanakan sama ada bersama-sama dengan orang yang digantikannya atau melaksanakannya ketika ketiadaannya.


Maksud khalifah
menurut istilah

Maksud khalifah dari segi istilah pula adalah generasi manusia yang dipilih oleh Allah swt sebagai pengganti-Nya untuk mentadbir, mengurus dan memakmurkan muka bumi ini dengan menjalankan syariat Allah swt sama ada di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa.


“Rasulullah saw juga pernah bersabda dalam sepotong hadis sahih yang bermaksud “setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dimintai pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya”. (HR Bukhari dan Muslim).


Pemilihan menjadi khalifah

Nikmat terbesar yang dilimpahkan Allah swt kepada kita manusia adalah menjadikan manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini. Hal ini tercantum dalam firman-Nya yang bermaksud:


“Adalah Dia yang telah menjadikan engkau khalifah-Nya, pewaris bumi ini, Dia telah meningkatkan darjat sebahagian di antaramu lebih tinggi daripada sebahagian yang lain. Sehingga Dia dapat mengujimu mengenai caramu memperlakukan pemberian-Nya, sesungguhnya Tuhanmu cepat memberi seksaan namun Dia juga Sangat Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah Al-Anam, ayat 165).


Allah swt telah melepaskan manusia di muka bumi yang terbentang luas ini supaya manusia itu mencari atau menerapkan sifat-sifat yang baik dan buruk menurut apa yang dianggap baik oleh manusia. Oleh sebab itulah manusia diberi kelebihan oleh Allah swt iaitu akal.


Selain itu, otak yang diberikan Allah swt kepada manusia juga adalah kelengkapan yang utama sekali bagi manusia agar dapat menjadi khalifah Allah swt di muka bumi ini dengan bijaksana.


Di samping itu, akal manusia timbul yang berpangkal dari otaknya yang membuat satu pertimbangan dengan cara yang diredai Allah swt. Dengan akal yang diberikan Allah inilah yang menjadikan manusia sebagai pewaris Allah di muka bumi dan cuba mengatasi tentangan kehidupan yang berubah-ubah dari masa ke semasa.


Ciri-ciri sebagai khalifah

Ilmu

Ini antara ciri paling menonjol yang dikurniakan kepada Allah ke atas manusia kerana Allah mahu membuktikan kepada malaikat mengapa Nabi Adam as diciptakan.


Memberikan contohnya, Ustaz Dr Mohamed Qusairy berkata Allah swt mengajar Nabi Adam as nama-nama benda yang tidak diketahui para malaikat untuk menunjukkan kemuliaan Nabi Adam kepada malaikat.


Akhlak yang tinggi

Seorang ketua perlu mempunyai nilai akhlak dan keperibadian yang tinggi agar dia menjadi orang yang mulia. Antara cirinya adalah mengambil berat akan perihal orang-orang di sekelilingnya.

Takwa

Ini sifat yang amat diutamakan oleh Allah swt sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian daripada seorang bapa, iaitu Adam as dan seorang ibu iaitu Hawa. Maka janganlah berasa lebih utama di antara sebahagian kalian atas sebahagian yang lain dari sisi nasab. Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku melalui proses berketurunan, agar sebahagian daripada kalian mengenal sebahagian yang lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah adalah yang paling bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui orang-orang yang bertakwa dan Maha Teliti terhadap mereka.” (Surah Al-Hujurat, ayat 13).


Kesimpulan

“Dalam apa juga peringkat kehidupan dan bidang pengkhususan seseorang atau dalam perkumpulan, pastinya ada ketua yang bertanggungjawab ke atas orang-orang di bawah jagaannya, baik pelajar, guru mahupun ibu bapa.

“Bagi orang yang berkata dia tidak mahu jadi ketua atau khalifah, jawapan saya adalah kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, sama ada kita akan jadi ketua dalam bentuk ketua pelajar, guru atau ibu bapa. Paling penting, kita laksanakan objektif dan tanggungjawab kita terhadap diri kita sendiri dahulu sebelum kita menjadi pemimpin kerana kita nanti akan dipertanggungjawabkan mengenainya.

“Penting juga kita renungkan mengapa Allah pilih kita sebagai khalifah ini, iaitu supaya kita menjadi manusia yang ada hala tujuan, berprinsip dan memiliki nilai-nilai yang baik dalam hidup,” ujar Ustaz Dr Mohamed Qusairy.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >